Janganlah bermanifesto seperti Qarun dan Tsa’labah

Setiap kali tibanya musim pilihanraya antara perkara yang kita sebagai rakyat akan sering saksikan ialah pelbagai janji yang ditaburkan oleh mana-mana parti yang bertanding demi mendapatkan kuasa. Ada yang menamakan sebagai manifesto dan ada yang sekadar dengan “aku janji” atau ikrar untuk melakukan sesuatu perkara apabila diberi kuasa.

Dalam Islam, tiada larangan atau tegahan untuk seseorang itu berjanji atau berazam melakukan sesuatu perkara. Cumanya yang Islam pandangan serius adalah sejauh mana dia menyempurnakan atau mengotakan janjinya saat apa yang dimahukan itu telah dapat. Orang yang sering mengkhianati sesuatu janji adalah kelompok yang sangat dipandang keji di dalam Islam, sebab itulah antara sifat buruk yang acapkali diulang di dalam Al-Quran ialah كذب iaitulah penipu.

Juga dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Ahmad bin Muhammad bin Ahmad, dari Shafwan bin Salim diceritakan, suatu ketika Rasulullah saw ditanya, “Ya Rasulullah, apakah mungkin seorang mukmin itu kedekut?” Jawab Rasulullah “Ya, mungkin,”, “Apakah mungkin seorang mukmin itu penakut?” Jawab Rasulullah “Ya, mungkin.” “Apakah mungkin seorang mukmin itu pembohong?” Jawab Rasulullah “Tidak!” (riwayat Ahmad)

Oleh kerana terlalu kejinya sifat orang yang tidak menyempurnakan janji inilah Allah swt telah menjadikan sifat ini antara ciri utama bagi seorang munafik itu sendiri yang membezakannya dengan seorang mukmin. Dalam masa yang sama Allah swt apabila ingin membicarakan tentang ciri orang yang beriman antara sifatnya yang menonjol ialah dia seorang yang menyempurnakan janjinya.

وَٱلَّذِينَ هُمۡ لِأَمَـٰنَـٰتِهِمۡ وَعَهۡدِهِمۡ رَٲعُونَ (٨)

Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya. (Surah al-Mukminun: 8)

Bahkan sifat ini disebut oleh Allah swt sebelum sifat memelihara solat lagi untuk mengambarkan betapa besarnya kedudukan sifat ini bagi seorang mukmin.

Perkara pertama yang sepatutnya difikirkan oleh ahli politik saat mereka mula merangka manifesto atau janji-janji mereka ialah sejauh mana kesungguhan dia untuk menyempurnakan janji tersebut saat diberi kuasa kelak. Janganlah manifesto tersebut sekadar ‘janji manis’ untuk mendapatkan kuasa, namun apabila kuasa itu diberi ianya diabaikan begitu sahaja.

Ingatlah satu kisah yang diceritakan di dalam Al-Quran berkenaan Qarun iaitu seorang manusia yang bermanifesto untuk melakukan kebaikan jika diberi kuasa dan kekayaan. Diriwayatkan bahawa awal kehidupan Qarun sangatlah miskin dan memiliki ramai anak. Pada suatu hari ia meminta Nabi Musa (anak saudaranya) untuk mendoakannya kepada Allah swt untuk memberinya kekayaan untuk dia melakukan kebaikan yang akhirnya Allah swt kabulkan permintaan tersebut.

إِنَّ قَـٰرُونَ ڪَانَ مِن قَوۡمِ مُوسَىٰ فَبَغَىٰ عَلَيۡهِمۡ‌ۖ

Sesungguhnya Qarun adalah dia dari kaum Nabi Musa, kemudian dia berlaku sombong dan zalim terhadap mereka (Surah al-Qasas:76)

Namun saat semua perkara itu diberi dia terus bongkak serta langsung tidak ambil kisah terhadap segala janji yang dia pernah taburkan dahulu. Bahkan dia sendiri dengan angkuh merasakan segala kekayaan dan kekuasaan yang dia miliki ini adalah atas kehebatan dirinya sendiri dan bukan kurniaan Allah swt. Lalu dengan kesombongan inilah akhirnya dia diazab oleh Tuhan Pemilik Alam Semesta.

Kisah yang sama juga berlaku pada zaman Rasulullah saw berkenaan seorang sahabat Baginda iaitu Tsa’labah bin Hatib al-Ansori. Beliau ialah seorang yang sangat miskin lalu meminta Baginda mendoakan supaya dia diberikan harta supaya dia dapat melakukan amal kebajikan. Tetapi akhirnya dia turut berubah seperti berubahnya Qarun sehinggakan apabila turunnya ayat kewajipan zakat dia enggan membayarnya. Lalu turunlah firman Allah swt:

وَمِنۡہُم مَّنۡ عَـٰهَدَ ٱللَّهَ لَٮِٕنۡ ءَاتَٮٰنَا مِن فَضۡلِهِۦ لَنَصَّدَّقَنَّ وَلَنَكُونَنَّ مِنَ ٱلصَّـٰلِحِينَ (٧٥) فَلَمَّآ ءَاتَٮٰهُم مِّن فَضۡلِهِۦ بَخِلُواْ بِهِۦ وَتَوَلَّواْ وَّهُم مُّعۡرِضُونَ (٧٦) فَأَعۡقَبَہُمۡ نِفَاقً۬ا فِى قُلُوبِہِمۡ إِلَىٰ يَوۡمِ يَلۡقَوۡنَهُ ۥ بِمَآ أَخۡلَفُواْ ٱللَّهَ مَا وَعَدُوهُ وَبِمَا ڪَانُواْ يَكۡذِبُونَ (٧٧)

Dan di antara mereka ada yang membuat janji dengan Allah dengan berkata: Sesungguhnya jika Allah memberi kepada kami dari limpah kurniaNya, tentulah kami akan bersedekah dan tentulah kami akan menjadi dari orang-orang yang soleh. (75) Kemudian setelah Allah memberi kepada mereka dari limpah kurniaNya, mereka bakhil dengan pemberian Allah itu, serta mereka membelakangkan janjinya dan sememangnya mereka orang-orang yang sentiasa membelakangkan (kebajikan). (76) Akibatnya Allah menimbulkan perasaan munafik dalam hati mereka (berkekalan) hingga ke masa mereka menemui Allah, kerana mereka telah memungkiri apa yang mereka janjikan kepada Allah dan juga kerana mereka sentiasa berdusta. (Surah al-Taubah: 75-77)

Moga kisah-kisah ini memberi pengajaran dan peringatan terhadap ahli-ahli politik kita saat mereka sibuk menabur janji. Ingatlah setiapa apa yang kita janjikan itu bukan sekadar akan dipersoalkan oleh rakyat, tetapi ianya akan turut dinilai oleh Tuhan pemilik segala isi langit dan bumi. Sesungguhnya azab itu benar seperti mana rahmat itu juga benar.

Ust Muhammad Firdaus bin Zalani

Pegawai Penyelidik Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 364 access attempts in the last 7 days.