Proksi Liberal dan Pencairan Identiti Muslim

Musuh Islam telah berusaha selama beratus-ratus tahun untuk memerangi dan mengalahkan umat Islam. Serangan demi serangan dilakukan tetapi akhirnya tetap gagal, malah golongan Tartar yang berjaya memecahkan dokongan muslimin di Ain Jalut juga berakhir dengan memeluk Islam.

Setelah gagal untuk menjatuhkan dan menguasai khilafah dengan kekuatan ketenteraan, kini musuh tidak lagi menggunakan kekuatan fizikal kerana mereka mengetahui bahawa mereka tidak akan mampu mengalahkan umat Islam kerana mereka berpegang teguh dengan ajaran Islam dan mencintai syahid.

Maka mereka menukar strategi dengan mencipta atau merekrut ejen-ejen mereka daripada kalangan umat Islam sendiri bagi menjalankan peranan untuk merosakkan jatidiri umat Islam serta menjauhkan mereka daripada ajaran Islam. Syed Qutb berkata di dalam fi zilal al-Quran:

“Apabila mereka mahu menghancurkan Khilafah ‘Uthmaniyah dan menghapuskan saki baki fenomena pemerintahan pemerintahan Islam yang terakhir di sana, mereka ciptakan seorang pahlawan di Turki (Kamal Ataturk-penterjemah), lalu mereka membesar-besarkan imejnya dan membuat angkatan-angkatan tentera pihak bersekutu yang menduduki Istana di waktu itu berundur di hadapan angkatan tenteranya, supaya beliau benar-benar dipandang sebagai pahlawan di mata rakyat Turki, iaitu seorang pahlawan yang telah berjaya menghapuskan sistem pemerintahan khilafah, menghapuskan penggunaan bahasa Arab, memencilkan Turki dari umat Muslimin, dan mengisytiharkan Negara Turki sebagai Negara sekular yang tidak ada hubungan dengan agama.

Mereka terus terang mengulangi tindakan mereka mewujudkan pahlawan-pahlawan palsu apabila mereka mahu menghancurkan Islam dan harakah-harakah Islam di dalam mana-mana negeri Islam.”

Perkara yang sama juga sedang melanda umat Islam Malaysia apabila yahudi dan barat cuba untuk merosakkan jatidiri umat Islam di Malaysia dengan menggunakan proksi-proksi liberal yang terdiri daripada ejen-ejen mereka yang berselindung di sebalik laungan, islam moderate, islam liberal, hak asasi manusia, syiah, hak samarata dan istilah-istilah lain yang bertopengkan Islam dan ahlul bait.

Tidak cukup dengan itu golongan liberal ini mencipta tafsiran terhadap ayat-ayat al-quran dengan mentafsir secara selektif dan berdasarkan nafsu seperti penggunaan ayat rahmatan lil alamin. Penciptaan dan penggunaan istilah-istilah ini adalah bertujuan untuk mengelirukan dan memecahkan kesatuan umat Islam supaya akhirnya mereka menerima ideologi yang dibawa oleh musuh Islam yang telah ditempelkan dengan nama Islam.

Ust Mus’ab Norkefli

Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 413 access attempts in the last 7 days.