Ancaman Plurisme Agama (Siri 4)

*Kertas kerja ini telah dibentangkan dalam Program Penjelasan Ajaran Sesat/Meragukan Daerah Petaling 2018 anjuran Unit Penyelidikan & Pembangunan Pejabat Agama Islam Daerah Petaling pada 31 Mac 2018, bertempat di Dewan Perpustakaan Komuniti MBPJ.

**pautan Siri 1, Siri 2, Siri 3

ANCAMAN PLURALISME TERHADAP UMAT ISLAM

Aliran pemikiran yang menyeleweng dan sesat ini pastinya akan memberi ancaman besar kepada agama Islam dan umatnya jika dibiarkan berleluasa. Ancaman yang akan dihadapi umat ini datang dalam beberapa bentuk:

  1. Memesongkan aqidah

Fahaman pluralisme akan memesongkan aqidah umat Islam kerana ia mengubah perkara asas dalam Islam itu sendiri iaitu tauhid dan mengesakan Allah SWT. Pluralisme akan menjadikan Islam bukan satu-satunya agama yang benar dan manusia bebas untuk ‘menyembah’ Allah dengan apa sahaja cara mereka mahu. Maka orang Islam yang beriman dengan pluralisme akan bebas untuk murtad kerana semua agama adalah relatif dan tiada lagi kebenaran mutlak pada Islam.

  1. Merosakkan syariat

Apabila semua agama dianggap sama rata maka tiada agama yang boleh melaksanakan undang-undangnya ke atas awam. Dengan itu segala undang-undang dan sistem Islam dalam aspek sosial, ekonomi, politik dan sebagainya tidak lagi boleh dilaksanakan. Agama hanya akan jadi urusan peribadi yang tiada kaitan dengan manusia lain. Dalam keadaan lain, hukum-hakam dan ibadah dalam Islam juga akan dicampurkan dengan agama lain sewenang-wenangnya.

  1. Memecah belahkan umat

Pluralisme agama jika diimani akan menyebabkan pepecahan yang lagi dahsyat berlaku kepada umat ini. Pluralisme akan membuka ruang besar munculnya ajaran-ajaran sesat baharu dan umat Islam akan berpecah kepada lebih banyak kumpulan. Dengan perbezaan mazhab fiqh dan aqidah sedia ada pun sudah menimbulkan banyak perselisihan di kalangan umat Islam, apatah lagi jika munculnya aliran-aliran sesat baharu yang pelbagai.

  1. Mengancam institusi Islam

Golongan yang memperjuangkan pluralisme akan turut memperjuangkan kesamarataan bidang kuasa mana-mana agama, tiada agama boleh mendapat peruntukan lebih atau keistimewaan tertentu dalam sebuah negara. Akhirnya di negara Islam institusi-institusi berkaitan Islam akan diminta dikurangkan kuasanya atau dibubarkan terus. Contoh realiti yang telah berlaku di Malaysia adalah munculnya seruan-seruan agar Jabatan Kemajuan Agama Islam (JAKIM) disemak semula kedudukannya dalam perlembagaan agar dibubarkan.[1]

GERAKAN PLURALISME DI MALAYSIA

Di Malaysia terdapat gerakan yang memperjuangkan pluralisme bukan setakat pada ideologi namun turut menuntut hak undang-undang agar intipati fahaman tersebut dapat dijalankan secara sah iaitu Interfaith Commission of Malaysia (IFC).

IFC berasal dari IRC (Inter Religion Council) yang merupakan Suruhanjaya Antara Kepercayaan yang dicadangkan sebagai sebuah badan berkanun yang mempunyai kuasa undang-undang yang boleh mengubah ajaran sesetengah agama (contoh: Islam) atas desakan penganut agama lain. IFC berfungsi seakan SUHAKAM yang turut menerima dan melayan aduan berkaitan agama.

IFC ditubuhkan oleh Malaysian Consultative Council of Buddhism, Christianity, Hinduism dan Sikhism atau singkatannya MCCBCHS ataupun Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu dan Sikh melalui memorandum bertarikh 21 Ogos 2001 kepada Majlis Peguam Negara.

