Mengesakan Allah itulah Rahmatan lil Alamin

Slogan “Rahmatan Lil Alamin” semakin di ketengahkan kepada masyarakat. Ia adalah satu usaha yang sangat baik dan memberi kesan yang besar kepada masyarakat. Seperti juga slogan-slogan yang diperkenalkan sebelum ini seperti “wasatiyyah” dan sebagainya, perlu diluruskan sejajar dengan al Quran dan al Sunnah kerana jika dibiarkan lepas dan bebas ditafsir oleh sesiapa sahaja tanpa panduan al Quran dan al Sunnah serta tafsiran ulama muktabar maka slogan-slogan ini juga akan terdedah kepada penyelewengan-penyelewengan fahaman dan akan memberi kesan besar kepada cara berfikir masyarakat.

Sebagai contoh , ada juga di kalangan masyarakat Islam memahami konsep wasatiyyah sebagai tindakbalas kepada fahaman ekstrim agama. Mereka memaknakan pula ekstrim kepada agama ialah berpegang teguh kepada Islam seperti solat lima waktu, kekal menutup aurat, menuntut hukum-hukum Islam dilaksanakan. Lantaran itu mereka memahami wasatiyyah itu “bersederhana dalam beragama” , solat lima waktu itu tidak salah kalau dibuat hanya tiga waktu, tidak mengapa jika menutup aurat hanya di majlis-majlis rasmi agama sahaja manakala di dalam majlis-majlis lain yang mereka rasakan “bukan agama” mereka bebas untuk membuka aurat, majlis-majlis yang bercampur maksiat pun dimulai dengan doa. Ini adalah contoh-contoh mudah di dalam memaknakan wasatiyyah dengan pemahaman yang salah.

Slogan “Rahmatan lil Alamin” atau secara mudah diungkapkan bahawa perutusan Rasulullah SAW adalah sebagai rahmat kepada seluruh alam telah diulas oleh ramai penulis dan diwacanakan di atas berbagai-bagai platform perbincangan.

Untuk menambahkan lagi khazanah perbincangan konsep ini dan yang lebih utama ialah supaya semua khazanah perbincangan mengenai konsep ini tetap berada di atas landasan yang sebenar dan tidak keluar dari jalur kebenaran bahkan tindakan yang selaras dengan kefahaman sebenar dapat dilaksanakan bersungguh-sungguh bukan sekadar retorik dan slogan meraut keuntungan duniawai sahaja, saya mengajak pembaca menekuni dari mana sumber slogan ini diambil an bagaimana sepatutnya pemahaman kita terhadap slogan ini.

Umumnya slogan ini dipetik dari ayat al Quran, surah al Anbiya’ yang bermaksud : Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.(QS al Anbiya’:107)

Menarik untuk difahami, seusai Allah memberi maklum kepada Rasulullah SAW bahawa pengutusannya ke alam ini sebagai rahmat, ayat-ayat berikutnya secara berturutan menjelaskan maksud tugas Rasulullah SAW menerangkan kepada manusia bahkan mengajak menusia kepada mentauhidkan Allah SWT . Ayat-ayat seterusnya juga menceritakan akibat daripada keengkaran menerima tauhid sebagai pakej rahmatan lil Alamin dari Rasulullah SAW.

Firman Allah SWT : Katakanlah: “Sesungguhnya yang diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan yang bersifat Esa, maka adakah kamu mahu menurut apa yang diwahyukan kepadaku?” Sekiranya mereka berpaling ingkar maka katakanlah: “Aku telah memberitahu kepada kamu (apa yang diwahyukan kepadaku) dengan keterangan yang jelas untuk kita bersama; dan aku tidak mengetahui sama ada (balasan buruk) yang dijanjikan kerana keingkaran kamu itu, sudah dekat atau masih jauh.(QS al Anbiya’ :108-109)

Ayat 107-109 surah al Anbiya’ secara jelas menekankan perutusan Rasulullah dengan membawa risalah tauhid itulah sebagai rahmat kepada seluruh alam.

Risalah tauhid menpersatukan kita dan alam ini dengan menginsafi bahawa manusia adalah sebahagian dari alam yang diciptakan oleh Yang Maha Esa iaitu Allah SWT, sepatutnya tiada konfrantasi antara keduanya. Risalah tauhid memberi gambaran yang jelas mengapa kita diciptakan oleh Allah untuk menghuni alam ini semata-semata menjadi hambaNya dan diberi amanah untuk memakmurkan alam ini. Juga gambaran jelas pengakiran semua kita akan menemui Allah jua. Kesimpulannya risalah tauhid ialah mengajak seluruh manusia hanya untuk menyembah Tuhan Yang Tunggal iaitu Allah SWT.

Bertitik tolak dari kefahaman di atas, slogan rahmatan lil Alamain seharusnya meletakkan agenda mengajak seluruh manusia mentauhidkan Allah sebagai agenda utama dan kemudiannya dituruti dengan agenda yang lain. Sebarang usaha untuk membenarkan orang Islam murtad, mempertikaikan tindakan terhadap ajaran-ajaran yang menyeleweng dari ajaran Islam seperti yang telah difatwakan sesat seperti syiah, bahai dan lain-lain, menyamaratakan semua agama, membiarkan kedudukan Islam terus terus dicerca dan hina adalah bertentangan sekali dengan konsep rahmatan lil Alamin.

Ayat surah al anbiya’ ayat 107 hendaklah dibaca bersama dengan ayat-ayat berikutnya untuk kita memahami kehendak sebenar Allah SWT apabila mengutus Rasulullah SAW sebagai rahmatan lil alamin.

SS Tuan Haji Zamri Bin Hashim,

Timbalan Mufti Negeri Perak

Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 1365 access attempts in the last 7 days.