Menilai kedudukan kita di sisi Allah swt

1. Ibn Ata’illah al-Sakandari berpesan kepada kita tentang bagaimana untuk mengetahui kedudukan kita di sisi Allah. Kata beliau:
إذا أَرَدْتَ أنْ تَعْرِفَ قَدْرَكَ عِنْدَهُ فانْظُرْ في ماذا يُقيمَكَ

“Sekiranya engkau ingin mengetahui kadar (kedudukanmu) di sisi Allah, maka lihatlah dengan apa dia membuatkan dirimu sibuk” (al-Hikam Ibn Ataillah)

2. Dengan apa kita disibukkan hari ini? Sekiranya kita sibuk dengan dunia, dosa atau kelalaian, maka kita seharusnya bimbang kerana dosa memusnahkan dan menjauhkan kita dari Allah.

3. Allah menegaskan bahawa antara tanda-tanda seorang yang rasyid (yang diberi petunjuk) itu adalah mereka yang mencintai perkara keimanan dan membenci dosa dan maksiat. Firman Allah:

وَلَٰكِنَّ اللَّهَ حَبَّبَ إِلَيْكُمُ الْإِيمَانَ وَزَيَّنَهُ فِي قُلُوبِكُمْ وَكَرَّهَ إِلَيْكُمُ الْكُفْرَ وَالْفُسُوقَ وَالْعِصْيَانَ ۚ أُولَٰئِكَ هُمُ الرَّاشِدُونَ

Dan sesungguhnya Allah menjadikan keimanan suatu perkara yang kamu cintai serta diperhiaskannya dalam hati kamu, dan Allah jadikan kekufuran, perbuatan fasik serta maksiat sebagai perkara-perkara yang kamu benci; mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang tetap menurut jalan yang lurus. (al-Hujurat:7)

4. Kesibukan berfikir tentang perkara keimanan dan amal soleh adalah petanda yang sangat baik tentang kedudukan kita dengan Allah. Salah satunya adalah keseronokan bersama dengan al-Quran.

5. Saidina Abdullah ibn Mas’ud berpesan:

لا يسأل أحدكم عن نفسه إلا القرآن فإن كان يحب القرآن فهو يحب الله وإن كان يبغض القرآن فهو يبغض الله ورسوله

“Janganlah seseorang itu sibuk bertanya perkara-perkara lain tentang dirinya melainkan al-Quran. Sekiranya dia mencintai al-Quran iaitu Kalamullah, maka sesungguhnya dia mencintai Allah.” (Ibn Abid/Ubayd, Fadail al-Quran)

5. Kata al-Imam Sahl al-Tustari:
علامة حب الله حب القرآن

“Tanda-tanda kecintaan seseorang itu pada Allah (dan Allah mencintainya) adalah dengan mencintai al-Quran.

Moga Allah menyibukkan kita dengan perkara keimanan dan mencintai al-Quran.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi

Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 413 access attempts in the last 7 days.