Ahli ilmu yang sentiasa dieksploitasi

1. Para ulama’ atau ahli ilmu harus tahu bahawa pandangan-pandangan mereka yang akademik hanya akan digunakan apabila ia menepati selera ahli politik atau orang yang berkuasa.

2. Apabila suara mereka menepati selera pemerintah dan penguasa, liputan media akan diberikan, nama mereka akan dijulang dan dijadikan sandaran, dan pelbagai wacana akan dibuat bagi menyuburkan idea-idea akademik syarie itu, untuk menjustifikasi polisi yang dibuat oleh pemerintah atau ahli politik yang inginkan kuasa.

3. Apabila mereka berubah pandangan yang tidak kena dengan selera penguasa, pandangan itu akan dipencilkan dan tidak dihiraukan. Lebih malang lagi ia kadangkala dikategorikan sebagai pandangan ekstrem, radikal dan menolak perpaduan negara.

4. Hakikatnya dalam kerangka politik sekular, pandangan syarak tidak dijadikan sandaran kerana yang dilihat adalah tujuan mendapat dan mengekalkan kuasa dengan apa cara sekali pun.

5. Pandangan syarak di sisi kerangka itu dan ahli politik itu hanyalah ibarat kuda yang dinaiki bagi menyampaikan mereka ke tampuk kuasa. Dengan pandangan syarak sebagai hiasan yang boleh memukau orang Islam dan orang yang tidak cerdik politik, mereka mampu mencapai kuasa politik dengan sokongan orang Islam sendiri.

6. Oleh sebab itu, sepatutnya umat Islam harus melihat politik dalam kerangka yang Islam gariskan. Politik yang melihat keuntungan umat Islam, kesatuan umat Islam, ketinggian syiar Islam, bukan politik yang memecahbelahkan suara umat, atau mengenepikan hak orang Islam di satu sudut persimpangan yang tiada siapa yang membelanya.

7. Sebagaimana Islam itu adalah sebuah pakej / sistem yang merangkumi segenap lapisan kehidupan, demikian juga jahiliyah adalah pakej yang memiliki sudut rangkumannya yang sama. Ia harus ditanggapi dengan menyeluruh, bukan dilihat pada aspek rahmahnya sahaja, bukan pula pada undang-undangnya sahaja, tapi pada satu pandangan yang lengkap, bermula dengan akidah yang sahih, hinggalah ke puncak kenegaraan yang tinggi. Apabila kita mula menjuzukkan Islam pada skop tertentu, kita sebenarnya sedang berada dalam pakej yang jahiliyah mahukan.

8. Hari ini kita lihat beberapa ahli ilmu tergelincir dalam fenomena penjuzukan agama, dengan dakwaan Islam membawa dan menyuruh untuk perjuangkan nilai yang disepakati bersama semua manusia. Lalu kita lihat nilai keadilan dikongsi bersama, nilai kesamarataan dikongsi bersama, hinggalah nilai kenegaraan juga mesti mendapat persetujuan orang kafir dalam menentukan halatujunya.

9. Kita harus insaf, ahli ilmu harus sedar, bahawa sekiranya mereka benar-benar mahu menjunjung ilmu syarak yang diperintahkan Tuhan untuk menjaganya, kita perlu kembali kepada saranan Tuhan, melihat kembali ke mana halatuju negara ini, apakah lanskap politik yang dikehendaki Tuhan dalam negara ini, apakah bentuk kepimpinan yang benar-benar menjunjung perintah Tuhan dalam negara ini ?

Jawapannya pasti tidak mudah. Ya, ia adalah mustahil sekiranya kita melihat dari skop politik kepartian yang memecahbelahkan suara umat Islam. Tapi ia boleh berlaku, sekiranya kita melihat bersama, agenda umat ini dalam segenap sudut, dengan neraca-neraca yang digariskan Al-Quran, diajarkan Rasulullah SAW dan ditunjukkan oleh para sahabat RA serta ulama’ silam.

10. Adapun jika kita masih berpegang kepada pendirian-pendirian ahli politik tertentu, maka saya hanya mampu menyebut kata-kata Umar Al-Khattab RA apabila ditanya, adakah boleh hancur sesuatu bandar/kampung sedangkan ia sangat maju/makmur ?

Jawab Umar : Ya, apabila golongan yang jahat menguasai golongan yang baik.

Ust Ahmad Syamil Esa

Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 1365 access attempts in the last 7 days.