Malaysia Baru hanyalah retorik tanpa prinsip ini
Saya yakin dan beriman bahawa cara menyelesaikan konflik masyarakat majmuk dalam sebuah negara bukanlah dengan seruan menegakkan nilai-nilai seperti toleransi, adil, harmoni dll semata-mata. Tetapi cara yang terbaik dalam menyelesaikan konflik ini ialah dengan ditegakkan prinsip siyadah al-syariah (kedaulatan Syarak) menjadi asas pembangunan sebuah negara.
Kerana hanya dengan berasaskan prinsip ini sahajalah nilai tolerasi sebenar dapat dikecapi, nilai keadilan sebenar dapat dinikmati serta nilai keharmonian hakiki dapat dihayati oleh semua pihak tidak kira muslim atau bukan muslim. Inilah kita saksikan sendiri sepanjang perjalanan tamadun Islam yang berdiri selama ribuan tahun.
Nilai-nilai tersebut tanpa diasaskan prinsip siyadah al-syariah akan menjadi retorik semata-mata. Inilah yang kita saksikan dalam dunia barat, mereka kata mereka harmoni sedangkan berapa banyak orang Islam dizalimi serta ditindas dalam negara mereka, mereka kata mereka toleransi sedangkan konflik kulit putih-kulit hitam sendiri pun mereka tidak dapat selesaikan hinggalah ke hari ini walaupun setelah ratusan tahun.
Sedangkan Islam mengambil masa tidak sampai 15 tahun untuk selesaikan konflik ini (kisah Bilal ra dipanggil ‘anak orang hitam’). Mereka kata mereka adil sedangkan kita saksikan berapa ramai manusia lain seperti di Afrika yang sama agama dengan mereka sendiri tetapi mati dalam kelaparan. Ianya retorik kerana istilah-istilah nilai tersebut hanya dipergunakan untuk menampakkan cantik terhadap hakikat kedaulatan disisi mereka iaitulah kedaulatan berasaskan hawa nafsu.
وَإِذَا قِيلَ لَهُمۡ لَا تُفۡسِدُواْ فِى ٱلۡأَرۡضِ قَالُوٓاْ إِنَّمَا نَحۡنُ مُصۡلِحُونَ (١١) أَلَآ إِنَّهُمۡ هُمُ ٱلۡمُفۡسِدُونَ وَلَـٰكِن لَّا يَشۡعُرُونَ (١٢
Dan apabila dikatakan kepada mereka: Janganlah kamu membuat bencana dan kerosakan di muka bumi, mereka menjawab: Sesungguhnya kami orang-orang yang hanya membuat kebaikan. Ketahuilah! Bahawa sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang sebenar-benarnya membuat bencana dan kerosakan, tetapi mereka tidak menyedarinya. (11-12 Surah al-Baqarah)
Begitulah juga dengan situasi di Malaysia, satu-satunya penyelesaian terhadap segala isu yang berlaku hari ini bermula dengan kita menegakkan kedaulatan Syarak menjadi batu asas negara ini. Dari situlah satu per satu masalah kita akan mula selesai bukan sekadar isu agama tetapi isu duniawi juga. Nikmat keamanan, keharmonian, keadilan akan dapat dikecapi tidak kira muslim atau bukan muslim. Lupakah kita akan kata-kata Nabi Nuh a.s:
فَقُلۡتُ ٱسۡتَغۡفِرُواْ رَبَّكُمۡ إِنَّهُ ۥ كَانَ غَفَّارً۬ا (١٠) يُرۡسِلِ ٱلسَّمَآءَ عَلَيۡكُم مِّدۡرَارً۬ا (١١) وَيُمۡدِدۡكُم بِأَمۡوَٲلٍ۬ وَبَنِينَ وَيَجۡعَل لَّكُمۡ جَنَّـٰتٍ۬ وَيَجۡعَل لَّكُمۡ أَنۡہَـٰرً۬ا (١٢)
Sehingga aku berkata (kepada mereka): Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Dia Maha Pengampun. (10) (Sekiranya kamu berbuat demikian), Dia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu; (11) Dan Dia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Dia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya). (Surah Nuh 10-12)
Dengan prinsip ini bukan sekadar menambah pahala kita atau bawa kita ke syurga. Tetapi ianya juga akan memberi nikmat serta maslahat dalam diri kita, masyarakat dan tanah air kita sendiri.
Tanpa semua ini seruan ‘Malaysia Baru’ hakikatnya adalah retorik semata-mata!
*Menulis sambil menyaksikan Himpunan Kebangkitan Ummah 28.7.2018
Ust Muhammad Firdaus bin Zalani
Pegawai Majlis Ulama ISMA (MUIS)