Sistem Syura: Hukum dan Kaedah Pelaksanaannya (Siri 3)

*untuk membaca siri 1 (Maksud dan Hukum melaksanakannya): http://muis.org.my/2017/10/sistem-syura-hukum-dan-kaedah-pelaksanaannya-siri-1/

*untuk membaca siri 2 (Ruang lingkup dan sejarah pelaksanaan): http://muis.org.my/2017/11/sistem-syura-hukum-dan-kaedah-pelaksanaannya-siri-2/

Siri 3: Beberapa isu berkaitan sistem syura

Keterikatan (bindingness) Keputusan Syura ke atas Pemimpin/Ketua

Daripada hadis-hadis yang dinyatakan sebelum ini, dapat difahami bahawa pada asalnya, keputusan syura mengikat ke atas pemimpin/ketua meskipun bercanggah dengan pendapat peribadinya.[1] Hal ini dikuatkan lagi dengan peristiwa peperangan Uhud di mana Rasulullah SAW yang pada asalnya hanya mahu bertahan di Madinah, akhirnya menuruti pandangan majoriti untuk keluar daripada Madinah.

Begitu juga dengan kisah Rasulullah SAW, Abu Bakar Al-Siddiq r.a dan Umar bin Al-Khattab r.a tatkala membincangkan isu tawanan perang badar. Rasulullah telah mengikut pandangan Abu Bakar Al-Siddiq dan majoriti sahabat r.a yang menyatakan supaya tidak dibunuh tawanan perang ketika itu dan tidak mengikuti pandangan Umar r.a.[2]

Kisah Umar bin Abdul Aziz yang telah berjumpa dengan 10 orang fuqaha di Madinah dan menyatakan; “Aku tidak akan memutuskan sesuatu perkara melainkan dengan pandangan kalian”[3] turut menunjukkan bahawa keputusan syura merupakan mengikat ke atas pemimpin.

Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi turut menyatakan bahawa syura adalah mengikat (mulzim) dan bukannya sekadar pemberi maklumat (mu`lim)[4]

Walau bagaimanapun, pandangan majoriti syura tetap tertakluk kepada kekuatan hujah atau dalil sekiranya perbincangan syura tersebut melibatkan suatu bidang kepakaran tertentu. Sebagai contoh, jika perbincangan syura berkaitan isu Syariah dalam kewangan Islam, maka pandangan didasari kekuatan dalil Syarak khusus dalam bidang Syariah dan kewangan Islam – meskipun minoriti – perlu dipilih dan diutamakan berbanding pandangan majoriti yang tidak didasari kekuatan dalil Syarak berkaitan bidang tersebut. Manakala jika perbincangan syura berkaitan bidang geologi sebagai contoh, maka kekuatan hujah daripada pakar geologi diutamakan.[5]

Dalam hal ini, seorang pemimpin atau ketua perlu mengutamakan pandangan yang didasari dalil Syarak yang kuat dan sahih serta kekuatan hujah daripada pakar bidang tertentu terhadap bidang kepakaran tertentu berbanding pandangan majoriti yang lemah (marjuh).

Keputusan Pemimpin Melalui Syura Menghilangkan Khilaf

Maka apabila pemimpin sudah memutuskan suatu keputusan berdasarkan pertimbangan yang telah dijelaskan sebelum ini, ahli syura dan umat Islam wajib mentaatinya dan melaksanakannya tanpa sebarang pertikaian lagi. Ini kerana, keputusan pemimpin menghilangkan perselisihan yang berlaku berdasarkan kaedah fiqh yang menyebut:

حكم الحاكم في مسائل الاجتهاد يرفع الخلاف[6]

Maksudnya: “Hukuman/keputusan pemerintah dalam permasalahan ijtihad mengangkat khilaf  ”

Kewajipan mentaati perintah pemimpin pula berdasarkan Firman Allah s.w.t seperti berikut:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّـهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنكُمْ ۖ فَإِن تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّـهِ وَالرَّسُولِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّـهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ۚ ذَٰلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا[7]

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada Ulil-Amri (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berselisihan dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya – jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.”

Syarat Pemilihan Ahli Syura Secara Umum

Setelah dibahaskan mengenai syura, kaedah pelaksanaan syura serta kesan keterikatannya ke atas pemimpin, perlulah juga diketahui perkara berhubung pemilihan ahli Syura dan juga pemimpin (khalifah) serta ciri-ciri pentingnya, supaya syura dapat diimplementasikan dengan lebih baik dan berkesan demi mencapai kehendak Syarak (Maqasid Syariah).

