Bencana adalah satu muhasabah untuk orang beriman

Suatu hari berlaku gempa bumi di bumi Madinah pada zaman Umar Al-Khattab. Lalu Umar Al-Khattab menghimpunkan semua penduduk Madinah dan berkata :

“Wahai ahli Madinah. Sekiranya ada dari kalangan kamu semua tidak berhenti daripada apa yang telah dia lakukan (berbentuk maksiat) lalu gempa bumi berlaku sekali lagi, aku pasti akan keluarkan kamu semua daripada bumi Madinah ini”. Diambil dengan sedikit ubahsuai daripada kitab Ad-Daa’ wa Ad-Dawaa’ oleh Ibnu Qayyim

Itulah kefahaman mukmin, dia melihat segala yang berlaku dengan neraca iman. Dia memahami apa yang berlaku adalah kehendak Tuhan, sebelum menisbahkan malapetaka kepada unsur sains dan teknikal.

Ya, boleh jadi malapetaka atau musibah berlaku kepada seseorang sebagai ujian bagi meningkatkan darjat di sisi Tuhan, boleh jadi ia adalah balasan bagi kesalahan-kesalahan yang telah dilakukan.

Hakikatnya walaupun kita tidak tahu secara pasti ia untuk apa, jiwa mukmin yang sensitif akan memuhasabah kembali hubungannya dengan Tuhan, sejauhmana masyarakatnya berdiri atas landasan Al-Quran, dan sejauhmana dia menilai kehidupannya dengan neraca yang dikehendaki Tuhan.

Sains boleh memberitahu kita apa yang berlaku, namun hanya iman yang boleh menafsirkan sesuatu dengan tepat, kenapa ia boleh berlaku.

Bila terlalu melihat sains sebagai neraca, kita akan hilang punca. Apabila iman diambil sebagai kerangka, maka hidup akan aman dan bahagia.

Bukankah dengan mengingati Allah, hati akan tenang ?

Wallahua’lam bissawaab.

Ust Ahmad Syamil Mohd Esa

Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 1874 access attempts in the last 7 days.