Terdapat 14 tuntutan merbahaya IFC terhadap umat Islam iaitu:

  1. Seseorang anak yang dilahirkan oleh ibubapa Islam tidak seharusnya secara terus menjadi orang Islam.
  2. Orang-orang bukan Islam yang telah memeluk Islam hendaklah diberikan kebebasan untuk kembali ke agama asal mereka(murtad) dan tidak boleh dikenakan tindakan undang-undang.
  3. Sebarang kes pertukaran agama orang Islam kepada bukan Islam tidak sepatutnya dikendalikan oleh mahkamah syariah tetapi dikendalikan oleh mahkamah sivil.
  4. Tidak perlu dicatatkan di dalam kad pengenalan seseorang Muslim bahawa ia beragama Islam.
  5. Orang bukan Islam tidak perlu dikehendaki menganut Islam sekiranya ingin berkahwin dengan orang Islam. Orang Islam hendaklah dibenarkan keluar daripada Islam(murtad) sekiranya ingin berkahwin dengan orang bukan Islam tanpa boleh dikenakan tindakan undang-undang.
  6. Seseorang atau pasangan suami-isteri yang menukar agamanya dengan memeluk Islam tidak patut diberikan hak penjagaan anak.
  7. Orang-orang yang bukan Islam yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan seorang yang memeluk Islam hendaklah diberikan hak menuntut harta pusakanya selepas kematiannya.
  8. Kerajaan hendaklah menyediakan dana yang mencukupi untuk membina dan menyelenggara rumah-rumah ibadat orang bukan Islam sebagaimana kerajaan menyediakan dana yang serupa untuk masjid.
  9. Orang-orang bukan Islam hendaklah dibenarkan dan tidak boleh dihalang daripada menggunakan perkataan-perkataan suci Islam dalam percakapan dan sebagainya.
  10. Bibel dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Indonesia sepatutnya dibenarkan untuk diedarkan kepada umum secara terbuka.
  11. Pelajaran agama bukan Islam untuk penganut agama itu hendaklah diajar di semua sekolah.
  12. Program-program berunsur Islam dalam bahasa ibunda sesuatu kaum hendaklah ditiadakan. Program dakwah agama lain selain Islam pula hendaklah dibenarkan untuk disiarkan dalam bahasa ibunda masing-masing.
  13. Orang-orang Islam yang membayar zakat tidak sepatutnya dikecualikan daripada membayar cukai pendapatan dan wang hasil zakat sepatutnya digunakan juga untuk keperluan orang-orang bukan Islam.
  14. Sepatutnya islam tidak disebut sebagai pilihan pertama masyarakat Malaysia seperti dalam soal pakaian menutup aurat kepada pelajar sekolah.

 

Tuntutan-tuntutan ini jelas berniat jahat untuk mencampuri hal ehwal agama Islam dan menjadikan umat Islam bebas untuk murtad serta bebas melakukan apa sahaja tanpa batasan Syariah, seterusnya idea pluralisme itu dapat merealisasikan secara sah diperingkat undang-undang negara. Semoga negara kita dipelihara dari bala besar ini.

 

KESIMPULAN

Dengan memahami ancaman dan bahaya fahaman pluralisme agama ini, umat Islam di Malaysia perlu menolak sepenuhnya ideologi ini. Pluralisme akan merosakkan aqidah serta menghancurkan Islam itu sendiri dari dalam, dalam konteks negara pula ia akan membawa ketidakstabilan sosio-politik umat Islam dan mengancam kedudukan institusi-institusi Islam.

Menginsafi keadaan ini setiap individu muslim bermula dari peringkat keluarga, masyarakat mahupun para pimpinan negara perlu menitikberatkan pendidikan dan pengukuhan aqidah secara serius dan menyeluruh. Pemerkasaan jati diri anak muda dan belia Islam terutamanya perlu diberi perhatian khusus agar tidak mudah terpengaruh dengan fahaman liberalisme dan pluralisme yang mengelirukan ini.

Segala dakyah, propaganda serta agenda untuk menyebarkan fahaman ini juga perlu ditentang oleh umat Islam di Malaysia secara bersungguh bagi mempertahankan identiti Islam di Malaysia mengikut fahaman Ahlus Sunnah Wal Jamaah.

Ingatlah peringatan daripada Allah SWT supaya kita sentiasa berjaga-jaga memelihara agama ini daripada tipu daya dan serangan musuh seperti dalam surah An-Nisaa’ ayat 89 ini:

 “Mereka suka kalau kamu pula menjadi kafir sebagaimana mereka telah menjadi kafir, maka jadilah kamu sama (seperti mereka).”

 

Ust Ahmad Nu’man Mazlan

Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)

 

[1] http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2018/02/02/no-provision-for-jakim-in-the-constitution-says-shariah-lawyer/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 413 access attempts in the last 7 days.