Secara umumnya, semua orang Islam mempunyai hak untuk memberikan pendapat kepada pemimpin. Adapun dalam hal tertentu seperti hal pemerintahan negara, ahli syura merupakan mereka yang dipilih oleh majoriti umat Islam;[8] atau mereka yang dipilih oleh pemimpin negara dan dipersetujui oleh majoriti umat Islam.[9] Dengan ini, dapat difahami bahawa ahli syura memikul amanah sebagai wakil yang mewakili pandangan umat keseluruhannya.

Ulama telah meletakkan satu syarat khusus bagi melayakkan seseorang menjadi ahli Syura iaitu mestilah mereka yang tinggal (bermukim) dalam negara Islam secara tetap. Ini berdasarkan firman Allah s.w.t; “dan juga bermesyuaratlah dengan ‘mereka’ dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu.”[10]

Menurut ulama, kalimah ‘mereka’ yang dimaksudkan dalam ayat ini ialah orang Islam yang tinggal dalam Madinah (iaitu negara Islam) berdasarkan amalan syura Rasulullah SAW dengan penduduk Madinah sahaja dan Rasulullah SAW tidak pernah melakukan syura dengan orang Islam yang tinggal di Mekah (yang ketika itu di bawah kekuasaan kafir Quraiys).[11]

Syarat Pemilihan & Pelantikan Pemimpin Negara dan Ahli Syura Tertinggi Mengikut Perspektif Syariah

Syariah mengiktiraf ahli syura atau “ahlu al-hal wa al-`aqd” sebagai pihak yang berautoriti untuk mengemukakan cadangan calon-calon pemimpin negara (khalifah) atau memilih satu calon yang terbaik serta memberikan bai`ah kepadanya.[12] Namun, satu-satunya cara (toriqah) bagi perlantikan khalifah secara rasmi ialah dengan bai`ah yang diberikan oleh umat Islam secara umum. Inilah yang dilaksanakan oleh para Sahabat r.a ketika melantik Abu Bakar Al-Siddiq sebagai khalifah pertama dan ia berterusan sehingga khalifah-khalifah selepasnya. Meskipun terdapat perbezaan dari sudut bentuk pelaksanaan bai`ah, intipati bai`ah tetap wujud dalam pelantikan keempat-empat Khulafa’ Rasyidin.

Intipati Bai`ah ialah pemberian janji taat setia kepada pemimpin negara Islam serta menyerahkan autoriti kepadanya untuk mengurus urusan negara serta umat Islam.[13]

Hukum bai`ah ialah wajib ke atas umat Islam secara umum berdasarkan hadis Rasulullah SAW:

من مات وليس في عنقه بيعة مات ميتة جاهلية[14]

“Barangsiapa yang mati dalam keadaan tidak berbai’ah (kepada pemerintah islam), maka matinya dalam jahiliyyah”

Dalam hal ini, umat Islam wajib memberikan bai`ah kepada pemimpin yang memenuhi ciri-ciri wajib bagi seorang khalifah. Ulama telah menggariskan beberapa syarat yang wajib dipenuhi bagi seorang khalifah serta syarat keutamaannya (yang perlu diutamakan) seperti berikut:[15]

Syarat Wajib

  • Beragama Islam
  • Baligh
  • Berakal
  • Merdeka
  • Lelaki
  • Adil

Syarat Keutamaan

  • Mujtahid
  • Layak dan berkemampuan (kafa’ah)
  • Berilmu
  • Berani
  • Tidak meminta-minta jawatan pemimpin negara
  • Penduduk (muwatin) negara Islam
  • Anggota dan deria badan yang sehat dan tidak memberi kesan negatif dalam berfikir.
  • Keturunan Quraiysh.

Syarat ke-8 (keturunan Quraiysh) di atas adalah berdasarkan hadis Rasulullah SAW seperti berikut:

الْأَئِمَّةُ مِنْ قُرَيْشٍ

Maksudnya: “Kepimpinan itu hendaklah dari kalangan Quraiysh.”

Abu Bakar Al-Siddiq telah membawakan hadis ini ketika berhujah dalam perbincangan di Saqifah Bani Sa`adah untuk memilih calon khalifah selepas kewafatan Rasulullah SAW. Mendengar hadis ini, para sahabat r.a akhirnya mengiktiraf kaum Muhajirin (keturunan Quraisyh) untuk menjadi khalifah. Maka ia telah menjadi Ijmak para Sahabat r.a yang boleh dijadikan hujah untuk umat Islam hingga ke hari ini.

