Malaysia selamanya negara Islam bukan negara sekular!

Usai saya menyampaikan ceramah “Malaysia negara Islam” timbul satu pertanyaan yang mempertikaikan slogan ini dipertegaskan semula kerana dikhuatiri menimbulkan kecurigaan kepada orang-orang bukan Islam di negara ini. Maka jawapan saya ialah sikap kita yang membisu tatkala ada pihak yang terang-terangan mengatakan negara ini bukan negara Islam bahkan tidak pernah jemu menegaskan negara ini adalah negara sekular adalah sikap bacul , dayus dan hilang sifat curiga bahawa sifat keislaman negara ini bakal dirampas dan dikuburkan.

Ramai orang tidak melihat kepentingan status negara ini samada negara Islam ataupun sekular dan menganggap ia sebagai jenama biasa sahaja. Bagi umat Islam yang sayang kepada agamanya , status ini penting kerana ia menggambarkan sejauh mana kefahaman ia kepada tabiat agama ini, bahkan ia juga memberi kesan kepada hala tuju perjuangan Islam di dalam negara ini.

Jika gerakan meletakkan status negara ini sebagai negara sekular berjaya, maka tabiat Islam sebagai cara hidup yang sempurna dan menyeluruh akhirnya akan terpencil hanya sebagai ritual-ritual agama sebagai amalan peribadi. Islam tidak lagi mengawal kehidupan bermasyarakat mahupun bernegara. Tabiat ajaran Islam bukan begitu, bahkan Islam adalah cara hidup yang lengkap dari peringkat peribadi , bermasyarakat dan bernegara.

Jika kempen mensekularkan status negara ini berjaya, maka perbincangan mendaulatkan undang-undang dan peraturan Islam akan terhenti dan tidak relevan lagi untuk dibincangkan di dalam sebuah negara sekular kerana bagi fahaman sekular agama itu adalah semata-mata urusan peribadi sahaja. Misi membuktikan Islam itu rahmahtan lil ‘alamin akan terbantut kerana Islam sebagai satu sistem hidup termasuklah bernegara akan terhenti setakat amalan individu sahaja. Orang bukan Islam tidak berpeluang melihat betapa rahmahnya Islam bila berkuasa.

Di dalam sebuah negara sekular hala tuju perjuangan Islam akan mencapai kemuncaknya sekadar menumpukan kepada isu-isu ibadah ritual seperti ibadah-ibadah khusus dan akhlak peribadi sahaja manakala menguatkuasakan al hisbah dan amar makruf nahi munkar akan terhenti kerana ia akan dianggap sebagai mengganggu kehidupan peribadi . Masyarakat sudah tidak mengambil endah isu khalwat, LGBT dan sebagainya.

Membuat penegasan bahawa negara ini adalah negara Islam tatkala ada pihak yng bersungguh-sungguh mengungkapkan negara ini sebagai negara sekular adalah tepat pada masanya dan sebagai langkah yang berani. Ini disebabkan penegasan negara ini sebagai sebuah negara Islam didokong dengan fakta yang terang lagi nyata samada dari sudut syarak, sejarah mahupun perlembagaan negara sendiri.

Definisi dan ciri negara Islam telah dibincang dan dibahaskan oleh para ulama terdahulu sehinggalah hari ini . Antaranya :

Al-Sarakhsi: “Negara Islam ialah nama bagi suatu kawasan yang berada di bawah kekuasaan orang-orang Islam di mana mereka beroleh keamanan berada di dalamnya.” (Al-Mabsuth)

Al-Shaibani: “Negara Islam adalah setiap tanah yang terlihat padanya hukum hakam Islam atau penduduknya adalah orang Islam, walaupun ia bercampurnya dengan selainnya.” (Al-Sair Al-Kabir)

Ibnu Qayyim: “Golongan teramai para fuqaha berpendapat; negara Islam ialah negara yang diduduki oleh orang-orang Islam dan berjalan padanya hukum-hakam Islam dan selagi mana tidak berjalan padanya hukum-hakam Islam maka ia bukanlah negara Islam.” (Ahkam Ahli Al-Zimmah)

Sebahagian ulama lain pula melihat perbahasan ini dalam erti lebih luas. Khususnya kerana mereka hidup serta menyaksikan zaman jatuhnya banyak tanah umat Islam dalam peristiwa serangan Mongol terhadap khalifah Abasiyyah pada tahun 1253M.

Al-Nawawi antaranya melihat takrifan ini dengan erti yang lebih luas bukan sekadar pada teknikal pemerintahan. Beliau menyebut terdapat tiga bentuk negara Islam iaitu:

“Terdapat tiga bentuk gambaran negara Islam iaitu: negara yang diduduki umat Islam, negara yang dibuka oleh umat Islam serta kekal dikuasai oleh mereka, negara yang pada asalnya dikuasai oleh umat Islam kemudian dirampas oleh orang kafir” (Raudhah Al-Thalibin)

Al-Ramli pula menyebut: “Antara bentuk negara Islam ialah yang tempat diketahui umat Islam menguasai negara tersebut pada satu tempoh kemudian dirampas oleh orang kafir seperti yang berlaku di Andalus” (Nihayah Al-Muhtaj)

Apabila kita meletakkan perbahasan ini dalam situasi Malaysia hari ini, kita akan dapati bahawa keislaman Malaysia bukanlah berada pada tahap minima. Kuasa pemerintahan tertinggi (Yang di-Pertuan Agong, Sultan Negeri, Perdana Menteri) di Malaysia masih lagi kekal milik umat Islam. Perlembagaan meletakkan Islam pada kedudukan tersendiri, mempunyai sejarah Kerajaan Melayu Islam Melaka, undang-undang Islam masih lagi didaulatkan walaupun tidak sempurna melalui Mahkamah Syariah, penduduk Islam adalah majoriti serta banyak lagi alasan lain. Oleh itu, keislaman Malaysia adalah suatu perkara yang pasti serta tiada keraguan lagi menurut perspektif syarak.

Perkara paling utama dalam menunjukkan identiti negara Islam Malaysia adalah Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang menyebut “Islam adalah agama bagi Persekutuan;;” atau dalam teks asalnya “Islam is the religion of the Federation”.

Prof. Madya Dr. Shamrahayu A. Aziz menjelaskan (Saifulizam 2016), apabila Islam diletakkan dalam kedudukan yang tinggi dalam Perlembagaan, Islam bukan sekadar menjadi agama untuk upacara keraian atau acara rasmi sahaja bahkan Islam adalah agama negara yang hendaklah diambil berat keberadaannya dalam membentuk polisi pentadbiran dan hala tuju negara.

Sohibus Samahah Ust Zamri Hashim

Timbalan Mufti Perak

Ahli Majlis Ulama ISMA 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 368 access attempts in the last 7 days.