Kesesatan SIS: Kerajaan perlu bertindak berdasarkan fatwa

1. Majlis Ulama ISMA (MUIS) melahirkan rasa syukur terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan semakan kehakiman oleh Sisters in Islam bagi mencabar keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor yang mengisytiharkan pertubuhan itu sesat dan menyeleweng. Hakim, Datuk Nordin Hassan memutuskan fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Selangor bahawa SIS Forum Berhad terpesong dari ajaran Islam adalah sah dan tidak bercanggah dengan mana-mana undang-undang.

2. Fatwa tersebut pada asasnya adalah suatu keperluan Syarie dan siyasi (politik) demi memelihara umat Islam daripada sebarang ancaman kefahaman yang boleh menjejaskan Syariat khususnya Aqidah umat Islam. Suhail bin Abdullah ra apabila membicarakan ayat 41 surah al-Hajj bahawa Syarak telah meletakkan suatu asas Syarak yang jelas iaitu:

الأمر بالمعروف والنهي عن المنكر واجب على السلطان وعلى العلماء
Melakukan amar makruf dan nahi mungkar adalah kewajipan ke atas pemimpin dan ulama.(Tafsir Al-Munir, Darul Fikr 2003 Jilid 9 m/s 254)

3. al-Juwaini juga menjelaskan bagaimana tanggungjawab pemimpin itu hendaklah meliputi urusan agama dan dunia. Katanya: “Pemimpin ialah sebuah kepimpinan yang menyeluruh dan umum. Kepimpinan itu berkait dengan perkara khusus dan umum meliputi kepentingan agama dan dunia. Kepentingan itu meliputi menjaga kedaulatan negara, memerintah orang yang diperintah, mendirikan dakwah dengan hujah dan juga pedang, menahan kelompok yang sesat dan kelompok yang zalim, menarik hak daripada golongan yang menentang dan memberi hak kepada golongan yang dizalimi.” (al-Qhiyasul Umam, Darul Dakwah m/s 15)

4. Kefahaman sesat liberal yang telah dibawa oleh gerakan SIS dalam merosakkan kefahaman asal umat Islam adalah perkara yang sudah diketahui umum. Pendirian mereka dalam mendokong LGBT, menolak pensyaraiatan tudung, memperlekeh fatwa, menolak Hudud, mendokong penggunaan kalimah Allah di dalam Bible dan pelbagai kefahaman sesat lainnya jelas menunjukkan konsistennya mereka dalam usaha merungkai asas-asas syariat Islam sejak dahulu lagi.

5. Oleh itu, MUIS menyeru supaya pihak kerajaan sama ada di peringkat negeri atau persekutuan serta pemimpin politik dikalangan umat Islam perlu bertindak tegas berdasarkan fatwa ini. Setiap daripada ahli Parlimen dan DUN perlu kembali menjiwai sumpah Yang di-Pertuan Agong yang dilafazkan baru-baru ini bagi memelihara Islam pada setiap masa. SIS perlu dikenakan tindakan yang tegas antaranya sesi kaunseling untuk memperbetulkan kembali fahaman Islam dikalangan mereka.

6. Ulama dan Umara’ (pemimpin) perlu berdiri seiring dalam memelihara Malaysia sebagai sebuah Negara Islam. Umara perlu meletakkan Ulama sebagai panduan dalam membuat sebarang polisi atau pendirian khususnya berkaitan kepentingan umat Islam. Pandangan Ulama serta pendirian Umara adalah dua perkara saling melengkapi bagi menyempurnakan keislaman bumi Malaysia ini.

7. Begitu juga masyarakat Islam secara umum sepatutnya meletakkan isu-isu berkaitan Islam sebagai asas yang sentiasa disepakati bersama.Perbezaan dalam hal politik atau perkara lain tidak sepatutnya dibawa sehingga menggadaikan asas-asas syarak. Persepakatan dalam memelihara syarak daripada penyelewengan adalah suatu tuntutan terhadap seluruh umat Islam.

8. Akhirnya, moga Allah memelihara umat Islam khususnya di Malaysia daripada segala perancangan serta fitnah yang cuba meruntuhkan Syarak sama ada ia daripada luar atau dalam.

Memimpin masyarakat mendaulat Syariat.

Dr Mohd Soberi Awang
Pengerusi MUIS
28 Zulhijjah 1440 Hijri

www.muis.org.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 352 access attempts in the last 7 days.