Adapun dari segi kewajipan syarat ke-8 (keturunan Quraiysh) ini, terdapat khilaf dalam kalangan fuqaha. Pandangan yang rajih ialah keturunan quraiysh bukanlah satu syarat wajib tetapi merupakan salah satu daripada syarat yang diutamakan (syurut afdhaliyyah). Ini bermaksud, sekiranya terdapat dua orang calon yang salah satunya keturunan Quraiysh dan yang lainnya bukan daripada keturunan Quraiysh, maka calon yang berketurunan Quraiys diutamakan.[16]

Berkenaan syarat keturunan Quraiysh ini, Ibn Khaldun telah memberikan penjelasan yang amat menarik. Menurut beliau, sebab/hikmah Rasulullah SAW mensyaratkan kepimpinan daripada kalangan Quraiysh ialah kerana pada zaman itu, kaum Quraysh merupakan kaum yang memiliki kekuatan `asobiah qowiyyah ghalibah, yang mana mampu menyatupadukan suara umat Islam serta dapat mengelak daripada berlakunya pertelingkahan antara kaum.

Namun apabila tiba zaman di mana kaum Quraisyh mulai lemah, pemerintahan Islam berpindah daripada kaum Quiraysh kepada kaum yang lain kerana mereka memiliki Syaukah dan lebih kuat berbanding Quraisyh sekaligus melayakkan mereka menjadi pemimpin umat Islam. Berkata Ibnu Khaldun:

…إلا أنة لما ضعف أمر قريش وتلاشت عصبيتهم بما نالهم من الترف والنعيم، وبما أنفقتهم الدولة في سائر أقطار الأرض عجزوا بذلك عن حمل الخلافة، وتغلبت عليهم الأعاجم وصار الحل والعقد لهم…[17]

Pandangan ibnu Khaldun ini hakikatnya selari dengan pandangan Imam al-Juwayni yang menyatakan bahawa pemerintahan yang baharu yang ingin dinaikkan mestilah mereka yang mempunyai kekuatan Syaukah.[18] Kekuatan Syaukah yang dimaksudkan ialah yang memiliki ketaatan daripada rakyat yang tidak berbelah bagi, mampu menyatu padukan rakyat, serta mampu ‘memaksa’ suatu polisi dalam negara. Ini amat kritikal bagi menjamin kestabilan negara sekaligus mengelak daripada berlakunya huru hara.[19]

Empat belas (14) syarat pemimpin negara di atas juga terpakai ke atas pemimpin-pemimpin negara atau ahli syura yang berada dalam kategori wilayah `ammah atau wizarah tafwidh.[20] Terdapat dua (2) syarat yang diwajibkan ke atas khalifah, wilayah `ammah atau wizarah tafwidh yang tidak terpakai ke atas pemimpin yang dikategorikan sebagai wilayah khassah atau wizarah tanfiz iaitu syarat agama Islam dan lelaki.

Urusan kewangan sesebuah negara sebagai contoh boleh juga dikategorikan dalam wilayah khassah atau wizarah tanfiz di mana tidak semestinya orang Islam dan lelaki sahaja yang boleh menjawat jawatan ahli syura atau penasihat bagi bank negara atau sesebuah institusi kewangan Islam. Namun secara logiknya, hanya mereka yang pakar dalam bidang kewangan Islam yang lebih layak memenuhi jawatan tersebut, di samping syarat wajib selain Islam dan lelaki dan syarat keutamaan di atas.

Kesimpulan

Berdasarkan kajian dan analisis yang dijalankan, kertas kajian ini menyimpulkan beberapa perkara penting seperti berikut:

