Laungan azan sudah cukup menjadikan Malaysia Negara Islam

1. Ramai yg berhujah bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam berasaskan perkara-perkara besar seperti majoriti muslim, Islam dalam perlembagaan, pemerintah Islam serta pelbagai hujah lain lagi. Kesemua itu memang benar, namun tahukah kita bahawa ulama dahulu telah menggariskan satu kayu ukur yg bagi kita perkara kecil untuk menjadikan ianya negara Islam? Itulah yang mereka sebut sebagai syiar Islam.
 
2. Laungan azan adalah antara syiar Islam yang kita dengari lima kali pada setiap hari bukanlah sekadar petanda telah masuknya waktu solat semata-mata. Tetapi azan itu sendiri mempunyai nilai yang jauh lebih besar daripada itu. Oleh kerana solat itu tiang utama agama, maka sudah tentu laungan paling mulia digunakan utk memelihara tiang utama agama.
 
3. Ibn Abd Bar (Al Astazkar) menyebut:
ولا أعلمُ خلافًا في وجوبِ الأذانِ جملةً على أهل الأمصار؛ لأنّه مِن العلامة الدّالة الـمُفرِّقةِ بين دار الإسلام ودار الكفر
Dan tidak aku ketahui adanya khilaf tentang kewajipan azan untuk penduduk sesuatu kawasan, kerana ianya adalah lambang yang membezakan antara tanah Islam dan tanah Kafir.
 
4. Bahkan diceritakan bahawa Nabi SAW sendiri menjadikan azan sebagai satu kayu ukur bahawa tanah itu telah bebas daripada kekufuran. Anas ra menceritakan:
كان رسول الله صلى الله عليه وسلم إذا غزا قوما لم يُغِرْ حتى يصبحَ، فإن سمع أذانًا أمسك، وإنْ لم يسمع أذانًا أغار بعدما يصبح”.
Sesungguhnya Rasulullah SAW apabila memerangi sesuatu kaum Baginda tidak akan mulakan serangan sehingga selepas subuh, kerana apabila didengari azan Baginda akan berhenti drpd berperang, jika tidak dengar maka Baginda akan serang selepas subuh. (riwayat Bukhari dan Muslim)
 
5. Menurut al-Ghadban (Manhaj Haraki), dalam kisah penubuhan negara Islam Madinah juga kita saksikan antara perkara awal yang Baginda lakukan selain membina masjid, menyatukan Ansar Muhajirin, membuat piagam Madinah ialah disyariatkannya laungan azan. Ianya disyariatkan pada saat berdirinya negara Islam yang pertama.
 
6. Oleh itu, sebenarnya berdasarkan laungan azan yang merupakan syiar Islam yang kita dengar saban hari atas tanah air ini sudah cukup menjadikan Malaysia sebagai negara Islam. Apatah lagi apabila ada bersama hujah-hujah lain yang memperkukuhkan perkara ini. Memang tanpa keraguan lagi bahawa Malaysia adalah negara Islam.
 
7. Yang lebih menarik lagi, tahukah kita bahawa beberapa saat selepas dilaungkan ungkapan ‘merdeka’ pada 31 Ogos 1957, seruan pertama yang dilaungkan setelah itu adalah seruan syiar tauhid (azan) yang dilaungkan oleh al-marhum Tan Sri Hassan Azhari. Ini bererti kemerdekaan kita adalah dengan mengangkat ketinggian tauhid.
 
8. Sebab itulah hari ini, antara perkara yang puak ini tentang secara bersungguh adalah laungan ini. Mereka berhujah kononnya azan ini menggangu ketenteraman awam, cukup dengan pembesar suara dalam masjid sahaja, bahkan ada sebahagian siaran televisyen tidak lagi melaungkan azan saat masuknya waktu solat. Mereka tahu syiar ini perlu dipadam dahulu sebelum perkara lainnya.
 
Lalu tidak tercabarkah iman kita saat melihat semua perkara ini terjadi?
 
#MalaysiaNegaraIslam
 
Muhammad Firdaus Zalani
Pegawai MUIS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 368 access attempts in the last 7 days.