Islam Liberal berakar umbi dari Nifaq

Liberalisme hari ini tidak begitu tepat untuk dinisbahkan kepada muktazilah. Isu liberalisme hari ini jika dinisbahkan kepada muktazilah, maka ia boleh dikatakan satu nisbah yang masih boleh dihormati, kerana ulamak muktazilah seperti Az-Zamakhsyari dan Al-Qadhi Abdul Jabbar dan Abu al-Husayn Al-Basri masih dianggap sebagai imam dalam bidang keilmuan masing-masing.

Hatta di dalam pegangan ahli sunnah wal jamaah, pegangan muktazilah tidak dikira masuk dalam kekufuran, ia adalah bid’ah dalam furu’ akidah, yakni perbahasan-perbahasan akidah yang dibahas secara terperinci, bukan secara mujmal, seperti isu wajibnya perbuatan Allah di dalam perutusan rasul, kedudukan di antara syurga dan neraka, isu dosa besar dan seumpamanya.

Walaupun demikian, tiada seorang pun di kalangan para pelopor muktazilah itu menyatakan Syariat Allah tidak relevan hingga digantikan dengan akal manusia semata-mata. Tidak ada seorang pun daripada mereka yang menolak hukum yang jelas dalam Al-Quran. Tidak ada seorang pun daripada mereka yang membenarkan murtad, dan seumpamanya.

Bagi saya usul liberalisme yang hampir boleh dikaitkan dengan fahaman muktazilah adalah tahsin dan taqbih aqliy, yakni baik dan buruk sesuatu perkara itu boleh difahami secara zatnya sendiri, walaupun syarak tidak menyebutnya. Itupun perbahasan tersebut tidak menyentuh pun hukum fiqh yang telah pun ‘ditetapkan’ oleh para ulamak fiqh, kerana ia adalah perbahasan furu’ (cabang) akidah bukan perbahasan hukum fiqh yang wajib dilaksanakan.

Sedangkan banyak usul lain liberalisme yang memang bukan daripada akar muktazilah pun. Ia bagi saya adalah berakar umbi daripada akar nifaq.

Nifaq dalam erti kata lain mendahulukan maslahat dunia, berbanding maslahat agama. Nifaq yang bererti pragmatis, oportunis, mencari peluang, menunggang agama untuk kepentingan dunia, dan menjadikan maslahat dunia sebagai paksi dan maqasid utama, dan maslahat agama hanyalah sebagai wasilah.

Itulah keterkaitan yang lebih tepat. Bagi golongan munafiq, segalanya halal selagimana ia memberi maslahat kepada mereka. Mereka menggunakan ‘maslahah’ sebagai asas perkiraan, sedangkan para ulamak apabila dikatakan melihat dengan ‘nazr maqasidi’ (pandangan maqasid) mereka melihat maslahah dan mafsadah. Sepertimana mereka (ulamak) meluaskan makna maslahah, mereka meletakkan disiplinnya, dan lebih penting lagi, mereka juga melihat mafsadahnya, seperti mana yang ditetapkan dalam dalil sadd az-zariah.

Namun bagi golongan nifaq ini, segala disiplin tidak penting. Yang penting maslahat terbesar (dalam dakwaan mereka) itu tercapai. Tiada disiplin, tiada pertimbangan, tiada neraca yang tetap, kerana semuanya berkisar kepentingan dunia, sama ada dari sudut harta, ataupun kuasa. Di mana ada maslahat, di situ mereka berpijak.

Apabila mereka menetapkan suatu pendirian, mereka lihat apa timbal balik yang mereka akan dapat, kemudian barulah dipanggil ulamak mereka untuk ‘halalkan’ tindakan mereka, atau promosikan agenda mereka, atau saluti slogan mereka dengan citra islamik dan nas-nas yang umum.

Apabila ditegur bahawa ia disalahguna, mereka mencari-cari pandangan ‘syaz’ yakni ganjil dan pelik, lalu dijadikan sebagai hujjah (yang baru jumpa) dan mendakwa bahawa mereka mempunyai fikiran yang sama dengan ulamak itu tadi.

Hakikatnya mereka lebih dekat dengan sifat zindiq berbanding seorang muslim. Zindiq akan mencari-cari jalan keluar bagi melunaskan keinginan nafsunya, walaupun dia terpaksa berhadapan dengan seribu satu halangan syarak, dia akan cari satu pintu yang membolehkannya untuk keluar. Apabila pintu itu tiada, dia akan mencipta pintu yang baharu, dan dia namakan pintu itu sebagai ijtihad yang baru, atau nama lainnya adalah ‘tajdid’, seolah-olah ulamak dahulu tidak pernah membahaskan perihal yang mereka telah lalui.

Bagaimana mahu selamat daripada gejala nifaq dan zindiq ini?

Untuk isu ini, ia memerlukan tulisan yang lain. Cuma buat masa ini, cukuplah saya katakan, bahawa pada hari ini perpecahan politik umat Islam adalah satu kemungkaran yang nyata. Perpecahan ini subur dengan fenomena nifaq yang melanda umat Islam pada hari ini. Meletakkan diri dalam tempurung kepartian dalam menentukan betul salahnya suatu perkara adalah satu bentuk nifaq yang nyata, dan akan menyuburkan lagi agenda kuffar dalam memecahbelahkan umat Islam.

Keluarlah daripada tempurung itu, dan lihatlah ummah yang sedang diserang ini (seperti yang disebut dalam hadis) sebagai satu ‘projek bersama’ yang dilandasi akidah dan syariah.

Bukankah Tuhan sendiri sudah tetapkan, bahawa kita adalah muslim yang bersaudara ?

Wallahua’lam.

Ust Ahmad Syamil Esa

Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 318 access attempts in the last 7 days.