Ciri Calon Muslim Berwibawa: (1) Amanah

*Ini adalah sebahagian daripada kertas kerja “Kewajipan Mengundi Calon Muslim Berwibawa” yang dibentangkan di Muzakarah MUIS pada tahun 2013

Kriteria amanah adalah sangat penting bagi sesiapa yang diberi tanggungjawab memimpin negara. Sifat amanah berupaya melindungi wakil rakyat atau sesiapa juga yang memegang jawatan didalam kerajaan untuk menjalankan tugas dengan baik, berkredibiliti, jauh dari korupsi dan salah guna kuasa yang banyak menimpa ahli-ahli politik.

Inilah ciri-ciri muslim berwibawa yang kuat dalam menanggung beban amanah kepimpinan  ((القوي الأمين   Rasulullah S.A.W. pernah menolak permintaan Abu Dzar al-Ghifari yang menawarkan diri untuk menyandang jawatan kerana takut beliau tidak berupaya menjalankan amanah tersebut. Sabda baginda yang bermaksud:

عن أبي ذر قال : قلت يا رسول الله ألا تستعملني ؟ قال فضرب بيده على منكبي ثم قال (يا أبا ذر إنك ضعيف وإنها أمانة وإنها يوم القيامة خزي وندامة إلا من أخذها بحقها وأدى الذي عليه فيها ) (مسلم : كتاب الإمارة باب كراهة الإمارة بغير ضرورة)

Dari Abu Dzar dia berkata, saya berkata, “Wahai Rasulullah, tidakkah anda ingin melantikku?” Abu Dzar berkata, “Kemudian beliau menepuk bahuku dengan tangan beliau seraya bersabda: “Wahai Abu Dzar, kamu ini lemah (untuk memegang jawatan) dan jawatan itu merupakan amanah. Pada hari kiamat ia adalah kehinaan dan penyesalan, kecuali bagi siapa yang mengambilnya dengan haq dan melaksanakan tugas dengan benar.” (Shohih Muslim : Kitab al-Imarah).

Ibn Taimiyyah telah menjelaskan hadis di atas adalah antara contoh yang menjadi hujah bahawa  al-wilayah (kepimpinan) itu adalah amanah yang wajib ditunaikan oleh orang yang diberi kepimpinan itu. Beliau juga menyatakan bahawa kepimpinan wajib diserahkan kepada orang yang paling baik dan paling soleh di kalangan mereka  (al-ahsan , al-aslah), bukan hanya sekadar baik tetapi yang paling baik dalam kalangan mereka. Berkata Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah :

Maksudnya: Sesungguhnya sunnah Rasulullah s.a.w telah menunjukkan bahawa wilayah adalah amanah yang wajib dilaksanakan pada tempatnya…Telah berlaku ijma’ dalam kalangan orang Islam dalam makna ini; Sesungguhnya wasiat anak yatim, nazir waqaf dan wakil seorang lelaki di dalam urusan hartanya hendaklah menguruskannya dengan yang lebih baik dan lebih baik. Seperti firman Allah s.w.t : “Dan janganlah kamu hampiri harta anak yatim melainkan dengan cara yang lebih baik” [Al-An’am : 152]. Dan Allah tidak berkata melainkan yang baik (sahaja).

Ibn Taimiyyah juga menjelaskan bahawa sekiranya pemilihan kepimpinanan dilakukan atas dasar yang tidak benar seperti hubungan kekeluargaan dan rakan-rakan maka sesungguhnya perbuatan tersebut adalah perbuatan khianat kepada Allah dan Rasulnya. Usaha yang bersungguh-sungguh perlu dilakukan untuk memilih pimpinan yang terbaik, sekiranya tiada yang paling baik  maka perlulah dipilih yang terbaik kalangan mereka.

Sekiranya semua usaha dan pilihan telah dilakukan untuk memilih kepimpinan yang paling baik maka ketika itu terlepaslah tuntutan kewajiban dalam pemilihan amanah kepimpinan tersebut.

Ibn Taimiyyah juga menjelaskan bahawa al-Quwwah (kuat) dan al-Amanah adalah dua sifat utama bagi pemilihan kepimpinan yang paling baik (al-Aslah). Sifat al-Quwwah dinilai mengikut dan bergantung kepada tanggung jawab yang diserahkan. Sifat al-Quwwah yang perlu ada pada seorang pemimpin ketenteraan ialah berani dan mahir dalam strategi ketenteraan dan peperangan, manakala para hakim hendaklah dipilih dari kalangan mereka yang paling adil dan berani menegakkan kebenaran.

Al-Amanah pula merujuk kepada sifat jujur, ikhlas, tidak mudah dipengaruhi dengan ganjaran dunia dan pujuk rayu manusia. Beliau takut kepada Allah dalam semua urusan, mencintai redhoNya semata-mata dan sentiasa muhasabah diri. Berkata Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah :

Kepimpinan dan perlantikan pemimpin merupakan suatu amanah yang akan disoal oleh Allah di akhirat kelak. Kepimpinan merupakan suatu amanah dan tanggungjawab besar yang perlu dipikul oleh mereka yang diberikan amanah tersebut.

