Barat akan terus mengekang Malaysia menjadi Negara Islam

Gerakan Islam yang jujur dengan cita-cita untuk memperjuangkan Islam mestilah mempunyai gambaran lengkap bagi sistem dan instrumen yang akan dibangunkan untuk menggantikan sistem jahiliyah yang sedang menguasai dunia sekarang. Gerakan Islam mestilah menawarkan badil hadhari (ketamudanan alternatif) yang tersendiri, menyeluruh, bersumberkan wahyu dan tiada titik temu dengan mana-mana falsafah barat yang menyeleweng.

Justeru, kewujudan negara Islam adalah asas pertama untuk membangunkan sebuah tamadun yang berpaksikan tauhid. Negara Islam yang ditegakkan dengan nilai Al-Quran dan Sunnah akan menyaingi negara-negara yang didirikan berdasarkan kerangka barat yang penuh dengan hawa nafsu, penindasan dan kezaliman. Negara Islam memberikan penyelesaian mutlak bagi semua permasalahan dalam setiap aspek kehidupan manusia.

Hakikat ini difahami oleh musuh-musuh Islam, lalu mereka menumpukan perancangan jahat untuk mematikan apa sahaja usaha pembentukan atau pengiktiran sesebuah negara dengan status negara Islam.

Barat mengetahui bahawa munculnya sebuah negara Islam adalah kunci utama bagi sebuah kebangkitan semula tamadun Islam di dunia. Selepas strategi ketenteraan mereka gagal untuk menghentikan nadi perjuangan Islam dalam jiwa umat, mereka mula menggunakan pendekatan lain. Mereka mahu mengubah status dan kerangka negara melalui cara halus.

Dalam konteks di Malaysia, kuasa barat menggunakan bantuan sebahagian pertubuhan dan individu untuk memberi tekanan supaya Malaysia tidak diiktiraf sebagai sebuah negara Islam. Para pengkhianat ini secara sedar mencabul asas-asas utama dalam Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf Islam sebagai agama Persekutuan. Kejayaan umat Islam di Malaysia bergantung sejauhmana mereka berpegang teguh dengan prinsip-prinsip Islam dan tidak bertolak ansur dengan usaha-usaha jahat ini.

Antara strategi lain yang digunakan oleh kuasa barat adalah menamakan beberapa pertubuhan dan individu dengan nama pertubuhan Islam moderat atau individu Islam moderat. Mereka itulah sebenarnya pembelot yang akan mengikut apa sahaja kehendak politik kuasa luar bagai lembu dicucuk hidung. Topeng yang dipakai mereka makin terserlah dari hari ke hari. Mereka semakin lama, semakin berubah-ubah pegangan prinsip, lalu menyerah kalah kepada realiti barat dan akhirnya menjadi cenderong kepada kerangka falsafah barat yang memusuhi Islam.

Musuh dalam selimut itu lebih bahaya daripada musuh yang zahir kerana mereka membenarkan secara diam laungan musuh Islam bahawa Islam tidak mampu untuk memberikan kebaikan kepada manusia dan hanya falsafah berkiblatkan barat sahaja sebagai jalan keluar kepada permasalahan umat Islam. Dalam hati kecil mereka sudah menerima secara total bahawa sistem barat adalah yang terbaik.

Atas asas inilah mereka mahu ICERD untuk diterima, mereka memperjuangkan konsep kesamarataan mutlak, mereka menolak pemerkasaan undang-undang syariah, mereka memansuhkan hukuman mati, mereka mendesak pelbagai undang-undang barat untuk diterima pakai dalam negara kita Malaysia.

Kita katakan kepada mereka ini, Malaysia Negara Islam. Titik.

Umar Al-Khattab pernah berkata bahawa dia bukanlah seorang yang penipu dan juga dia tidak mudah untuk ditipu dengan muslihat musuh.

Ust Shuhaib Ar-Rumy bin Selamat

Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 525 access attempts in the last 7 days.