KolumnisUtama

Sensitifkah kita terhadap kemungkaran disekeliling kita?

1. Suatu hari, seorang sahabat bertanya kepada Rasulullah ﷺ: Wahai Rasulullah, apakah yang dimaksudkan dengan iman? Rasulullah ﷺ menjawab: Sekiranya engkau merasa tenang dengan amal solehmu dan engkau tidak selesa (sensitif) dengan kemungkaran yang kamu lakukan, maka sesungguhnya kamu adalah orang yang beriman.” (HR Ahmad dan Nasai’e)

2. Hadith ini menggambarkan bahawa salah satu ciri orang yang beriman adalah mereka sensitif dengan kemungkaran yang berlaku. Apabila mereka melihat kemungkaran, hati dan jiwa seorang mukmin seharusnya berasa tidak tenang.

3. Seorang mukmin tidak seharusnya mengucapkan: “Biarlah, dosa masing-masing” atau “suka hati akulah kubur masing-masing.” Ini kerana ungkapan sebegini seolah menggambarkan bahawa kita redha dan tidak peka dengan dosa dan larangan Allah.

4. Dengan sebab itu dalam sebuah hadith yang lain, Rasulullah ﷺ bersabda:

“Sesungguhnya orang mukmin melihat dosa-dosanya seperti dia duduk di bawah gunung, dan dia takut sekiranya gunung itu akan menimpanya, sedangkan orang fajir (selalu melakukan dosa) melihat dosa-dosanya seperti lalat yang hinggap di batang hidungnya, kemudian dia mengusirnya lalu ia terbang.” (HR al-Bukhari)

5. Lalu bagaimana kita melihat dosa kita dan kemungkaran disekeliling kita? Apakah kita selesa dengan situasi mungkar?

Moga Allah mengampunkan kita semua.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi

Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply