Terus istiqamah selepas Ramadan

1. Ramadan tinggal sehari sahaja lagi. Apakah kita akan meninggalkan semua amalan ibadah yang telah kita lakukan sepanjang Ramadan ini? Kekuatan berpuasa 30 hari, tarawih 8 rakaat dan bacaan Quran yang banyak seharusnya diteruskan.

2. Beberapa hadith ini seharusnya menjadi pemangkin kepada kita untuk konsisten dalam melakukan amal ibadah seusai Ramadan. Antaranya adalah:

3. Bagi bacaan al-Quran, Rasulullahﷺ mengingatkan kita bahawa kedudukan seseorang di akhirat kelak adalah bergantung kepada akhir ayat yang dibaca. Lagi banyak di baca, lagi tinggi kedudukan kita. Justeru, bacaan al-Quran mesti diteruskan setelah Ramadan. Sabda Rasulullahﷺ:

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : ( يُقَالُ لِصَاحِبِ الْقُرْآنِ : اقْرَأْ وَارْتَقِ وَرَتِّلْ ، كَمَا كُنْتَ تُرَتِّلُ فِي الدُّنْيَا ، فَإِنَّ مَنْزِلَكَ عِنْدَ آخِرِ آيَةٍ تَقْرَؤُهَا ) .

Sabda Rasulullahﷺ: ” Di akhirat kelak, ahli al-Quran akan dikatakan kepada mereka: “Bacalah (al-Qur`an) dan naiklah (ke syurga) serta tartilkanlah (bacaanmu) sebagaimana engkau membacanya secara tartil sewaktu di dunia. Sesungguhnya kedudukan dan tempat tinggalmu (di syurga) berdasarkan akhir ayat yang engkau baca”.(HR. Tirmizi dan Abu Daud)

4. Bagi amalan puasa pula, Rasulullahﷺ akan konsisten berpuasa 3 hari setelah Ramadan. 3 hari ini hanyalah 10% sahaja daripada jumlah puasa Ramadan kita sebanyak 30 hari. Perkara ini diceritakan oleh Aisyah dalam sebuah hadith:

عن مُعَاذَةُ الْعَدَوِيَّةُ، أَنَّهَا سَأَلَتْ عَائِشَةَ زَوْجَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: ” أَكَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصُومُ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ ثَلَاثَةَ أَيَّامٍ؟ “، قَالَتْ: “نَعَمْ”، فَقُلْتُ لَهَا: “مِنْ أَيِّ أَيَّامِ الشَّهْرِ كَانَ يَصُومُ “، قَالَتْ: لَمْ يَكُنْ يُبَالِي مِنْ أَيِّ أَيَّامِ الشَّهْرِ يَصُومُ

Maksudnya: Muazah pernah bertanya kepada Aisyah: Apakah Rasulullah berpuasa tiga hari pada setiap bulan? Aisyah menjawab: “Ya.” Muazah kemudian bertanya: Rasulullah berpuasa pada hari apa (berkenaan 3 hari tadi)? Aisyah menjawab: Baginda tidak kisah dari hari apa pun.”

Ini bermakna, Bagindaﷺ akan meneruskan amalan berpuasa ini sebanyak 3 hari setiap bulan, tidak kira hari apa pun. Yang penting konsisten meneruskan amalan berpuasa yang telah kita lakukan sepanjang bulan ini.

5. Manakala bagi amalan solat tarawih pula, kita boleh terus konsisten melakukannya dengan Solat Sunat Witir setelah Isya’. Saidina Abu Hurairah menceritakan bahawa Rasulullahﷺ berpesan kepada beliau tentang tiga amalan yang tidak pernah beliau tinggalkan sepanjang beliau hidup iaitu: (1) Solat Witir, (2) Puasa tiga hari setiap bulan dan (3) Solat Duha (HR al-Bukhari). Kata Abu Hurairah:

فعَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، قَالَ: ” أَوْصَانِي خَلِيلِي صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِثَلَاثٍ: صِيَامِ ثَلَاثَةِ أَيَّامٍ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ، وَرَكْعَتَيِ الضُّحَى، وَأَنْ أُوتِرَ قَبْلَ أَنْ أَنَامَ

Maksudnya: Kekasih aku (Rasulullahﷺ) berpesan kepada aku tiga perkara (yang tidak aku tinggalkan sehingga aku mati) iaitu: Puasa tiga hari sebulan, Solat Duha dan Solat Witir sebelum tidur.

6. Salin hadith di atas, dan tampal ditempat yang mudah dilihat. Mudah-mudahan ia sentiasa menjadi peringatan buat kita untuk konsisten dan istiqamah melakukan amalan yang telah kita lakukan di dalam bulan Ramadan.

Moga Allah membimbing kita untuk istiqamah setelah Ramadan.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 364 access attempts in the last 7 days.