Tulisan khat dan jawi bukan sekadar kesenian dan ketamadunan

Isu tulisan khat dan jawi secara pandangan luarannya adalah isu kebudayaan, warisan sejarah sebagai identiti bangsa dan negara, serta ciri-ciri ketamadunan Melayu yang wujud sejak zaman berzaman.

Sepertimana bahasa, penulisan bukan sekadar seni semata-mata, ia adalah suatu terjemahan kepada sebuah idea dan pemikiran dalam bentuk yang tertentu.

Setiap seni dan budaya merupakan suatu terjemahan kepada nilai dan pegangan sesebuah kaum dan bangsa. Tidak mungkin seseorang itu digelar benar-benar berintima’ kepada bangsanya selagi dia tidak mampu melengkapkan dirinya dengan identiti utama bangsanya, yang menjadi pembeza utama antara dia dengan bangsa lain.

Setiap bahasa memikul idea dan pemikiran. Begitu juga setiap penulisan dan kesenian, ia memberi kesan pemikiran dan pencorakan hidup seseorang, kerana seni dan budaya adalah salah satu daripada sudut-sudut kehidupan manusia.

Apabila sesebuah idea dan pemikiran berkembang, ia akan menatijahkan terjemahan idea tersebut dalam bentuk neraca dan kayu ukur, hingga membawa kepada terpancarnya seni, perasaan, kesusasteraan yang menggambarkan hidupnya idea dan pemikiran itu dalam jiwa orang yang memikul dan memperjuangkannya.

Sesebuah idea dikira matang dan maju apabila ia mampu diterjemahkan dalam bentuk budaya dan arus, keluar daripada buku dan pemikiran (alam pemikiran) kepada alam yang malmus (yang boleh disentuh dan dilihat), hingga menjadi sebahagian daripada realiti yang dibuktikan dengan pancaindera.

Sebab itu kita dapat lihat, identiti kerajaan Islam sebelum ini di Turki, Baghdad, Andalus, semuanya melambangkan kemegahan dan kekuatan, menunjukkan ketinggian agama, menampilkan susuk tubuh sebuah idea yang dilindungi, mempengaruhi, seterusnya menguasai.

Kefahaman kita terhadap seni dan budaya tidak sepatutnya kita pisahkan daripada kefahaman terhadap sebuah nilaian akidah yang wujud di dalamnya.

Al-Quran diturunkan dalam Bahasa Arab kerana Bahasa Arab adalah bahasa yang paling indah dan mengikut suatu kajian, bahasa yang dituturkan oleh Nabi Adam AS sejak di syurga lagi. Ulamak juga menetapkan bahawa Al-Quran tidak boleh diterjemahkan kepada bahasa lain secara harfiy (huruf per huruf), melainkan mesti dengan tafsirannya sekali agar maknanya benar dan tidak bercanggahan pada ayat-ayat yang hanya uslub bahasa Arab sahaja mampu merungkainya.

Demikian itu juga kita lihat, apabila sesebuah bangsa itu berasimilasi dengan sesebuah agama, ia akan merubah beberapa struktur kebudayaan, kesenian, dan bahasanya, agar ia selari bahkan membantu seorang individu dalam bangsa itu mengamalkan atau mengenali agama yang dianuti.

Demikianlah juga mana-mana bangsa yang cintakan bangsanya, sudah pasti tidak akan hilang dalam jiwa mereka bahawa mereka akan melupakan bahasa asalnya.

Situasi di Malaysia adalah satu contoh situasi di mana agama sudah diasimilasi dalam ‘kebangsaan’ Melayu, dari sudut tulisan, kesenian dan kebudayaan, hinggalah kepada corak tampuk pemerintahan.

Segala budaya dan adat yang wujud adalah satu bentuk terjemahan kepada idea dan pemikiran yang terhasil daripada ajaran Islam itu sendiri. Dengan itu Islam akan terjaga, dilindungi bahkan lebih diangkat tinggi, di mata masyarakat yang muslim dan bukan muslim, sepertimana ia hakikatnya sudah pun tinggi, dalam neraca akidah seorang muslim.

Demikianlah yang sepatutnya difahami, dan demikian jugalah yang mereka fahami, apabila mereka menentang sesebuah ‘terjemahan’ dan ‘agenda’ Islamisasi kerana mereka tahu, agenda itu bertentangan dengan agenda ‘bangsa-yang-semua-orang-tahu-sasi’ mereka.

Mereka dengan tidak malu dan segan silu berterusan meneruskan projek-projek yang menentang hegemoni kebudayaan dan identiti negara, kerana mereka fahami hakikat ini.

Oleh sebab itu, dalam isu ini, kita tidak perlu berlapang dada dan hanya mengatakan itu hanya isu tulisan, kerana mereka sangat faham, ia bukan sekadar tulisan.

Benar, kita juga harus sedar dan faham, ia bukan sekadar penulisan dan kesenian, ia adalah suatu agenda perjuangan.

Wallahua’lam.

Ust Ahmad Syamil Esa

Ahli MUIS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 252 access attempts in the last 7 days.