Ulama telah sepakat Haram gadai tanah Palestin

Rahmat khilaf

Para ulama berbeza pandangan dalam bab kawasan yang diperolehi hasil peperangan. Sama ada ia dibahagikan kepada tentera yang berperang atau diserahkan kepada pemerintah. Bahkan empat mazhab masing-masing dengan kepelbagaian khilaf. Begitu juga dengan pelbagai permasalahan cabang agama, para ulama dalam setiap mazhab membimbing umat sesuai dengan tempat dan realiti masing-masing yang menjadikan Islam boleh dipraktikkan dalam semua tempat dan keadaan.

Kesepakatan yang unggul

Namun begitu, ketika membincangkan perihal bumi Palestin, para ulama bersepakat seakan-akan ijmak bahawa Al-Quds adalah hak milik umat Islam secara pasti, tidak boleh diabaikan dalam apa jua keadaan. Bahkan haram hukumnya orang Islam membuat perjanjian bersama orang Yahudi untuk diberikan kepada mereka satu bahagian daripada bumi Al-Quds. Sekali gus haram mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara. Adalah amat malang andai ada lagi di kalangan umat Islam yang berpandangan dibahagikan Palestin kepada dua umat Islam dan Yahudi supaya dapat hidup dengan aman!

Fatwa Mufti Sheikh Amin Husaini

Fatwa pengharaman menggadai bumi Palestin bermula seawal tahun 1922 oleh Mufti Al-Quds pada waktu itu iaitu Sheikh Amin Al Husaini (1897 – 1975). Bahkan sepanjang hayatnya sentiasa memimpin dan menegaskan jihad mempertahan bumi Al-Quds.

Pada tahun 1935 sekali lagi para Ulama Al-Quds dan dunia Islam mengeluarkan fatwa yang amat tegas:

“Sesungguhnya menjual Palestin kepada Yahudi sama ada secara perjanjian terus, atau melalui agen, kesemua yang terlibat secara langsung dan yang menjadi pemudah cara dalam apa jua bentuk dalam keadaan ia tahu akibat daripada perbuatannya, maka haram solat ke atas jenazahnya, haram dikuburkan di perkuburan orang Islam, bahkan wajib menjauhi dan memulaukannya sekalipun mereka adalah dalam kalangan ahli keluarga kita. Sesiapa yang tahu akan perbuatan mereka tetapi mendiamkan diri dan redha juga hukumnya haram.”

Fatwa Al-Azhar dan Ulama Dunia

Ulama Al-Azhar juga turut mengeluarkan fatwa  terhadap keharaman menggadai walau sehasta daripada bumi Palestin. Di antara isi pentingnya:

“Tutuplah jalan-jalan bagi mereka, tunggulah di setiap tempat intipan mereka, pulau (boikot) mereka dalam urusan perniagaan dan ekonomi, siapkanlah dalam kalangan kalian ketumbukan (batalion) jihad untuk melaksanakan kefardhuan yang telah Allah tetapkan bagi kita.”

“Ketahuilah, sesungguhnya jihad telah menjadi Fardhu Ain ke atas setiap kita yang mampu ke atas dirinya dan hartanya. Barangsiapa yang membelakangi kefarduan ini sesungguhnya ia telah mengundang kemurkaan Allah dan dosa yang besar.”

Hakikat yang wajib diimani

Ketahuilah, Palestin tidak sama keadaannya dengan tempat lain. Ia adalah hak umat Islam tanpa diragukan lagi. Sama ada kita mengimani ayat-ayat Al-Quran, hadis Nabawiyah mahupun sejarah Al-Quds yang diiktibar syarak akan kebenarannya, ataupun kita mahu mempercayai fakta-fakta yang diseleweng oleh musuh Islam.

Yang menjadi lebih parah apabila ada dalam kalangan umat Islam yang berpendapat memang Palestin akan kekal berada ditangan Yahudi hinggalah turunnya Nabi Isa A.S. Walhal jika diamati hadis akhir zaman, Palestin akan berada di tangan umat Islam sewaktu memerangi mereka bersama Al-Masih yang palsu.

Usah memangsakan rakyat Palestin kerana mereka sanggup berkorban demi mempertahankan seinci bumi itu. Itu janji Nabi S.A.W, bahawa akan sentiasa ada dalam kalangan mereka yang terus berjuang hingga akhir zaman. Intifadhah demi intifadhah terus digerakkan dari masa ke semasa, namun pemimpin dunia Islam dilihat masih bermain wayang dan tarik tali dengan Yahudi Zionis.

Semoga para ulama ummah terus menerus memimpin umat mempertahankan Al-Quds sebagaimana sebelumnya sepanjang zaman. Kemuliaan Islam terletak di tangan kalian yang menjadi ikutan umat seluruhnya. Kalaulah Allah pernah membebaskan AlzQuds ditangan Umar Al Khattab, Salahuddin Al Ayyubi, Qutuz, Zhahir Baybrus dan Muhammad Al Fateh, mengapa tidak adanya lagi tokoh seperti mereka? Hanya kita perlu menyempurnakan syarat kemenangan seperti yang dikehendaki Allah Taàla.

MOHD ADLAN MOKHTARUDDIN – HARAKAHDAILY 19/12/2017

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 1875 access attempts in the last 7 days.