Ciri Calon Muslim Berwibawa: (2) Akhlak

*Ini adalah sebahagian daripada kertas kerja “Kewajipan Mengundi Calon Muslim Berwibawa” yang dibentangkan di Muzakarah MUIS pada tahun 2013

Pada zaman moden ini di mana kita mengalami krisis moral atau krisis akhlak, kita memerlukan para calon pemimpin yang berakhlak mulia. Dalam ajaran Islam disebut bahawa seorang pemimpin yang baik harus berakhlak mulia dan dapat menjadikan orang yang dipimpinnya juga berakhlak mulia atau dengan kata yang lain ia menunjukkan teladan kepada pengikutnya melalui tingkah laku dan tindak tanduknya yang berhemah. Rasulullah adalah teladan yang paling baik bagi kita. Firman Allah:

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآَخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا (21)

“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)”   (Al-Ahzab : 21)

وَإِنَّكَ لَعَلَى خُلُقٍ عَظِيمٍ (4)

“Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang amat mulia” (al-Qalam: 4)

Apabila negara dipimpin oleh orang-orang yang berakhlak buruk, tidak bermoral dan keperibadiannya jauh daripada nilai-nilai agama serta akhlak yang mulia, maka rakyat akan mengalami penderitaan dan kesengsaraan. Pemimpin seperti ini akan bertindak sewenang-wenang, menceroboh hak Allah dan hak manusia. Rakyat tidak akan dapat keadilan dan hak-hak mereka. Pemimpin seperti ini harus diwaspadai oleh umat Islam dan perlu dihindari.

Oleh kerana itu pengundi-pengundi perlu lebih waspada dan sentiasa menyelidik peribadi calon-calon yang mereka sokong. Adalah disarankan agar mereka memilih bukan hanya berdasarkan parti tertentu tetapi turut mengambil kira keperibadiaan calon yang bertanding. Justeru, disarankan agar pengundi menolak pemimpin yang jelas terlibat dengan kegiatan maksiat seperti judi, arak dan zina. Bahkan pengundi juga diperingatkan agar berhati-hati supaya tidak memilih pemimpin yang munafik, tampak baik tetapi hakikatnya sentiasa bergelumang dosa. Dalam hal ini Allah s.w.t telah memberi peringatan yang jelas agar kita meneliti sifat-sifat manusia yang munafik dan berpura-pura. berfirman yang bermaksud:

وَمِنَ النَّاسِ مَنْ يُعْجِبُكَ قَوْلُهُ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَيُشْهِدُ اللَّهَ عَلَى مَا فِي قَلْبِهِ وَهُوَ أَلَدُّ الْخِصَامِ (204)

“Dan di antara manusia ada orang yang ucapannya tentang kehidupan dunia menarik hatimu, dan dipersaksikannya kepada Allah (atas kebenaran) isi hatinya, padahal ia adalah penentang yang paling keras.” (al-Baqarah: 204)

Namun realiti hari ini tidak banyak pemimpin yang benar-benar berjiwa besar dan sedia berkhidmat dengan ikhlas. Ramai pemimpin yang mengikut nafsu ke jalan yang salah kerana awal-awal lagi niatnya telah salah, hanya bertujuan meraih kepentingan diri daripada membantu rakyat di bawah pimpinannya.

Pemimpin yang ikhlas dan berakhlak mulia mampu menjalankan tanggungjawab dengan baik dan mampu menghindarkan ketirisan kewangan dan salah urus ekonomi negara. Nabi Yusuf alaihi salam adalah antara contoh pemimpin yang jujur dan diberi kepercayaan untuk mengurus kewangan negara. Firman Allah:

قَالَ اجْعَلْنِي عَلَى خَزَائِنِ الْأَرْضِ إِنِّي حَفِيظٌ عَلِيمٌ (55)

Yusuf berkata: “Jadikanlah daku pengurus perbendaharaan hasil bumi (Mesir); sesungguhnya aku sedia menjaganya dengan sebaik-baiknya, lagi mengetahui cara mentadbirkannya”.  (Yusuf : 55)

Satu akhlak yang penting diambil berat oleh pemimpin ialah menunaikan janji. Banyak janji-janji dan manifesto yang ditabur sebelum pilihanraya, calon-calon perlulah berusaha menunaikan janji yang dibuat dengan bersungguh-sungguh selepas kemenangan mereka. Sepatutnya calon-calon dan parti-parti yang bertanding memastikan bahawa mereka dapat menunaikan janji-jani dan manifesto yang dibuat dan meninggalkan perkara-perkara yang tidak mampu ditunai.

Ini penting kerana rakyat memberi sokongan berdasarkan keyakinan mereka kepada wakil rakyat. Perbuatan sengaja berjanji sedangkan tidak mampu untuk dilaksanakan adalah perlu dielakkan.  Setiap pemimpin hanya boleh berjanji jika yakin dapat menunaikannya.  Rasulullah SAW bersabda bermaksud:

عن عبد الله بن عمرو أن النبي صلى الله عليه و سلم قال أربع من كن فيه كان منافقا خالصا ومن كانت فيه خصلة منهن كانت فيه خصلة من النفاق حتى يدعها إذا اؤتمن خان وإذا حدث كذب وإذا عاهد غدر وإذا خاصم فجر (الْبُخَارِيُّ : باب علامة المنافق)

“Tanda-tanda seorang munafik itu adalah tiga perkara ialah apabila berjanji tidak ditunaikan, apabila bercakap dia berdusta dan apabila diberi amanah dia mengkhianati.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Secara kesimpulannya, sifat yang mulia dan akhlak yang baik adalah ciri-ciri calon muslim berwibawa yang perlu dipilih oleh pengundi. Pengundi hari ini lebih bijak dan terdedah kepada sumber maklumat yang pelbagai dalam menilai prestasi akhlak dan moral kepimpinan. Pengundi perlu lebih peka dan memastikan calon yang mereka pilih adalah orang-orang yang benar-benar “bersih”, mempunyai rekod akhlak yang baik, memiliki keperibadian Islam yang tinggi, boleh dicontohi oleh keluarga dan masyarakat sekelilingnya dan jauh dari salahlaku moral.

Prof Madya Dr Aznan Hasan

Pengerusi Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 6458 access attempts in the last 7 days.