Ulama antara memilih Rukhsah dan Azimah

Sabda Rasulullah SAW:

العلماء ورثة اﻷنبياء

Ulama adalah pewaris Anbiya.

Antara peranan ulama sebagai pewaris anbiya adalah menjadi qudwah (role-model) kepada manusia lain, terutama pada sumbangan dan pengorbanan. Oleh itu pendirian ulama perlu berbeza dalam hal mengambil rukhsah (keringanan yang dibenarkan syarak). Walaupun Islam mengharuskan, tetapi sebagai qudwah kepada manusia lain, mengambil Azimah (hukum asal) adalah lebih baik.

Kita boleh mengambil contoh Imam Ahmad bin Hanbal, sewaktu dipenjara dan diseksa oleh pemerintah pada zamannya yang menganut fahaman Muktazilah. Beliau dipaksa untuk mengatakan bahawa al-Quran adalah makhluk.

Melihat penderitaan yang dialami oleh Imam Ahmad, ramai rakan-rakannya meminta beliau melafazkan sahaja apa yang dipinta. Ini bagi menyelamatkan dirinya. Rakan-rakannya memberitahu walaupun lafaz itu salah dari sudut akidah, tetapi ia dibolehkan atas nama rukhsah kerana menyelamatkan nyawa.

Imam Ahmad menolak permintaan tersebut. Beliau dengan tegas menjawab:

“اذا سكت العالم تقية والجاهل ينطق فمتى يظهر الحق؟”

“Jika ulama diam kerana menyelamatkan diri, dan orang jahil pula bersuara, maka bilakah akan terzahir kebenaran?”

Menunjukkan bahawa Ulama perlu berbeza dengan orang awam dalam mengambil sesuatu langkah.

Perkara ini boleh dilihat dari sikap keluarga Yaasir. Ammar bin Yaasir mengambil rukhsah dengan melafazkan kata-kata kufur untuk menyelamatkan nyawanya. Kerana Ammar pada waktu itu masih kecil, tidak menjadi berada pada kedudukan qudwah.

Berlainan dengan bapanya Yaasir dan ibunya Sumayyah, mereka tidak mengambil rukhsah melafazkan kufur, sebaliknya kekal dengan azimah. Akhirnya mereka berdua mati dibunuh daam keadaan yang sangat menyeksakan. Menjadi dua umat Islam pertama bergelar syuhada. Ini kerana mereka adalah qudwah kepada umat Islam lain.

Syiekh Dr Ali Qurahdaghi

Seminar Mimbar al-Quds
Istanbul, Turki

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 413 access attempts in the last 7 days.