MUIS bersama Ulama seluruh dunia mengeluarkan deklarasi haram mengiktiraf Zionis Israel

ISTANBUL, 20 Disember- Seketeriat Ulama Ummah yang mewakili pelbagai pertubuhan serta individu ulama dari seluruh dunia telah mengeluarkan satu deklarasi persepakatan antara ulama Islam yang menyeru supaya projek pengyahudian wajib ditentang serta ditolak oleh seluruh umat Islam sama ada sebagai pemimpin negara, kelompok masyarakat atau individu muslim.

Dr Wasfi Asyur yang juga merupakan Ahli Rabitah Ulama Ahlu Sunnah dan juga merupakan jurucakap bagi seketeriat Deklarasi Ulama Ummah menyebut bahawa sebarang usaha yang dilakukan oleh mana-mana pihak dengan cara membina hubungan dengan Zionis Israel sama ada dari segi politik, ekonomi atau pendidikan adalah satu bentuk pengkhianatan terhadap isu Palestin, penggadaian terhadap kepercayaan aqidah untuk membebaskan masjid al-Aqsa dan satu jenayah terhadap umat Islam yang sedang dizalimi di kota suci tersebut.

“Ianya adalah suatu perkara haram yang dilarang serta hendaklah ditegah tidak kiralah atas nama parti, kumpulan atau negara itu sendiri”

Tambah beliau lagi, bahkan menjadi satu kewajipan kepada semua pihak menentang dengan segala cara yang kita mampu terhadap projek Zionis Israel ini berdasarkan hadis nabi yang menyeru menolak sebarang kemungkaran dengan kemampuan kita.

“Jihad menentang Zionis Israel ini adalah satu persepakatan (ittifaq) ulama yang tidak pernah adanya mana-mana pandangan yang berlawanan dengannya”

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di Istanbul pada hari Isnin baru-baru ini dan menyatakan bahawa Deklarasi Ulama Ummah ini adalah hasil daripada perbincangan serta bengkel antara ulama yang pelbagai latar belakang sejak beberapa bulan yang lalu.

Majlis Ulama ISMA (MUIS) adalah antara 36 pertubuhan ulama yang mewakili ribuan individu ulama serata dunia turut sama menyokong Deklarasi Ulama Ummah ini bersama-sama Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia, Rabitah Ulama Ahlu Sunnah, Kesatuan Ulama Palestin Luar Negara, Kesatuan Ulama di Lubnan dan pelbagai pertubuhan ulama lain.

Deklarasi tersebut akan diterjemahkan kepada sembilan bahasa: Arab, Inggeris, Melayu, Hebrew, Turki, German, Perancis dan Hausa supaya ianya dapat disebarkan ke seluruh pelusuk dunia umat Islam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 1204 access attempts in the last 7 days.