Umat Islam perlu bangunkan kekuatan sendiri

Saya teringat kata-kata guru saya sewaktu belajar di Mesir dahulu mengenai orang yang mengisytiharkan permusuhan dan peperangan ke atas orang Islam:

إن الله يمهل ولا يهمل
“Sesungguhnya Allah mungkin menangguhkan (balasan) tetapi Allah tidak akan sekali-kali melupakan”

Dalam surah Al-Anfal ayat 60 Allah s.w.t memberi penegasan bahawa musuh umat Islam ialah musuh Allah. Ertinya sesiapa yang mengisytihar peperangan dan cari gaduh dengan orang Islam, mereka cari gaduh dengan Allah sendiri.

Soal balasan dan respon daripada Allah s.w.t adalah sesuatu yang pasti berlaku. Allah s.w.t tidak akan membiarkan hamba-Nya yang soleh mati begitu sahaja kerana kezaliman orang yang memusuhi mereka.

Bagi umat Islam; sabar dan tidak membabi buta membalas itu memang betul tetapi itu sahaja tidak cukup. Kita bukan umat yang dayus. Islam bukan hanya agama akhlak dan budi pekerti semata-mata.

Dalam surah Al-Anfal ayat 60 Allah memberi perintah jelas untuk berusaha dan menyiapkan segala bentuk kekuatan yang boleh menakutkan dan menjauhkan musuh-musuh yang meroyan.

Istilah lainnya ialah ‘deterrence’; kita perlu mewujudkan dan menambah kapasiti kita sebagai sebuah umat yang kuat dalam semua dimensi. Kekuatan itu harus terzahir dan menimbulkan rasa gerun kepada musuh yang meroyan sehingga mereka hanya berani melihat dari jauh dan takut untuk melangkah setapak lagi untuk menyerang umat Islam.

Kita jangan terpengaruh dengan ajaran sesetengah penyeleweng Islam yang mengatakan bahawa Islam ini adalah agama yang peramah dan lemah-lembut semata-mata. Seruan sebegitu semuanya seruan untuk menjadikan umat Islam sebuah umat yang dayus, tidak bermaruah, dan tidak ada harga diri.

Umat Islam perlu membina dan menambah kekuatan secara ‘real’ dalam semua dimensi — politik, ekonomi, keselamatan, pendidikan, media, dll — sehingga mencapai tahap umat Islam dapat dilihat sebagai sebuah umat yang digeruni oleh musuhnya yang meroyan.

Nabi s.a.w adalah contoh ikutan kita dalam soal ini. Dengan mereka yang tidak memiliki benci dan permusuhan; dakwah kita adalah dengan cara yang paling menyentuh hati. Namun dengan mereka yang memiliki rasa benci; dakwah kita adalah ketegasan dan kekuatan yang menggerunkan sehingga dengan itu tidak ada orang yang akan berani menghalang umat Islam menyampaikan ajaran kebenaran & kedamaian kepada seluruh dunia.

Jika kita orang yang berakal maka semua yang diperintahkan dalam ayat 60 surah Al-Anfal itu adalah jelas dan sangat logik, tanpa perlu dipusing dan dibelit lagi kefahamannya.

Ust Syed Ahmad Israa’ Syed Ibrahim

Ahli MUIS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 595 access attempts in the last 7 days.