Ramadan bertujuan memastikan roh kita terus hidup

Ramadhan adalah bulan yang dikhususkan untuk umat Islam ‘dipaksa’ agar melihat dan merasakan alam lain, yang tidak dapat dilihat dengan pancaindera.

Padanya ada anugerah syurga, terlepas api neraka, pintu syurga terbuka, pintu neraka tertutup, ganjaran 70 kali ganda semua amalan, pahala puasa yang tidak terhad, malam yang lebih baik dari seribu bulan, dan seumpamanya.

Orang yang berjaya dalam bulan ini adalah orang yang berjaya ‘reset’ semula kehidupan mereka, dan mencorakkannya dengan corak Al-Quran, lalu ia menghidupkan rohaninya, dan memberikannya makna dan erti kebahagiaan hakiki.

Bilakah roh kita dikira hidup ?

Apabila interaksi dengan Al-Quran membangkitkan kita, apabila munajat kepada Tuhan menjadi temujanji kita, apabila zikrullah menjadi bahasa dan makanan kita, apabila amalan-amalan akhirat lebih kita cintai berbanding amalan-amalan yang tidak membawa kepadanya.

Semua itu adalah antara kayu ukur, kerohanian kita sedang menuju ke satu tahap yang lain.

Puasa adalah pintunya, menahan lapar, syahwat dan dahaga hanyalah tirainya, di sebalik semua itu ada cahaya kerohanian yang akan terpancar, apabila pintu itu terbuka, dan tirai hijab itu tersingkap.

Cahaya itu akan membawa kita menuju alam yang lain, memberi dan mengajar kita makna dan erti, kepada persaksian kita selama ini, sejak kita belum dilahirkan lagi.

“Sesungguhnya Akulah Allah, tiada Tuhan selainku, maka sembahlah Aku, dan dirikanlah solat bagi mengingatiku” – Surah Taha

Seruan Tuhan kepada Musa AS ribuan tahun dahulu, di atas gunung Tursina, bagi menurunkan wahyu, adalah seruan dari alam yang lain, yang hanya layak dipikul, oleh manusia yang mempunyai kerohanian yang tinggi.

Demikian juga Nabi Muhammad SAW pernah bersabda ;

“Dengan aku menyebut ‘subhanallah, wal hamdulillah, wala ilaaha illallah, wallahu akbar’ itu lebih aku cintai daripada apa-apa yang disinari oleh matahari”

Benar, sebesar manakah nilainya cahaya matahari, jika nak dibandingkan dengan nilai sekelumit munajat, di hadapan cahaya Tuhan ?

“Barangsiapa yang tidak diberikan cahaya oleh Allah, nescaya tiadalah cahaya baginya” – Surah An-Nur

Wallahua’lam

Ust Ahmad Syamil Esa

Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 207 access attempts in the last 7 days.