Ramadhan Bulan Merapatkan Kembali Saf

Hari ini adalah hari yang ke tujuh kita mengerjakan ibadah puasa di dalam bulan Ramadhan. Menariknya Ramadhan kali ini kita lalui selepas seminggu lebih kita menunaikan tanggungjawab kita sebagai rakyat Malaysia dengan memilih pemimpin. Pilihanraya sudah berlalu namun bahang kehangatannya masih belum terpadam sepenuhnya.

Pihak yang menang masih belum puas mendendangkan kemenangannya dan yang tewas masih ada yang masih belum berpuashati. Ramadhan adalah peluang terbaik untuk umat Islam kembali menjernihkan hubungan tali slaturrahim sesama umat Islam.

Ramadhan menawarkan pakej kesatuan dan kekuatan umat Islam. Kesatuan umat Islam merupakan faktor terpenting untuk mendaulatkan Islam dan melakukan pembelaan kepada umat Islam. Namun perselisihan dan persengketaan yang tiada kesudahan akan melemahkan umat Islam. Adalah diakui, pilihanraya baru –baru ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada kesatuan umat Islam. Keperluan untuk kembali bersatu adalah satu kewajipan yang pasti kerana di hadapan kita masih berbaki timbunan agenda untuk mendaulatkan Islam yang tercinta.

Tidak dinafikan bahawa tutur bicara kita adalah merupakan pemangkin utama penyatu atau pemecah belah hubungan sesama Islam jika kita gagal mengawalnya. Sindir-menyindir, kata-mengata, cabar mencabar, mencaci, memaki dan yang seumpama dengannya merupakan punca utama perbalahan di dalam masyarakat kita.

Berpuasa di dalam bulan Ramadhan mengajar kita untuk mengawal lidah, tidak cepat melatah bila diprovokasi oleh orang lain, tidak mencarut dan mengungkap kata-kata kotor. Sabda Rasululallah SAW :

Daripada Abu Hurairah RA katanya, Rasulullah SAW bersabda : “Apabila seseorang kamu berpuasa, janganlah ia bercakap perkara-perkara yang kotor dan sia-sia, dilarang juga bertengkar dan memaki hamun. Apabila ia dimaki hamun oleh seseorang atau diajak bermusuhan, maka hendak ia berkata, “Sesungguhnya aku berpuasa hari ini”.

(Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Kelebihan orang yang berpuasa bukan sahaja terletak kepada menahan makan dan minum serta mengerjakan perkara-perkara yang membatalkan puasa, tetapi menjaga setiap anggota daripada melakukan perkara yang mengosongkan pahala puasa. Inilah yang sangat dikehendaki oleh Islam, seperti menjaga lidah dan lainnya.

Orang yang berpuasa hendaklah sabar menerima dugaan daripada Allah SWT, sekiranya mereka dimaki hamun dan diajak berkelahi oleh seseorang maka hendaklah ia berkata “aku berpuasa”.

Untuk mengelak daripada melakukan perkara yang merosakkan puasa, maka (seseorang yang berpuasa) digalakkan oleh Islam agar banyak beristighfar kepada Allah, berzikir, berselawat dan sebagainya.

Umat Islam sewajibnya menggunakan kesempatan iftar bersama di masjid ataupun di surau dan sama-sama solat fardhu secara berjemaah  , juga melaksanakan ibadah solat sunat terawikh tiap-tiap malam untuk memperbanyakkan interaksi dengan komuniti setempat. Nescaya ia akan merapatkan semula hubungan silaturrahim sesama umat Islam.

Sejarah Islam juga telah menunjukkan bahawa banyak pencapaian cemerlang umat Islam berlaku di dalam bulan Ramadhan seperti peperangan Badar, peperangan Khandaq dan penyempurnaan pembukaan kota Mekah.

Bulan Ramadhan sepatutnya difahami oleh umat Islam negara ini sebagai satu bulan yang menyatukan kembali umat Islam. Peranan syaitan yang secara terus terang diungkapkan sebagai pemecah belah kesatuan umat Islam sebagai batu api yang menyemarakkan api permusuhan dan persengketaan , sepatutnya kita pinggirkan dalam kehidupan bermasyarakat kita.

Firman Allah : Sesungguhnya Syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)?(QS al Maidah : 91)

Rasulullah SAW menjelaskan bahawa peranan syaitan semakin lemah di dalam bulan Ramadhan, namun malang apabila tugas-tugas syaitan dipangku dan ditanggung kerjanya oleh manusia.

Hadis riwayat Abu Hurairah ra.:

Bahwa Rasulullah saw. bersabda: Apabila tiba bulan Ramadan, maka dibukalah pintu-pintu surga, ditutuplah pintu neraka dan syaitan-syaitan  dibelenggu. (Shahih Muslim No.1793)

Imam Qurtubi berpegang kepada hadis Imam Bukhari di mana para syaitan diikat tanpa pengecualian. Namun di situlah timbulnya kemusykilan. Kalau semuanya sudah diikat, bagaimana ramai yang boleh lagi dengan selamba buat maksiat tanpa rasa segan silu?

Kemusykilan itu dijawab oleh Imam Qurtubi, “pembelengguan kesemua syaitan tidak membawa makna tidak akan berlaku kejahatan dan maksiat kerana ada sebab-sebab lain berlakunya maksiat dan kejahatan seperti hawa nafsu yang jelek, adat kebiasan yang buruk dan syaitan-syaitan  manusia”.

Sohibus Samahah Ust Zamri Hashim

Timbalan Mufti Negeri Perak
Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 364 access attempts in the last 7 days.