KolumnisUtama

Negara Rahmah adalah dengan Islam berkuasa

Islam jangan lah difahami hanya sebagai agama ritual yang hanya mengatur kehidupan individu dengan Tuhannya sahaja tetapi Islam juga adalah cara hidup yang mengatur kehidupan bermasyarakat bahkan bernegara. Memencilkan peranan Islam hanya untuk mengatur hubungan peribadi dengan tuhan adalah perjuangan golongan sekular yang cuba memaksa rakyat memahami Islam persis seperti agama kristian yang dipinggirkan selepas pertembungan berlaku antara golongan gereja dan ilmuan. Islam tidak boleh sekali-kali disamakan dengan agama-agama lain.

Golongan sekular cuba menafikan peranan kerajaan di dalam menguatkuasakan peraturan agama kerana mereka menganggap agama adalah urusan peribadi. Di dalam negara ini mereka cuba memperjuangkan agar segala undang-undang yang dilihat seperti mencampuri urusan peribadi agar dihapuskan seperti pencegahan khalwat, pengharaman arak dan judi ditiadakan dan dihapuskan.

Sedangkan Islam adalah cara hidup dan peraturan yang bertujuan mewujudkan masyarakat yang bersih , terpelihara daripada kecelaruan keturunan dan apa juga perkara yang merosakkan binaan asas manusia itu sendiri. Kita merasa pelik dan hairan apabila ada di kalangan umat Islam tidak melihat peraturan-peraturan ini membawa rahmat kepada bukan sahaja umat Islam bahkan umat bukan Islam pun merasa kenikmatan peraturan Islam itu.

Aapabila umat Islam membuat bantahan terhadap acara meminum arak secara berpesta, sepatutnya umat Islam menerangkan keburukan-keburukan arak kepada individu dan masyarakat khususnya yang bukan Islam sehingga Islam mengharamkannya bukannya sama-sama memperjuangkan “hak asasi” mereka untuk berpesta minum arak. Islam akan dilihat rahmah apabila peraturannya dibuktikan membawa kebaikan kepada seluruh manusia tidak kira agama. Amat silap tanggapan bahawa rahmah itu adalah ialah membiarkan mereka minum arak sehingga merosakkan akal dan kekeluargaan mereka atas alasan itulah hak asasi mereka.

Rahmah dalam Islam perlu dilihat secara menyeluruh dari ayat-ayat al Quran dan hadith-hadith sahih bukan sekadar memetik satu dua ayat al Quran sahaja. Islam memang mengajarkan kepada umatnya untuk menampilkan akhlak-akhlak terpuji kepada manusia samada Islam dan bukan Islam. Dan itu pun antara tujuan utama perutusan Rasulullah SAW.

Namun jangan dianggap tidak rahmah bila Nabi SAW bertindak tegas bahkan memerangi kemaksiatan dan kemungkaran yang berlaku. Jangan pula tindakan Nabi SAW memerangi golongan kafir yang memusuhi Islam dalam siri peperangan baginda SAW dianggap sisi gelap di dalam sejarah Islam dan dianggap tidak rahmah. Bahkan di dalam peperangan itupun Nabi SAW mengajar umatnya untuk berlaku rahmah walaupun semasa perang dan sikap terhadap tawanan perang.

Tegas , tuntas pada situasinya juga tidak lari dari kompas rahmah kerana al Quran juga menggesa umat Islam untuk menyuruh kebaikan-kebaikan dan di dalam masa yang sama menyuruh umat Islam mencegah kemungkaran dan kemaksiatan yang berlaku.

Antara unsur membina negara Malaysia baru yang rahmah ialah memastikan pentadbiran negara diurus dengan penuh amanah dan intergriti. Memerangi rasuah, salah guna kuasa, mengutamakan kepentingan rakyat adalah antara indikator sesebuah negara itu ditadbir secara rahmah. Namun jangan dipinggirkan bahawa mempertahankan identiti negara sebagai sebuah negara Islam dan melebarluaskan pengaruhnya di dalam pentadbiran negara adalah punca rahmahnya Islam dapat disaksikan oleh rakyat yang bukan Islam.

Perjuangan mensekularkan negara ini perlu dibantah oleh semua umat Islam yang bercita-cita untuk membuktikan Islam adalah rahmah kepada semua orang kerana jika berjaya dipropogandakan bahawa negara ini adalah negara sekular , bagaimana jalan kita untuk membuktikan Islam adalah cara hidup, pedoman kepada individu , masyarakat dan negara untuk dilihat, dirasai dan dikongsi bersama oleh masyarakat bukan Islam. Ini disebabkan falsafah sekular adalah meminggirkan peranan agama di dalam kehidupan.

Islam bukan sahaja ditonjolkan dengan mengadakan program “masjid terbuka” untuk dikunjungi oleh rakan-rakan bukan Islam dan kaum wanitanya diberi peluang “merasai “ bagaimana bertudung seperti muslimah berpakaian tetapi orang bukan Islam juga dijemput merasai nikmat bernaung di bawah pemerintahan Islam yang sifatnya rahmatan lil alamin. Semua peraturan Islam termasuk beramasyarakat dan bernegara sangat sesuai dengan fitrah dan keperluan manusia walaupun orang itu bukan Islam.

Jadi para pemimpin Islam di dalam negara ini wajib bersungguh-sungguh mempertahankan jati diri negara ini sebagai negara Islam dan tanggungjawab utama mereka untuk memelihara agama. Beri peluang kepada orang bukan Islam melihat rahmahnya Islam bila ia menjadi sendi utama pemerintahan negara. Kata Imam al Ghazali :

“Ketahuilah bahawa syariat (agama) itu asas, manakala kerajaan (negara) itu penjaganya, apa yang tiada asas dia akan runtuh, apa yang tiada penjaga dia akan hilang.”

Sohibus Samahah Ust Zamri Hashim

Timbalan Mufti Negeri Perak 

Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply