Hari Asyura mengajar kita untuk setia dalam perjuangan

Setiap hari yang istimewa di dalam Islam bukanlah istimewa kerana tarikh atau hari tertentu sahaja. Tetapi di sana terdapat perisitiwa yang ingin Allah s.w.t mahukan kita sebagai umat Islam mengingati kisah tersebut untuk kita mengambil pengajaran serta ibrah secara berkala setiap tahun agar ianya berterusan menjadi panduan untuk kita.

Maka tidak sepatutnya kita menyambut hari tersebut sekadar melakukan perarakan, kenduri, makan-makan atau cukup dengan beramal ibadah sahaja. Tetapi yang lebih utama adalah kita perlu sentiasa menyingkap peristiwa yang berlaku pada hari tersebut kerana itulah yang Allah s.w.t mahukan dalam menentukan hari-hari istimewa di dalam Islam.

Seperti mana kita ketahui bahawa bulan Ramadan atau malam Lailatul Qadr mulia kerana diturunkan Al-Quran, Aidiladha mulia kerana berlakunya peristiwa penyembelihan Nabi Ismail oleh Nabi Ibrahim, hari Arafah mulia kerana bertemunya Adam as dan Saidatina Hawa serta peristiwa wukuf umat Islam di Arafah. Begitu jugalah hari Asyura yang berlaku semalam juga ada peristiwa besar berlaku yang Allah mahukan kita mengambil pengajaran. Ibnu Hajar menyebut dalam kitab Fathul Bari:

وقد قيل في الحكمة في ذلك: إن يوم عاشوراء منسوب إلى موسى عليه السلام ويوم عرفة منسوب إلى النبي صلى الله عليه وسلم فلذلك كان أفضل

Telah dinyatakan oleh seseorang bahawa antara hikmah (Hari Arafah lebih mulia berbanding Hari Asyura) ialah kerana hari Asyura itu disandarkan kepada Nabi Musa as ada pun hari Arafah disandarkan kepada Nabi Muhammad s.a.w (wukuf Arafah).

Dalam sebuah hadis riwayat Bukhari juga ada diceritakan bagaimana Rasulullah s.a.w telah masuk ke kota Madinah pada hari Asyura dan menyaksikan orang Yahudi sedang berpuasa, lalu Baginda bertanya atas sebab mereka berpuasa? kemudian mereka berkata ianya kerana hari Allah menyelamatkan Nabi Musa serta bani Israel daripada musuh mereka, lalu Baginda berkata:

فأنا أحقُّ بموسى منكم فصامه وأمر بصيامه

Aku lebih berhak terhadap Musa daripada engkau (kerana engkau telah sesatkan ajaran sebenar Nabi Musa) maka Baginda pun berpuasa serta menyuruh umat Islam lainnya berpuasa.

Jadinya peristiwa besar yang berlaku pada hari Asyura adalah peristiwa ketika mana Nabi Musa as bersama kaumnya Bani Israel dikejar oleh Firaun yang zalim beserta tenteranya sehinggalah Allah menyelamatkan mereka dengan dibelahnya laut Merah untuk mereka lintas yang akhirnya tenggelamlah Firaun bersama kesombongannya.

Banyak pengajaran sebenarnya yang kita boleh ambil daripada peristiwa ini, tetapi antara perkara ringkas namun besar maknanya yang ingin saya kongsikan pada kali ini bagaimana kesetiaan serta keyakinan Nabi Musa as terhadap janji-janji Allah s.w.t di dalam perjuagan ini.

Di dalam al-Quran ada merakamkan bagaimana saat Nabi Musa dan pengikutnya dikejar oleh Firaun akhirnya mereka buntu saat berhadapan dengan laut mati. Kerana dihadapan mereka terdapat laut sedangkan dibelakang mereka terdapat Firaun yang ingin membunuh mereka. Lalu Bani Israel saat itu mula berasa putus asa serta bersangka buruk terhadap Allah s.w.t namun Nabi Musa as menunjukkan bagaimana setianya dan yakinya terhadap janji Allah s.w.t dengan menyatakan:

فَلَمَّا تَرَٲٓءَا ٱلۡجَمۡعَانِ قَالَ أَصۡحَـٰبُ مُوسَىٰٓ إِنَّا لَمُدۡرَكُونَ (٦١) قَالَ كَلَّآ‌ۖ إِنَّ مَعِىَ رَبِّى سَيَہۡدِينِ (

Setelah kedua-dua kumpulan itu nampak satu sama lain, berkatalah orang-orang Nabi Musa: Sesungguhnya kita akan dapat ditawan. (61) Nabi Musa menjawab: Tidak! Jangan fikir (akan berlaku yang demikian)! Sesungguhnya aku sentiasa disertai oleh Tuhanku (dengan pemeliharaan dan pertolonganNya), Dia akan menunjuk jalan kepadaku. (Surah al-Shu’ara: 61-62)

Kata-kata Nabi Musa ini mempunyai makna yang sangat besar dalam sebuah perjuangan. Kita hakikatnya tidak akan faham erti kesetiaan serta keyakinan terhadap Allah s.w.t melainkan pada saat kita betul-betul dihimpit, diuji serta ditekan oleh perkara disekeliling kita. Lalu saat diuji itulah ianya akan menampakkan sikap sebenar kita terhadap perjuangan ini sama ada kita benar-benar setia atau sebenarnya kita mempunyai kepentingan lain.

Hari ini kita menyaksikan ramai yang mengaku sebagai pejuang atau gerakan Islam itu sendiri, namun akhirnya akibat tekanan yang berlaku disekeliling akhirnya menyebabkan satu per satu prinsip digadaikan. Kerana tidak sabar dengan kemenangan yang disangka mereka dalam bentuk harta, jawatan yang tidak kunjung tiba akhirnya mereka sanggup menjual prinsip mereka untuk mendapat habuan-habuan tersebut.

Sedangkan mereka lupa bahawa hakikat kemenangan adalah dengan kita terus setia berpegang serta memperjuangkan prinsip Islam itu sendiri walaupun disaat ditekan habis-habisan. Ini tidak, apabila ditekan oleh pihak bukan Islam, pejuang LGBT serta gerakan untuk merosakkan fahaman Islam itu apa yang berlaku ialah kita menjadi semakin longgar kononnya atas hujah rahmat untuk sekelian alam. Mereka lupa bahawa hakikat rahmat itu adalah dengan dijadikan Islam itu sebagai tunjang kepada negara.

Belajarlah daripada kata-kata Nabi Musa dalam peristiwa hari Asyura ini bagaimana istiqamah terhadap perjuangan itulah erti sebenar kemenangan. Bahkan Allah sendiri menyatakan bahawa “kemenangan Allah” itu hanya akan hadir saat kita bertahan, setia terhadap perjuangan ini semampu yang boleh.

حَتَّىٰٓ إِذَا ٱسۡتَيۡـَٔسَ ٱلرُّسُلُ وَظَنُّوٓاْ أَنَّہُمۡ قَدۡ ڪُذِبُواْ جَآءَهُمۡ نَصۡرُنَا

Hingga apabila Rasul-rasul berputus asa terhadap kaumnya yang ingkar dan menyangka bahawa mereka telah disifatkan oleh kaumnya sebagai orang-orang yang berdusta, datanglah pertolongan Kami kepada mereka (Surah Yusuf: 110)

Kemenangan itu hadir dengan istiqamah bukan dengan menggadaikan prinsip!

Ust Muhammad Firdaus bin Zalani

Pegawai Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 1874 access attempts in the last 7 days.