Desakan Ahli Parlimen Batu Kawan mengancam Islam sebagai teras Malaysia

1-Majlis Ulama ISMA (MUIS) menyokong kebimbangan serta bantahan yang dikeluarkan oleh ramai pihak terhadap kenyataan yang dikeluarkan oleh Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuriraani Patto mendesak kerajaan meratifikasi ‘International Convention Against All Forms of Racial Discrimination, Convenant on Civil and Political Rights (ICCPR)’ yang mana dalam artikel 18 konvensyen tersebut memberi hak kepada semua manusia untuk mengamalkan dan menukar agama mereka sesuka hati tanpa boleh diambil tindakan oleh sesiapa.

2-Dalam hal ini secara tidak langsung, kenyataan ini menyeru supaya kebebasan menukar agama termasuklah dikalangan umat Islam. Dalam istilah Syarak disebut sebagai murtad (menukar agama) di mana ianya adalah antara perkara yang haram secara nas serta diijma’kan (disepakati) dikalangan umat Islam dari dahulu hinggalah kehari ini.

3-Desakan tersebut juga secara jelas bertentangan dengan konsep asas Perlembagaan Persekutuan dalam Perkara 3 yang meletakkan Islam sebagai Agama Persekutuan dalam masa yang sama agama lain bebas untuk diamalkan yang perlu dihormati oleh semua pihak. Perkara ini menunjukkan bahawa segala asas Syariat Islam terpakai terhadap negara ini termasuklah dalam hal kebebasan beragama atau murtad.

4. Perkara 11(4) dalam Perlembagaan Persekutuan juga ada menegaskan hal ini iaitu boleh adanya undang-undang untuk mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam. Kalau menyebarkan doktirin terhadap umat Islam tidak dibenarkan apatah lagi bertukar agama (murtad).

5. Begitu jugalah desakan Ahli Parlimen Batu Kawan dalam hal berkaitan ajaran-ajaran sesat di dalam Islam. Kita dikalangan umat Islam mempunyai mufti-mufti serta Jabatan Agama Negeri yang menjadi rujukan dalam perkara ini. Jadi dia sebagai bukan Islam perlu hormati perkara ini dan tidak sepatutnya campur tangan dalam hal urusan umat Islam seperti mana umat Islam boleh menghormati dan tidak campurtangan dalam hal dalaman agama bukan Islam.

6-MUIS menyeru supaya semua pihak perlu kembali sedar bahawa Malaysia adalah sebuah Negara Islam secara demografi, dasar, budaya bahkan asas sejarah itu sendiri. Walaupun dengan pelbagai kekurangan yang ada ianya tidak pernah mengubah hakikat bahawa tanah ini adalah Negara Islam. Maka sebarang usaha yang bertujuan mengancam Islam itu pada hakikatnya sedang mengancam asas kenegaraan Malaysia itu sendiri.

7-Masyakarat Malaysia sudah lama hidup dengan penuh toleransi, harmoni dan aman berasaskan Islam sebagai identiti negara walaupun berbilang bangsa dan agama. Desakan seperti ini boleh menggugat serta mengancam keharmonian yang akan membawa ketidakstabilan sosio budaya dikalangan masyarakat Malaysia.

8- Oleh itu, MUIS menuntut supaya Ahli Parlimen Batu Kawan menyatakan permohonan maaf secara terbuka terhadap seluruh rakyat Malaysia kerana isu ini bukan sahaja berkait dengan umat Islam tetapi berkait dengan asas kenegaraan ini sendiri yang melibatkan semua pihak.

9- MUIS juga menyeru supaya ahli-ahli Parlimen di Malaysia sama ada Islam atau bukan Islam kembali di didik berkenaan teras kenegaraan ini khususnya berkait dengan Islam, Melayu dan Raja supaya kenyataan seperti ini tidak akan keluar di masa hadapan. Kita mahukan Malaysia Baru yang membangunkan negara bukan meruntuhkan atau meleraikan asas kenegaraan yang kita lindungi selama ini.

10- MUIS mengingatkan Ahli Parlimen Muslim yang diangkat menjadi ahli Parlimen untuk berhenti berada dalam kepompong kesempitan kepartian saat Islam, Melayu dan Raja dipersoalkan. Kesepakatan sera wala’ berasaskan keimanan, Aqidah bahkan Islam itu sendiri sepatutnya diletakkan ditempat paling tinggi dalam semua hal menjangkaui kepartian itu sendiri. Ingatlah yang mengangkat anda di Parlimen bukanlah seteru politik anda, tetapi secara hakikatnya ianya adalah peluang yang diberikan oleh Allah swt yang akan dipersoalkan di akhirat kelak.

Dia Raja segala raja, Ketua segala pemimpin.

قُلِ اللَّهُمَّ مَالِكَ الْمُلْكِ تُؤْتِي الْمُلْكَ مَن تَشَاءُ وَتَنزِعُ الْمُلْكَ مِمَّن تَشَاءُ وَتُعِزُّ مَن تَشَاءُ وَتُذِلُّ مَن تَشَاءُ ۖ بِيَدِكَ الْخَيْرُ ۖ إِنَّكَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

Dr Mohd Soberi Awang

Pengerusi Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 413 access attempts in the last 7 days.