Moga Ramadan ini menjadi bulan penyatuan umat Islam

الصَّلَوَاتُ الْخَمْسُ وَالْجُمْعَةُ إِلَى الْجُمْعَةِ وَرَمَضَانُ إِلَى رَمَضَانَ مُكَفِّرَاتٌ مَا بَيْنَهُنَّ إِذَا اجْتَنَبَ الْكَبَائِرَ

“Solat lima waktu dan Solat Jumaat ke Jumaat berikutnya dan Ramadan ke Ramadan berikutnya adalah penghapus untuk dosa antara keduanya selagi mana dia menjauhi dosa besar.” (HR Bukhari)

Ramadan Al-Mubarak, penghulu segala bulan, hadiah luar biasa buat kita semua yang telah Allah janjikan pelbagai kelebihan dan ganjaran padanya.

Bulan Ramadan merupakan madrasah imaniah bagi kita membetulkan dan membina semula neraca akal, hati dan kehidupan sebagai seorang muslim. Kalau dahulunya kita meletakkan kepuasan hawa nafsu di depan, tapi kehadiran Ramadan menundukkannya dan membawa kita ke arah ketaqwaan dan keimanan. Setiap muslim diberi peluang dan ruang merebut piala taqwa buat bekalan 11 bulan mendatang.

Ramadan menyatukan umat Islam

Displin waktu yang digariskan menyatukan kita secara langsung. Umat Islam keseluruhannya berlapar dan dahaga, menahan diri daripada semua perkara yang membatalkan puasa bermula terbit fajar hingga terbenam matahari. Tidak seorang pun boleh malanggar displin waktu ini.

Tolong-menolong dalam kebaikan dan ketaqwaan. Amal ibadah yang biasa kita berlumba-lumba seperti bersahur, solat subuh berjemaah di masjid atau surau, tadarus al-Quran, berinfaq, menaja sahur dan berbuka puasa, solat sunat terawih, qiamullail, memberi bantuan kepada anak yatim dan sekolah-sekolah tahfiz dan pelbagai lagi amalan mulia yang bersifat kolektif harus diteruskan demi perpaduan umat Islam di negara ini. Kita boleh ketepikan perbezaan pandangan dan pegangan politik dalam mengejar kelebihan Ramadan, maka sepatutnya kita juga mampu melaksanakan apa jua perkara yang menguntungkan Islam di luar Ramadan.

Rasai sedikit beban saudara kita di Bumi Syam. Kita berpeluang merasai sedikit kesusahan dan keperitan saudara kita di Palestin dan Syria yang sukar untuk mendapatkan bekalan makanan hingga terpaksa mengikat perut dan mengutip cebisan makanan di lantai bahkan ada di antara mereka terpaksa menyembelih kucing untuk menyambung baki hayat yang ada sepertimana yang berlaku di Kem Yarmuk, Syria.

Lanskap politik hari ini memperlihatkan kepada kita akan kepentingan berpegang teguh kepada tali Allah yang sebenar, kesatuan umat Islam, kuasa wewenang dan dominasi muslim dalam pemerintahan dan pentadbiran. Bukan tempelan barat dan ideologi asing yang menipu, apatahlagi dorongan hawa nafsu yang tidak pernah puas.

Apa gunanya memegang posisi penting dalam pentadbiran tetapi malangnya memperjudikan nasib, halatuju dan kesatuan umat Islam di tanahair tercinta ini?!

Selamat menyambut bulan Ramadan Al-Mubarak!
Ramadan Kareem. Allahu akram.

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَاناً واحْتِساباً ، غُفِرَ لَهُ ما تَقَدَّمَ مِنْ ذنْبِهِ

“Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharap, diampuni dosa-dosanya yang telah lalu”. (HR Bukhari dan Muslim)

Ustaz Muhd Farhan Bin Muhd Fadhil

Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 806 access attempts in the last 7 days.