Pemimpin merupakan orang yang akan melaksanakan tanggungjawab sebagai khalifah dalam wilayah tadbirnya. Sepertimana yang dinyatakan oleh al-Mawardi, tanggungjawab khalifah adalah melibatkan pelaksanaan urusan agama dan mentadbir urusan dunia ini dengan syariat Islam[1]. Nabi saw pernah bersabda dalm sebuah hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari yang bermaksud:

عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ رضى الله عنه قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم إِذَا ضُيِّعَتِ الأَمَانَةُ فَانْتَظِرِ السَّاعَةَ . قَالَ كَيْفَ إِضَاعَتُهَا يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ إِذَا أُسْنِدَ الأَمْرُ إِلَى غَيْرِ أَهْلِهِ ، فَانْتَظِرِ السَّاعَةَ (الْبُخَارِيُّ : باب رَفْعِ الأَمَانَةِ)

“Dari Abu Hurairah (r.a) bahawa Rasulullah bersabda sekiranya amanah itu disia-siakan, maka tunggulah kehancuran. Lalu para sahabat baginda bertanya tentang bagaimanakah yang dikatakan bahawa amanah itu disia-siakan? Lalu nabi saw menjawab: (Amanah itu disia-siakan) apabila kamu menyerahkan sesuatu urusan kepada mereka yang bukan ahlinya, maka tunggulah akan kehancuran” (Sohih Bukhari)

Dalam hadis nabi saw yang lain yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim, baginda bersabda yang bermaksud:

أَنَّ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عُمَرَ يَقُولُ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَقُولُ كُلُّكُمْ رَاعٍ ، وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ ، الإِمَامُ رَاعٍ وَمَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ ، وَالرَّجُلُ رَاعٍ فِى أَهْلِهِ وَهْوَ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ ، وَالْمَرْأَةُ رَاعِيَةٌ فِى بَيْتِ زَوْجِهَا وَمَسْئُولَةٌ عَنْ رَعِيَّتِهَا ، وَالْخَادِمُ رَاعٍ فِى مَالِ سَيِّدِهِ وَمَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ. (الْبُخَارِيُّ : باب الْجُمُعَةِ فِى الْقُرَى وَالْمُدْنِ)

“Dari Abdullah Bin Umar (r.a) berkata saya dengar Rasulullah (s.a.w) bersabda: Setiap kamu adalah pemimpin, dan kamu bertanggungjawab kepada setiap perkara yang berada di bawah kepimpinan kamu, seorang imam (pemerintah) merupakan pemimpin, maka dia bertanggungjawab kepada sesiapa pun yang berada di bawah kepimpinannya. Seorang lelaki pemimpin kepada keluarganya dan dia bertanggungjawab ”.

Amanah kepimpinan bukanlah sesuatu kemegahan yang dikejar dan dicari, tetapi ia merupakan tanggungjawab yang akan dipersoalkan di hadapan Allah di akhirat kelak. Setiap calon yang bertanding dalam pilihanraya hendaklah sentiasa bermuhasabah agar tidak lalai dan lupa prinsip amanah ini apabila mereka memenangi kerusi dan mendapat mandat daripada rakyat. Lupa dan lalai dari amanah ini akan membawa kesan yang buruk kepada negara dan rakyat yang memberi mandat bahkan mengundang murka Allah SWT. Firmannya :

إِنَّا عَرَضْنَا الْأَمَانَةَ عَلَى السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَالْجِبَالِ فَأَبَيْنَ أَنْ يَحْمِلْنَهَا وَأَشْفَقْنَ مِنْهَا وَحَمَلَهَا الْإِنْسَانُ إِنَّهُ كَانَ ظَلُومًا جَهُولًا (72)

Maksudnya : Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (ingatlah) Sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan. (al-Ahzab, ayat: 72)

Pengundi juga perlu bijak memilih calon muslim berwibawa yang dipercayai dapat melaksanakan amanah dengan baik. Kesilapan memilih calon yang baik boleh menyebabkan mereka disoal oleh Allah di akhirat kelak. Kesilapan dalam memilih calon yang tidak amanah bukan sahaja akan merosakkan pentadbiran negara bahkan yang paling teruk akan menjejaskan perjalanan dan perkembangan agama Islam di negara ini. Firman Allah SWT :

إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَى أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُمْ بَيْنَ النَّاسِ أَنْ تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ إِنَّ اللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُمْ بِهِ إِنَّ اللَّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا (58)

Maksudnya : “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa mendengar, lagi sentiasa melihat.” (an-Nisaa` ayat: 58)

Setiap calon yang telah terbukti terlibat dalam pecah amanah, rasuah, salah guna kuasa dan kesalahan-kesalahan seumpamanya mestilah ditolak oleh pengundi-pengundi dalam pilihanraya akan datang. Adalah menjadi tanggungjawab parti-parti yang bertanding untuk memeriksa latar belakang calon mereka supaya bersih dari tuduhan salah laku dan bertindak mengugurkan calon yang telah terbukti atas kesalahan rasuah oleh mahkamah.

Prof Madya Dr Aznan Hasan

Pengerusi Majlis Ulama ISMA (MUIS)

[1] Al-Mawardi, al-Ahkam al-Sultaniyyah, p. 5

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 413 access attempts in the last 7 days.