KolumnisUtama

Komunis adalah gerakan menentang Tuhan

Bulan Ogos adalah bulan kemerdekaan. Kemerdekaan adalah satu nikmat Allah yang agung. Kemerdekaan berlaku pada sebuah negara , juga berlaku kepada seseorang. Kemerdekaan berfikir, kemerdekaan membuat keputusan , kemerdekaan mentadbir negara sendiri adalah contoh-contoh bentuk kemerdekaan.

Di dalam Islam , kemerdekaan yang hakiki ialah dengan cara mengabdikan diri sepenuhnya kepada Allah SWT. Apabila berfikir secara selapis , seolah-olah dengan mengabdikan diri kepada Allah SWT akan membawa kepada perhambaan kepada Allah SWT. Di manakah ada kemerdekaan jika seseorang hamba mengabdikan diri kepada Allah SWT?

Sewajibnya kita kembali kepada pemahaman paling asas iaitu pemlik, pencipta seluruh kejadian ini adalah Allah Yang Maha Berkuasa. Atas ehsan belas kasihan Nya jua kita dipilih memakmurkan mukabumi ini. Allah sememangnya berhak memaksa kita untuk mematuhi secara total peraturan dan hukum hakamNya.

Analoginya adalah seperti apabila kita terpilih memasuki mana-mana pusat latihan, sudah tentu kita terikat dengan peraturan di situ dan kita bersalah dan berhak didenda bila kita melanggar peraturan. Kita sewajibnya akur bahawa kehidupan ini dikelilingi nikmat-nikmat Allah. Pematuhan kepada peraturan Allah akan menjadikan kita lebih menikmati nikmat-nikmat Nya.

Apabila kita menghambakan diri kita hanya kepada Allah, kita telah memerdekakan diri kita dari lemas dalam tuntutan hawa nafsu, kita berjaya meloloskan diri dari godaan syaitan. Kemerdekaan negara yang hakiki adalah memerdekakan negara dari segala sistem ciptaan manusia yang meraikan hawa nafsu dan menuruti kehendak syaitan.

Orang yang merdeka ataupun negara yang merdeka , berani berani berkata “jangan” ataupun “tidak” kepada semua sistem yang bersandar kepada hawa nafsu dan pujukan syaitan lantas segera sujud dan patuh kepada sistem Allah SWT. Ini digambarkan di dalam al Quran : Ingatlah! Janganlah engkau (wahai Muhammad) menurut kehendaknya, dan (sebaliknya) sujudlah dan dampingkanlah dirimu kepada Allah (dengan taat dan beramal soleh)!(QS al a’laq:6)

Sebab itu segala tindakan memerdekakan sesebuah negara tidak hanya terhenti dengan perisytiharan rasmi tarikh-tarikh tertentu sebagai hari kemerdekaan tetapi mesti diteruskan sehingga benar-benar sistem Allah dapat dilaksanakan.

Apabila kita masih terikat dengan sistem kewangan riba, sistem sosial yang mengagungkan hawa nafsu seperti LGBT dan cuba dipakaikan jubah perundangan, menyadur secara pukal demokrasi barat yang meletakkan kehendak majoriti sebagai neraca terakhir maka kemerdekaan hakiki masih perlu diusahakan.

Namun kemerdekaan negara yang difahami secara tradisi juga adalah nikmat yang wajib disyukuri dan hendaklah dijadikan batu loncatan ke arah kemerdekaan yang hakiki.

Tidak tergambar bagaimana perjuangan komunis boleh membawa kepada kemerdekaan yang hakiki kerana fahaman ini diasaskan kepada menolak tuhan. Komunisme adalah fahaman yang berkaitan dengan ekonomi, politik dan kemasyarakatan. Ia berdasarkan kebendaan semata- mata dan terbentuk hasil daripada tindak balas fahaman Kapitalisme.

Antara intipati ajaran ini ialah tidak percaya adanya Tuhan dan perkara-perkara ghaib seperti malaikat, jin, dosa pahala dan sebagainya. Mereka menjadikan logik dan kebenaran semata-semata sebagai asas kepercayaan. Walaupun pengikut ajaran ini berbeza mengikut keadaan setempat, konsep ini tetap menjadi asas ajaran komunis. Oleh itu, komunis menentang semua fahaman beragama sekeras-kerasnya.

Fahaman ini menentang pemilikan harta secara perseorangan. Berbanding kapitalis, mereka berfahaman segala kemewahan dan harta benda adalah milik semua. Seseorang pemilik tidak dibenarkan memiliki harta yang melebihi daripada harta orang lain. Apabila harta itu banyak, harta itu mesti menjadi milik negara dan menjadi milik orang awam.

Mereka mendakwa cuba menghapuskan kelas dalam masyarakat. Tidak ada kelas antara majikan dan pekerja. Mereka sanggup meluaskan fahaman melalui kuasa politik walaupun terpaksa menggunakan senjata supaya pemerintahan negara dikuasai oleh masyarakat buruh.

Mereka membentuk pemikiran rakyat supaya mengabdikan diri kepada negara semata-mata. Tidak ada prinsip beribadah kepada Tuhan kerana negara dan benda adalah tuhan yang disanjung dan dipuja.

Komunisme ialah fahaman yang bercanggah dengan akidah Islam iaitu mengingkari kewujudan Allah, perkara- perkara ghaib dan hari kiamat.

Ia juga bercanggah dengan naluri manusia yang perlu pada keselesaan dengan cara yang betul, mempunyai sifat mementingkan diri dan hidup bermasyarakat. Semua ini perlu ditimbang dengan adil.

Komunisme tidak bersifat berperikemanusiaan. Golongan komunis menjadikan manusia seperti kilang seterusnya merampas hak milik mereka. Sebenarnya, pemimpin komunis selaku pemilik lebih bernafsu daripada orang-orang kaya di negara-negara kapitalis.

Di negara kita , komunis telah memahatkan sejarah hitam dengan kekejaman yang tiada tolok bandingnya. Adalah tidak berperlembagaan untuk mengiktiraf perjuangan komunis yang menolak Tuhan sedangkan jelas tercatat dalam rukun Negara bahawa penduduk Malaysia mendokong prinsip “Kepercayaan Kepada Tuhan”

Sahibus Samahah
Ustaz Hj. Zamri b. Hashim
Timbalan Mufti Perak
Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *