Kebijaksanaan Rasulullah dalam mengurus masyarakat majmuk Madinah

Bila disebut Hijrah Ar-Rasul pastinya kita akan memperingati kesan terbesar peristiwa tersebut iaitu pembentukan Daulah Islamiyyah pertama di Madinah. Bahkan Umar Al-Khattab sendiri telah memilih tahun hijrah untuk dimulakan kalendar Islam kerana simboliknya bermula sebuah kekuatan Negara Islam.

Menurut Syeikh Dr Abdul Qadir Abu Faris, Ulama Siyasah Syar’iyyah Jordan, umat Islam di Madinah pada awal penubuhan Daulah Islamiyyah Madinah hanyalah lebih kurang 17% sahaja daripada penduduk Madinah, yang mana majoritinya adalah musyrikin dan Yahudi.

Persoalan yang harus difikirkan bersama bagaimana umat Islam pada waktu tersebut dapat membentuk sebuah negara sedangkan mereka adalah kelompok minoriti di Madinah?

Rahsia ini dihuraikan Syeikh Dr Abu Faris dalam kitabnya Fi Zilal As-Sirah An-Nabawiyah:

“Sesungguhnya Nabi SAW tidak melihat kaum Yahudi waktu itu sebagai satu umat tetapi yang didapati adalah mereka seperti pelbagai kabilah yang tiada kaitan dengan antara satu sama lainnya, maka sebaliknya umat Islam semuanya dari Aus, Khazraj dan Muhajirin menjadi suatu umat yang teguh.”

Dengan kabilah-kabilah Yahudi yang secara politiknya berpecah maka umat Islam minoriti yang bersatu ini menjadi suatu gerakan politik yang lebih kuat, lalu Rasulullah SAW mendahului yang lain dengan mengumpulkan semua pemimpin-pemimpin Madinah dan terus mengutarakan Piagam Madinah.

Bermula dari situ akhirnya mereka terpaksa akur kerana kekuatan syaukah (wewenang) yang dimiliki Rasulullah SAW. Maka jadilah baginda seorang ketua negara dalam keadaan umat Islam adalah kelompok minoriti.

Inilah kuasa kesepakatan yang tidak disedari oleh umat Islam kini, dalam keadaan minoriti jika bersatu sudah mempunyai syaukah apatah lagi jika yang bersatu itu adalah majoriti.

Salam Maal Hijrah.

Ust Ahmad Nu’man Mazlan

Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 1422 access attempts in the last 7 days.