Hukuman rejam adalah perkara jelas dalam Syariat

1. Di dalam artikel bertajuk “Tiada Rejam dalam al-Quran,” Wanji mengkritik perlaksanaan hukuman hudud yang bakal dilaksanakan di Brunei dan menyimpulkan bahawa: “dakwaan pelaksanaan hukuman rejam kononnya tuntutan Syariah di Brunei itu, bukan sekadar tidak berasaskan hujah agama yang kuat, malah bercanggah dengan prinsip dasar Islam.”

2. Kenyataan Wanji ini yang berpandukan kepada pandangan Sheikh Abu Zuhrah adalah kekeliruan yang nyata. Beliau memilih pandangan yang ganjil tanpa menukilkan pensyariatan hukuman rejam ini seperti yang telah sabit di dalam nas-nas syarak.

3. Bagaimana Wanji boleh menyatakan hukuman rejam ini tidak berasaskan hujah agama yang kuat sedangkan Rasulullah sendiri pernah merejam seorang lelaki bernama Ma’iz ibn Malik dan seorang wanita al-Ghamidiyyah? Apakah hukuman yang dijalankan oleh Rasulullah ini tidak berlandaskan hujah agama yang kuat?

4. Hadith Rasulullah merejam Ma’iz ibn Malik diriwayatkan di dalam Sahih al-Bukhari melalui riwayat Jabir dan Abu Hurairah. Perkara ini dijelaskan oleh al-Imam Ibn Hajar yang menyebutkan:

حديث أنه صلى الله عليه وسلم رجم ماعزا وقد أحصن هو في الصحيحين عن أبي هريرة فقال له هل أحصنت ؟ قال : نعم ، وكذا للبخاري عن جابر .

“Hadith yang menceritakan bahawa Rasulullah merejam Ma’iz dan dia dalah seorang yang telah berkahwin diriwayatkan di dalam Sahih al-Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah. Dan ditanya, apakah dia (Ma’iz) telah berkahwin, dia menjawab: Ya. Begitu juga hadith yang sama diriwayatkan oleh Jabir. (Ibn Hajr, Fath al-Bari).

5. Rasulullah turut pernah merejam seorang wanita dari Bani Juhaynah yang datang mengaku pada Rasulullah atas kesalahannya. Baginda menangguhkan hukuman sehingga anak kandungan wanita tersebut dibesarkan. Setelah itu wanitu itu masih mengaku atas kesalahan yang sama. Rasulullah mengeluarkan arahan rejam dan memuji taubat wanita tersebut. Sabda Rasulullah:

لَقَدْ تَابَتْ تَوْبَةً لَوْ قُسِمَتْ بَيْنَ سَبْعِينَ مِنْ أَهْلِ الْمَدِينَةِ لَوَسِعَتْهُمْ

“Sesungguhnya dia telah bertaubat dengan satu taubat yang sekiranya dibahagikan kepada 70 ahli Madinah, maka taubat wanita ini lebih baik dari semua mereka.” (HR Sahih Muslim).

6. Hukuman rejam ini telah diteruskan oleh Saidina Umar. Bahkan kekeliruan yang berlaku pada hari ini telah pun dinyatakan oleh Saidina Umar. Kata Umar: “aku bimbang, sekiranya aku tidak meneruskan hukuman rejam ini, akan ada manusia hari ini yang menyatakan: “Sesungguhnya tiada rejam di dalam al-Quran.”

Kata Umar:

ورجم رسول الله صلى الله عليه وسلم ورجمنا بعده فأخشى إن طال بالناس زمان أن يقول قائل ما نجد الرجم في كتاب الله فيضلوا بترك فريضة أنزلها الله

“Rasulullah telah melaksanakan hukuman rejam pada zaman Baginda, dan kami meneruskan hukuman ini selepas kewafatan Rasulullah kerana bimbang apabila zaman terus berlalu dan akan ada manusia yang berkata: Kami tidak mendapati hukum rejam di dalam al-Quran. Lalu mereka sesat kerana meninggalkan kefarduan yang ditetapkan oleh Allah.” (HR Sahih Muslim)

7. Hukuman rejam turut dilaksanakan oleh Saidina Ali. Beliau telah merejam Syurahah al-Hamdaniyyah. Kisah ini diriwayatkan oleh al-Bukhari yang menyebutkan:

أنَّ عَليّاً حين رَجَمَ المرأَة ضربَها يومَ الخميس، ورَجَمَها يومَ الجمعة ، وقال: جلدْتُها بكِتَابِ الله، ورَجَمْتُها بِسُنَّةِ رسولِ الله -صلى الله عليه وسلم

“Sesungguhnya Saidina Ali telah merejam seorang wanita, beliau menjalankan hukuman sebat pada hari khamis dan merejamnya pada hari Jumaat. Ketika melaksanakan hukuman tersebut, Ali melaungkan: Sesungguhnya aku menjalankan hukuman sebat dan rejam ini adalah berpandukan Kitab Allah dan Sunnah Rasul.” (HR al-Bukhari/ Fiqh al-Sunnah).

8. Bahkan hukuman rejam ini adalah kesepakatan (ijmak) ulama terdahulu. Kata al-Imam Ibn Hajar di dalam Fath al-Bari:

وقال بن بطال أجمع الصحابة وأئمة الأمصار على أن المحصن إذا زنى عامداً عالماً مختاراً فعليه الرجم

“Dan berkata Ibn Battal, para sahabat telah bersepakat (ijmak), begitu juga dengan para Imam serata wilayah, bahawa mereka yang telah berkahwin sekiranya mereka berzina dengan sengaja maka hukuman ke atas mereka adalah rejam.”

9. Pandangan yang sama dinyatakan oleh al-Imam al-Nawawi di dalam Sharh Muslim. Beliau menjelaskan bahawa:

“أجمع العلماء على أن الرجم لا يكون إلاّ على من زنى وهو محصن،

“Para ulama telah bersepakat (ijmak) bahawa hukuman rejam tidak dilakukan melainkan ke atas mereka yang berzina dalam keadaan mereka sudah berkahwin.” (Sharah Sahih Muslim)

10. Begitu juga dengan al-Imam Ibn Qudamah yang menyatakan di dalam kitab beliau yang masyhur iaitu al-Mughni. Beliau menyebutkan:

“وجوب الرجم على الزاني المحصن رجلاً كان أو امرأة، وهذا قول عامة أهل العلم من الصحابة والتابعين ومن بعدهم من علماء الأمصار في جمع الأعصار، ولا نعلم فيه مخالفا إلا الخوارج

“Kewajipan merejam penzina yang telah berkahwin, samada lelaki maupun perempuan adalah pandangan kebanyakan ahli ilmu daripada sahabat, tabien dan ulama-ulama seluruh dunia selepas mereka. Tidak ada yang menafikan perkara ini melainkan kumpulan khawarij.” (Ibn Qudamah, al-Mughni).

11. Jelas di sini hukuman rejam adalah sabit di dalam syarak. Rasulullah melaksanakannya, sahabat meneruskan kaedah hukuman ini dan para salaf serta ulama selepas itu meneruskannya. Adalah amat mengelirukan apabila ada dikalangan kita tiba-tiba menyatakan bahawa: “hukuman rejam tidak berasaskan hujah agama yang kuat.”

Moga Allah membimbing kita semua.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi

Timbalan Pengerusi MUIS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 368 access attempts in the last 7 days.