Ciri Calon Muslim Berwibawa: (4) Perpaduan

*Ini adalah sebahagian daripada kertas kerja “Kewajipan Mengundi Calon Muslim Berwibawa” yang dibentangkan di Muzakarah MUIS pada tahun 2013

Islam mengajar umat agar bersatu padu dan jangan bercerai berai. Allah telah mengingatkan kita agar jangan bercerai berai seperti waktu zaman jahiliyyah dan Allah telah memberi nikmat kepada kita dengan nikmat perpaduaan dan menyelamatkan kita dari jurang kehancuran (Ali-Imran:103). Rasulullah juga mengingatkan kita agar jangan berpecah belah dan memberi panduan agar kita mengikut jalan yang lurus supaya kita tidak berpecah belah. Hadis menyebutkan bahawa :

عن عبد الله بن مسعود قال : خط لنا رسول الله صلى الله عليه و سلم خطا ثم قال هذا سبيل الله ثم خط خطوطا عن يمينه وعن شماله ثم قال هذه سبل قال يزيد متفرقة على كل سبيل منها شيطان يدعو إليه ثم قرأ { إن هذا صراطي مستقيما فاتبعوه ولا تتبعوا السبل فتفرق بكم عن سبيله }

“Rasulullah Shallallahu’alaihi Wasallam menggaris satu garis kepada kami, kemudian bersabda; inilah jalannya Allah. Kemudian menggaris beberapa garis dari sebelah kanan dan kirinya. Kemudian berkata: Inilah jalan-jalan yang berpecah-pecah, setiap jalan darinya ada syaitan yang menyeru. Kemudian membaca firman Allah. “dan bahwa (yang Kami perintahkan) ini adalah jalan-Ku yang lurus, maka ikutilah dia; dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain), karena jalan-jalan itu mencerai-beraikan kamu dari jalan-Nya”. (Musnad Imam Ahmad)

Perpecahan umat Islam akan melemahkan agama Islam itu sendiri dan membuka ruang kepada musuh Islam untuk menjatuhkan Islam. Lantaran itu, Nabi Muhammad s.a.w  telah mengambil inisitif mempersaudarakan umat Islam menerusi ikatan ukhuwwah sesama Islam. Kaum Aus dan Khazraj yang sekian lama bersengketa telah telah berjaya didamaikan dan dipersaudarakan.

Seterusnya Rasulullah s.a.w memperteguhkan kewajipan memelihara hubungan persaudaraan ini dengan mendidik sahabat tetang kepentingan perpaduan dan kesatuan ummah. Ini terbukti dari jawapan Baginda apabila ditanya oleh seorang sahabat tentang amal yang mendapat ganjaran syurga, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Ayub Al-Ansari dalam hadisnya yang bermaksud:

“Ya Rasulullah katakan  kepadaku, amal yang akan memasukkan aku ke dalam syurga. Maka sabda Rasulullah s.a.w: ‘Engkau beribadah kepada Allah S.W.T dan tidak mensyrikkannya dengan sesuatu, mendirikan solat, membayar zakat dan menghubungkan persaudaraan.”

Sejarah juga mencatatkan bahawa peristiwa kewafatan Rasulullah s.a.w hampir mencetuskan pergaduhan sesama muslim sehingga Umar mengambil inisiatif dengan tegas meminta semuanya bersetuju melantik Abu Bakar sebagai pengganti Rasulullah s.a.w. Demikianlah seterusnya suasana tidak aman dan konflik timbul di kalangan umat Islam pada zaman pemerintahan Uthman dan Ali. Surah Al-Hujuraat ayat 9, ajaran tentang ukuran yang seharusnya dilakukan untuk menyelesaikan konflik, di mana Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:

وَإِنْ طَائِفَتَانِ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ اقْتَتَلُوا فَأَصْلِحُوا بَيْنَهُمَا فَإِنْ بَغَتْ إِحْدَاهُمَا عَلَى الْأُخْرَى فَقَاتِلُوا الَّتِي تَبْغِي حَتَّى تَفِيءَ إِلَى أَمْرِ اللَّهِ فَإِنْ فَاءَتْ فَأَصْلِحُوا بَيْنَهُمَا بِالْعَدْلِ وَأَقْسِطُوا إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ (9)

“Dan jika dua puak daripada orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya, jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah puak yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah, jika ia kembali patuh, maka damaikanlah di antara keduanya dengan dengan adil (menurut hukum Allah), sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.” (Al-Hujuraat:9)

Di Malaysia, dari segi realiti Islam tidak dapat ditegakkan jika orang Melayu sebagai penganut terbesar di Malaysia berpecah belah dan tidak sepakat. Umat Islam di Malaysia walaupun bergabung (intima) kepada pelbagai jemaah, badan NGO dan parti politik, mereka perlu bersatu padu dalam memperjuangkan agenda Islam dan kepentingan ummah.

Pemilihan calon muslim yang berwibawa dan terbuka kepada idea persepakatan sesama umat Islam akan membantu memartabatkan Islam di negara ini. Ukhuwwah Islamiyyah dan intima kepada aqidah yang sama berupaya menjana perpaduaan antara umat Islam walaupun mempunyai pelbagai ittijah siyasi (kecenderungan politik).

Prof Madya Dr Aznan Hasan

Pengerusi Majlis Ulama ISMA (MUIS)

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 413 access attempts in the last 7 days.