KolumnisUtama

Membenci perpaduan sesama Islam ialah sikap Syaitan

Perpaduan sesama Islam adalah suatu tuntutan dari Allah SWT. Membiarkan bahkan menggalakkan umat Islam terus bercerai berai adalah sangat bersalahan dengan perintah Allah SWT. Firman Allah SWT :

Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (ugama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya.(QS Aali Imran :103)

Ia adalah satu kekuatan yang tidak boleh diabaikan dan memberi kesan yang besar jika tidak diberi perhatian sewajarnya. Musuh-musuh Islam akan menggunakan peluang dari hasil perpecahan sesama umat Islam untuk melemahkan umat Islam dan akhirnya menjadikan umat Islam seperti bidak-bidak di papan catur untuk diatur uruskan oleh musuh-musuh mereka sendiri. Firman Allah SWT :

Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar. (QS al Anfal:46)

Apa yang berlaku di hadapan mata samada di luar atau di dalam negara kita sendiri telah membuktikan betapa benarnya firman Allah bahawa selama mana umat Islam melakukan maksiat dan kemungkaran, melepaskan tangan mereka dari terus memegang kemas “tali Allah” dan melucutkan pegangan terhadap “tali penyambung sesama umat” maka kehinaan akan menimpa umat ini seperti yang berlaku juga kepada umat-umat terdahulu.

Rasuah, salah guna kuasa, LGBT termasuk dalam kumpulan maksiat dan kemungkaran, namun jangan dilupakan terus menggalakkan perpecahan sesama umat Islam juga satu maksiat yang sebaris dengan maksiat-maksiat tadi. Firman Allah SWT :

Mereka ditimpakan kehinaan (dari segala jurusan) di mana sahaja mereka berada, kecuali dengan adanya sebab dari Allah (kembali berpegang dengan agama Allah ) dan adanya sebab dari manusia(menghubung kembali hubungan sesama manusia). Dan sudah sepatutnya mereka beroleh kemurkaan dari Allah, dan mereka ditimpakan kemiskinan (dari segala jurusan). (QS Aali Imran : 112)

Kita sebagai umat Islam di negara ini sepatutnya merasa gembira apabila ada usaha –usaha penyatuan antara umat Islam. Perbuatan terus melaga-lagakan umat Islam dan merasa tidak tenteram dengan usaha menyatupadukan umat Islam khususnya di negara ini adalah mirip sasaran kerja syaitan yang mereka ikrarkan untuk terus melihat orang beriman bercerai-berai. Mereka sanggup menggunakan apa cara sekalipun samata-mata untuk mencapai hasrat yang keji itu. Firman Allah SWT :

Sesungguhnya Syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)? (QS al Maidah :91)

Sebagaimana kita rancak berkempen untuk perpaduan berbagai kaum di Malaysia ini demi membina sebuah negara yang kuat, maju dan dihormati namun yang lebih utama adalah mengajak majoriti penduduk negara ini di kalangan umat Islam agar bersatu padu.

Perpaduan umat Islam di negara ini sangat penting kerana ia adalah tulang belakang kepada negara ini dan perpecahan sesama umat Ilsam akan membahayakan kepentingan-kepentingan Islam yang sekian lama terpelihara di negara ini. Sudah tentu perpaduan umat Islam di negara ini mesti didasarkan kepada ajaran-ajaran Islam, bersatu atas dasar aqidah Islamiyyah dan merapatkan saf sesama muslim untuk mendaulatkan Islam di dalam kehidupan dan hidup bernegara.

Hendaklah kita memelihara diri kita dari sifat “kesyaitanan” apabila merasa selesa apabila melihat umat Islam berterusan berpecah dan sinis terhadap usaha menyatupadukan umat Islam.

Sohibus Samahaha Ust Zamri Hashim

Timbalan Mufti Negeri Perak

Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply