Hukum sebat di khalayak selari dengan Siyasah Syar’iyyah

Mereka yang faham konsep Siyasah Syar’iyyah tidak akan terkejut dengan pelaksanaan hukuman sebat oleh Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu semalam, yang hakikatnya berlaku penuh Rahmah.

Saya cuba kongsikan sedikit sebanyak tentang konsep Siyasah Syar’iyyah atau “Politik Berlandaskan Syarak” (loose translation). Sebahagiannya selalu diulang-ulang dalam tulisan & ceramah saya sebelum ini:

1) Tidak sah bagi mereka yang belajar Siyasah Syar’iyyah kalau tidak pernah dengar kata-kata Ibnu ‘Aqil tentang Siyasah seperti mana yang dinaqalkan oleh ramai ulama termasuk Ibnu Qayyim dalam Al-Turuq Al-Hukmiyyah ini;

السياسة ما كان فعلا يكون معه الناس أقرب إلى الصلاح ، وأبعد عن الفساد ، وإن لم يضعه الرسول صلى الله عليه وسلم ، ولا نزل به وحي
“Siyasah adalah apa saja tindakan yang mendekatkan manusia kepada kebaikan dan menjauhkannya dari kefasadan, MESKIPUN IA TIDAK didatangkan/disabdakan oleh Rasulullah SAW dan tidak diturunkan wahyu tentangnya”

Ia selari dengan kata-kata Imam Syafie bahawa:

لا سياسة إلا ما وافق الشرع
”Tidaklah politik itu melainkan apa yang SELARI dengan Syarak”

Perhatikan betul-betul, ulama tidak kata siyasah adalah “ما نطق به الشرع” (apa yang DISEBUT oleh syara’), tapi beliau sebut siyasah adalah “ما وافق الشرع” (apa yang SELARI Syarak), meskipun ia tidak disebut secara khusus dalam nas Syarak, iaitu Quran & Hadis.

2) Kata Uthman ‘Affan r.a: “Apa yang ditegah melalui pemimpin lebih banyak daripada apa yang ditegah oleh Al-Quran”.

Ini kerana, sesetengah manusia hanya dapat dicegah daripada membuat kemungkaran apabila ia takutkan tindakan pemimpin ke atasnya kerana Al-Quran tidak lagi terkesan baginya. (Lihat penjelasan Ibn Rusyd al-Qurtubi dalam kitabnya Al-Bayan wa al-Tahsil wa al-Syarh wa al-Taujih wa al-Ta`lil fi al-Masa’il Mustakhrajah, jil. 18, m/s 494)

3) Islam memang mengiktiraf peranan negara & pemimpin Islam bagi menentukan Masalih Mursalah, iaitu kebaikan/kepentingan umum yang tidak tertulis secara jelas & spesifik dalam Quran dan Hadis.

Qa`edah fiqhiyyah menyebut:

تصرف الإمام على الرعية منوط بالمصلحة
“Tindak tanduk pemimpin ke atas rakyatnya berpaksikan pada Maslahah.” (Lihat perbahasannya dalam Al-Asybah wa al-Naza’ir li ibn Nujaym, m/s 123 & Al-Asybah wa al-Naza’ir li al-Suyuti, m/s 121)

4) Berbalik kepada hukuman yang dilaksanakan di Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu semalam, walaupun ia tidak disebut dalam Al-Quran dan Hadis Sahih secara khusus/spesifik berkenaannya, pihak berautoriti (dalam kes ini, Mahkamah Tinggi Syariah) berhak untuk melaksanakan hukuman takzir ke atas pesalah tersebut selepas berijtihad dan mengambil kira pertimbangan Maslahah vs Mafsadah bagi sesebuah masyarakat dan negara. Serta sebagai pengajaran yang dapat menjauhkan manusia daripada terus terlibat dalam kesalahan yg sama.

Tambahan pula, tiada mani’ syar’ie (halangan Syarak) terhadap hukuman yang diputuskan oleh hakim, bahkan selari dgn konsep amar makruf nahi munkar.

5) Keputusan Mahkamah Menghilangkan Khilaf.

Apabila mahkamah selaku pihak berautoriti dalam kes ini sudah memutuskan suatu keputusan berdasarkan fakta kes serta pertimbangan-pertimbangan yang telah dijelaskan sebelum ini, maka rakyat wajiblah menerimanya tanpa sebarang pertikaian lagi.

Lebih-lebih lagi ia memang sudah termaktub dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001. Lainlah kalau keputusan mahkamah betul-betul melanggar nas Syarak.

Ini kerana, keputusan pemerintah/pihak berautoriti berperanan menghilangkan perselisihan yang berlaku. Jika tidak, siapa lagi yang layak memutuskan perkara yang penuh khilaf ini selain mahkamah? Qaedah fiqhiyyah menyebut:

حكم الحاكم في مسائل الاجتهاد يرفع الخلاف
“Keputusan pemerintah dalam permasalahan ijtihad menghilangkan khilaf” (Al-Qarafi, Anwar al-Buruq fi Anwa’ al-Furuq, jil. 2, m/s 179)

Sebenarnya, apakah motif sesetengah asatizah yang bersungguh mempertikai hukuman yang dilaksanakan? Siap syarah panjang isu khilaf dalam kalangan fuqaha. Siap kata kesalahan lesbian tidak sama seperti zina, sebab tidak disebut dalam Quran, dll.

Jika akan datang Mahkamah Syariah laksanakan pula hukuman sebat depan khalayak ke atas pesalah Zina pula. Adakah ketika itu mereka akan sokong Mahkamah Syariah? Nantikan episod seterusnya.

Ingatlah, ilmu Agama sepatutnya digunakan untuk memartabatkan Agama. Bukan untuk ditunggangi hingga jatuh tersungkur ke bumi.

Wallah A’lam

Ust Ahmad bin Khairuddin

Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 1422 access attempts in the last 7 days.