Sebatan Syariah adalah lambang kerahmatan Islam

 

KUALA LUMPUR, – Timbalan Mufti Perak, Ustaz Zamri Hashim menolak dakwaan hukuman sebat syariah terhadap pasangan lesbian di Terengganu baru-baru ini tidak mengikut ajaran Islam.

Beliau berkata, hukuman yang dilaksanakan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu bertepatan dengan ajaran agama Islam.

Katanya, masyarakat mesti faham dan dapat membezakan antara pelaksanaan hudud dan hukuman takzir yang seperti yang dilaksanakan.

“Contoh dalam jenayah zina, 100 kali rotan. Orang yang menuduh orang berbuat zina tanpa membawa saksi, 80 kali sebatan. Itu dari sudut hudud.

“Dari sudut takzir memang ada, dan hukuman itu mestilah tidak sampai mengeluarkan darah, tak sampai mencederakan kulit, tak sampai mematahkan tulang si pesalah.

“Dalam Islam hukuman sebat ini tidak sekejam apa yang digembar-gemburkan. Sebatan itu, kalau rotan pun bukan guna rotan yang sangat baru sehingga menyebabkan kesakitan yang kuat, bukan juga rotan yang tua, sampai tidak rasa apa-apa,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS) berkata demikian dalam Forum Hukuman Syariah: Keadilan atau Kezaliman yang berlangsung di Dewan Putra, Hotel Putra KL, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ustaz Zamri berkata, jika dilihat daripada takrif takzir, ia bermaksud mahkamah atau pemerintah boleh mengenakan hukuman yang boleh ada unsur sakit, sama ada sakit perasaan atau sakit fizikal.

Ini bermakna katanya, hakim boleh menjatuhkan hukuman takzir kepada pesalah, dengan mengambil kira kedudukan kesalahannya.

“Kalau kesalahan dibuat ialah satu kesalahan yang sudah membudaya dalam masyarakat, ada yang memperjuangkan, bercakap mengenai hak mereka, maka ia perlu dihadapkan dengan terang-terang supaya masyarakat tidak rosak.

“Hukuman dalam Islam hanya bertujuan untuk membina masyarakat yang bersih. Mereka yang mempromosi kerosakan perlu dihukum.

“Hakim kena lihat daripada sudut kronik jenayah pada masa itu, dan lihat kedudukan penjenayah, adakah jenayah lama ataupun tidak.

“Sudah dibuat atau tidak sebelum ini, barangkali hukuman tak sama. Malah lebih lagi. Itu adalah hak hakim untuk menentukan hukuman. Asalkan tidak mencederakan pesalah,” katanya.

Justeru, beliau meminta supaya masyarakat melihat isu ini sebagai tanggungjawab seorang mukmin.

“Apa pun status kita, kita lihat hukum syarak ini, selama mana hayat dikandung badan kita kena daulatkan Islam,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 1677 access attempts in the last 7 days.