Peranan ulama wanita dalam membangunkan Islam di Nusantara

Allahu Akbar, sedih rasanya bila melihat ada wanita Melayu yang sanggup hina Nabi Muhammad (ص), apatah lagi dengan imejnya yang bertudung labuh, lagi bertambah sayu. Saya anggap beliau ada penyakit jiwa dan moga beliau diberikan kesembuhan.

Sesungguhnya, wanita Melayu yang unggul itu adalah mereka yang mencintai Nabi, menjunjung syariat dan menjaga adat-adat yang syarie.

Dalam sejarah Alam Melayu, terdapat ramai tokoh wanita unggul yang terdiri dari kalangan alim ulama. Sebelum ini saya telah bawakan kisah Tengku Fakinah, ulama dan pendekar wanita Aceh. Pada kali ini saya bawakan pula kisah seorang ulama wanita Nusantara yang telah menubuhkan universiti khusus untuk wanita di Mekah.

Beliau adalah Syarifah Aminah binti Nuri al-Banjari yang juga merupakan isteri kepada ulama Nusantara yang masyhur iaitu Syeikh Muhammad Yasin al-Fadani. Syarifah Aminah atau lebih dikenali sebagai Nyai Aminah telah menubuhkan sebuah universiti yang dikhususkan untuk wanita iaitu Jami’ah al-Khairiyah.

Nama al-Khairiyah itu diambil sempena nama seorang lagi ulama wanita Nusantara iaitu Nyai Khairiyah iaitu isteri kepada Kyai Abdul Muhaimin al-Lasemi. Nyai Khairiyah juga merupakan anak kepada Kyai Hasyim Asy’ari, pengasas Nahdatul Ulama.

Sebelum Nyai Aminah menubuhkan Jami’ah al-Khairiyah, Nyai Khairiyah terlebih dahulu mengasaskan sebuah madrasah khusus untuk wanita di Mekah yang dinamakan sebagai Kuttabul Banaat pada tahun 1942.

Kuttabul Banaat ini dikatakan institusi pengajian khusus untuk wanita yang pertama dalam zaman moden bukan sahaja di Mekah, malah di seluruh Arab Saudi. Terinspirasi dari Nyai Khairiyah, maka Nyai Aminah pun menubuhkan Jami’ah al-Khairiyah.

Dari kisah ini, dapatlah kita simpulkan bahawa ulama-ulama wanita Nusantara suatu ketika dulu adalah wanita yang progresif. Mereka memberikan contoh bahawa tidak perlu menjadi ‘liberal’ untuk menjadi wanita yang progresif dan bermanfaat pada manusia,

Gambar : Madrasah Diniyyah Puteri di Padang Panjang, Sumatera Barat.

Hasanuddin Yusof
Maktab Penyelidikan
Tamadun Alam Melayu dan Islam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 811 access attempts in the last 7 days.