Kebijakan Rasulullah dalam menentukan posisi ahli

1. Meneliti Sirah Rasulullah ﷺ, Baginda ﷺ dilihat sebagai pemimpin yang mahir dalam menilai personaliti dan membaca karakter para sahabat. Dengan sebab itu kita lihat Rasulullah ﷺ memberikan gelaran atau panggilan spesifik kepada sahabat tertentu sesuai dgn personality (atau ingin membangunkan karakter mereka). al-Zubayr digelar nabi sebagai ‘hawary’ (pembantu Ummah ini) (al-Bukhari), Abu Bakar dan Umar pula pernah diberi gelaran ‘wazir’ (menteri) (al-Tirmizi), Abu Ubaydah dipanggil ‘amin al-ummah’ (orang kepercayaan umat ini) (al-Bukhari). Baginda ﷺ juga memilih personaliti yg sesuai dalam melaksanakan tugasan yang diberikan.

2. Meneroka senarai nama pemegang bendera panji tentera Muslimin, Saidina Ali dilihat antara nama yang terbanyak memikul tanggungjawab ini. Ketika perang Badar, Ali membawa bendera bagi kumpulan Muhajirin. Begitu juga dalam perang Uhud, setelah Mus’ab tewas syahid, Ali mengambil peranan menjadi pemegang panji tentera Muslimin bagi meneruskan jerit perih dalam mengharungi detik sukar perang Uhud.

3. Ketika perang Khaibar, tentera Muslimin menghadapi kesukaran dalam menembusi kubu-kubu Yahudi ini. Rasululah ﷺ kemudian memanggil sesi ‘retreat’, mengumpulkan semula kekuatan tentera Muslimin lalu berkata:
لَأُعْطِيَنَّ الرَّايَةَ غَدًا رَجُلًا يُفْتَحُ عَلَى يَدَيْهِ، يُحِبُّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ، وَيُحِبُّهُ اللَّهُ وَرَسُولُهُ

Maksudnya: Aku akan serahkan bendera ini esok kepada lelaki yang akan membuka (kubu-kubu Yahudi ini), yang mana dia adalah lelaki yang mencintai Allah dan RasulNya dan dicintai oleh Allah dan RasulNya.

Malam tersebut, para sahabat semua tertanya-tanya dan berharap agar dialah orang yang akan mendapat bendera tersebut. Keesokkannya Rasulullah ﷺ menyerahkan bendera tersebut kepada Ali walaupun beliau dalam keadaan yg tidak sihat (sakit mata).

4. Dalam perang Badar, Ali dipilih sebagai perajurit yang menyertai sesi ‘mubarazah’, sesi pertarungan ‘one to one’ dengan tentera musuh.

5. Barangkali kerana personaliti dan karakter yang berani kehadapan ini, Ali sering terpilih dalam posisi yang melibatkan misi yg sebegini.

6. Ianya tidak sama dengan posisi Huzaifah yang dilihat terlibat dengan tugas yang melibatkan kerahsiaan. Dalam menghadapi ancaman kumpulan munafiq di Madinah, Rasulullah memberi kepercayaan kepada Huzaifah untuk menyimpan senarai nama munafiq ini.

7. Satu ketika dalam perang Khandaq, Rasulullah ﷺ memerlukan wakil untuk menjalankan misi rahsia untuk meninjau keadaan musuh. Ketika itu tiada sahabat yg menyahut panggilan Nabi ﷺ untuk melaksanakan misi ini. Rasulullah ﷺ lantas memanggil Huzaifah, personality yang paling sesuai untuk melaksanakan misi rahsia ini.

Dr Ahmad Sanusi Azmi

Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 413 access attempts in the last 7 days.