Zahirkan kemarahan saat Nabi dihina adalah amalan mulia

1. Para sahabat sangat menjaga kemuliaan Rasulullah. Sekalipun Rasulullah telah meninggal, segala apa yang menyakiti Rasulullah akan membuatkan sahabat berasa sensitif. Pernah dua orang lelaki dari Taif dikatakan telah meninggikan suara di Masjid Nabi. Saidina Umar datang memanggil mereka dan menegur mereka. Kata Umar:

ترفعان أصواتَكما في مسجد رسول الله

“Apakah kamu berdua meninggikan suara di dalam Masjid Rasulullah?” (HR al-Bukhari).

2. Begitu juga dengan salafussoleh. Mereka terlalu memelihara kemuliaan Rasulullah. Menurut Mus’ab ibn Abdullah, al-Imam Malik adalah orang yang sangat sensitif apabila berbicara tentang Rasulullah. Kata beliau:

“كان مالكٌ إذا ذكر النبي صلى الله عليه وسلم، يتغيَّر لونه

“Sesungguhnya al-Imam Malik, apabila disebutkan nama Rasulullah di sisinya, berubah warna wajahnya (atas kerinduan dan memuliakan Rasulullah). (Hilyah al-Auliya, Siya A’lam al-Nubala’).

3. Begitu juga dengan Muhammad ibn al-Munkadir yang digelar Sayyid al-Qura, (seorang yang pakar di dalam bidang al-Quran). Menurut murid-murid ibn al-Munkadir, mereka selalu melihat guru mereka menangis apabila membacakan hadith tentang Rasulullah. Kata mereka:

لا نكادُ نسأله عن حديث أبدًا إلا يبكي حتى نرحمه

“Kami hampir-hampir (buat keputusan) untuk tidak bertanya kepada Muhammad ibn al-Munkadir tentang hadith kerana setiap kali (beliau menyebut tentang hadith Rasulullah) beliau akan menangis sehingga kami rasa kasihan dan tersentuh. (Hilyah al-Auliya)

4. Begitu tinggi para salaf memuliakan Rasulullah. Mereka tidak segan untuk menzahirkan rasa cinta mereka terhadap Rasulullah. Kalau baca hadith pun sudah menangis, apatah lagi ketika mendengar Rasulullah dihina. Sudah pasti mereka akan menzahirkan kemarahan mereka.

Tidak salah menzahirkan rasa cinta dan kecewa kerana memuliakan Rasulullah.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi

Timbalan Pengerusi MUIS

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 525 access attempts in the last 7 days.