Kita perlu jelas berbica soal saf kanak-kanak

Jika kita nak bercakap tentang di manakah letaknya saf kanak-kanak dalam solat berjemaah, sudah tentu jawapannya di belakang saf jamaah lelaki dewasa, seperti mana yang diajar oleh kitab-kitab feqah.

Hukum ini berdasarkan sebuah hadith sahih yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, yang menuntut orang yang akil baligh di belakang imam, kemudian diikuti oleh tiga golongan; kanak-kanak lelaki, perempuan dewasa dan kanak-kanak perempuan.

Bagaimanapun, al-Imam al-Khatib as-Syarbini ketika menghuraikan kitab Minhaj at-Tolibin mengenai bab solat berjamaah mengatakan bahawa jika kanak-kanak lelaki lebih dahulu datang, kemudian datang jamaah lelaki yang lewat, maka kanak-kanak itu tidak dikebelakangkan, atas mafhum kelebihan hukum bagi yang datang awal.

Habis perbincangan tentang kedudukan saf kanak-kanak, dalam keadaan asal dan biasa.

Tetapi ada perkara yang termasuk dalam siyasah syar’iyah di sini, iaitu apabila berlaku fenomena kanak-kanak mengganggu solat orang dewasa.

Hadith mengenai tindakan Rasulullah S.A.W. yang membiarkan cucunya mengganggu gerak solat baginda, tidak mudah-mudah dijadikan dalil untuk mengharuskan fenomena kanak-kanak mengganggu solat berjamaah secara mutlak.

Hadith hanya menunjukkan bahawa harus untuk menangguhkan pergerakan atau berhati-hati dalam pergerakan apabila terdapat kanak-kanak menunggang di atas belakang badan.

Hadith itu tidak menunjukkan larangan daripada melakukan tindakan kawalan agar kanak-kanak tidak menimbulkan suasana yang mengganggu ketenteraman, yang seterusnya mengganggu khusyuk solat yang menjadi maqasid utama solat (mengingati Allah).

Pihak masjid boleh mengaturkan saf kanak-kanak di ruang khusus seperti yang ditunjukkan dalam gambar, atas maslahah menjaga ketenteraman masjid.

Tetapi kaedah itu kerap kali juga tidak menyelesaikan masalah, apabila perkumpulan kanak-kanak yang ramai dalam satu tempat lebih menyenangkan mereka untuk membuat bising seraya mengganggu jamaah yang sedang bersolat.

Kaedah sesetengah ibu bapa yang meletakkan anak solat di sebelahnya berbanding membiarkan mereka berada dalam kelompok kanak-kanak yang lain itu lebih baik, jika yang demikian itu boleh mententeramkan keadaan.

Kesimpulannya:
1) Kedudukan asal saf kanak-kanak ialah di belakang saf lelaki dewasa berdasarkan hadith yang sahih. Mereka tidak dikebelakangkan ketika solat jamaah sedang berlangsung semata-mata untuk memberi saf kepada lelaki dewasa yang datang lewat.

2) Sebarang tindakan untuk mengawal, seperti ibu bapa meletakkan anak masing-masing di sebelah, AJK masjid menyediakan ruangan khas untuk kanak-kanak dan sebagainya, adalah berasaskan maslahah menjaga ketenteraman suasana ketika solat berjamaah agar khusyuk dalam solat (maqasid utama solat ialah mengingati Allah) yang dituntut dapat dicapai.

3) Tindakan untuk menimbang antara dua maslahah yang kerap berlaga iaitu maslahah mendidik anak mendekati solat jamaah/masjid dan maslahah menjaga ketenteraman ketika solat, adalah tindakan di bawah kategori siyasah syar’iyah, yang memerlukan hikmah dan kebijaksanaan.

4) Pegangan bahawa batal wuduk atau batal solat jika orang dewasa solat di sebelah kanak-kanak adalah tidak benar sama sekali.

5) Kesemua perkara ini perlu kepada perbincangan yang mendidik melibatkan semua pihak, tanpa perlu menggunakan bahasa yang agak kasar, menyalahkan mana-mana pihak terutamanya orang yang lebih tua.

Ust Mohd Hazizi Abdul Rahman

Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 352 access attempts in the last 7 days.