  • Islam memandang tinggi syura setaraf dengan amalan yang lain seperti solat, sedekah serta menjauhi perkara haram. Ia merupakan salah satu sifat bagi orang Islam seperti mana yang telah dinyatakan dalam Al-Quran dalam Surah Al-Syura ayat 38.
  • Hukum Syura ialah wajib ke atas pemimpin dan umat Islam berdasarkan firman Allah s.w.t yang bermaksud “bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan” dalam Surah Ali `Imran ayat 159.
  • Ruang lingkup perbincangan syura ialah semua perkara yang melibatkan perjalanan kehidupan manusia termasuk hukum Syariah yang tidak terdapat nas Al-Quran dan Sunnah yang menyatakannya secara jelas dan membawa maksud yang pelbagai (dilalah zhonniyyah).
  • Tiada ruang untuk syura dan ijtihad dalam perkara yang sudah jelas dinyatakan oleh Al-Quran, Sunnah dan Ijmak secara qat`ie.
  • Bentuk dan kaedah pelaksanaan syura ialah berbeza-beza berdasarkan maslahah dan situasi sesuatu tempat dan zaman.
  • Keterbukaan dalam pelaksanaan Syura tertakluk kepada Al-Quran dan As-Sunnah dan tidak boleh bercanggah dengan keduanya seperti mana yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dalam peristiwa Perjanjian Hudaibiyah.
  • Bagi isu yang bersifat ijtihadi atau isu yang tidak terdapat nas Al-Quran & Sunnah yang menyatakannya secara jelas dan boleh membawa maksud yang pelbagai (dilalah zhonniyyah) serta tidak diketahui pandangan mana yang paling hampir dengan Al-Quran dan Sunnah, keputusan syura dibuat berdasarkan pandangan majoriti.
  • Keputusan syura yang diputuskan berdasarkan sokongan majoriti adalah mengikat (binding) ke atas semua ahli syura termasuk pemimpin/ketua meskipun bercanggah dengan pendapat peribadinya.
  • Pandangan majoriti syura tertakluk kepada kekuatan hujah atau dalil sekiranya perbincangan syura tersebut melibatkan suatu bidang kepakaran tertentu. Oleh itu, pemimpin atau ketua perlu mengutamakan pandangan yang didasari dalil Syarak yang kuat dan sahih serta kekuatan hujah daripada pakar bidang tertentu terhadap bidang kepakaran tertentu berbanding pandangan majoriti yang lemah (marjuh).
  • Ahli syura dan umat Islam wajib mentaati keputusan pemimpin yang terhasil daripada syura dan wajib melaksanakannya tanpa sebarang pertikaian lagi. Ini kerana, keputusan pemimpin menghilangkan perselisihan yang berlaku.
  • Syarat-syarat wajib bagi seorang pemimpin negara dan ahli syura tertinggi bagi sebuah negara Islam ialah seperti berikut:
    1. Beragama Islam
    2. Baligh
    3. Berakal
    4. Merdeka
    5. Lelaki
    6. Adil
  • Syarat-syarat yang diutamakan bagi seorang pemimpin negara (khalifah) dan ahli syura tertinggi bagi sebuah negara Islam ialah seperti berikut:
  1. Mujtahid
  2. Layak dan berkemampuan (Kafa’ah)
  3. Berilmu
  4. Berani
  5. Tidak meminta-minta jawatan pemimpin negara
  6. Penduduk (muwatin) negara Islam
  7. Anggota dan deria badan yang sehat dan tidak memberi kesan negatif dalam berfikir.
  8. Keturunan Quraiysh atau mempunyai kekuatan Syaukah.

Ust Ahmad bin Khairuddin

Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)

[1] Lihat juga: Tafsir Ibn Kathir, jil. 2, m/s 159:

وروى ابن مردويه، عن علي بن أبي طالب، رضي الله عنه، قال: سئل رسول الله صلى الله عليه وسلم عن العزم؟ قال “مشاورة أهل الرأي ثم اتباعهم”

[2] Al-Baghawi, Ma`alim Al-Tanzil (Tafsir Al-Baghawi), Terbitan Daar Toyyibah li al-Nasyr wa al-Tauzi`, 1417H, 1997M, jil. 3, m/s 375. *Selepas itu Allah s.w.t menurunkan ayat 67 surah Al-Anfal berkenaan isu tawanan yang memberi isyarat bahawa pandangan yang benar adalah seperti mana yang telah dinyatakan oleh Umar r.a;

مَا كَانَ لِنَبِيٍّ أَنْ يَكُونَ لَهُ أَسْرَى حَتَّى يُثْخِنَ فِي الْأَرْضِ تُرِيدُونَ عَرَضَ الدُّنْيَا وَاللَّهُ يُرِيدُ الْآخِرَةَ وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

[3] Al-Zahabi, Siyar A`lam al-Nubala’, jil. 5, m/s 118;

لما قدم عمر بن عبد العزيز المدينة واليا، فصلى الظهر دعا بعشرة، عروة، وعبيدالله، وسليمان بن يسار، والقاسم، وسالما، وخارجة، وأبا بكر بن عبد الرحمن، وأبا بكر بن سليمان بن أبي حثمة، وعبد الله بن عامر بن ربيعة، فحمد الله، وأثنى عليه، ثم قال: إني دعوتكم لامر تؤجرون فيه، ونكون فيه

أعوانا على الحق، ما أريد أن أقطع أمرا إلا برأيكم، أو برأي من حضر منكم، فإن رأيتم أحدا يتعدى، أو بلغكم عن عامل ظلامة، فأحرج بالله على من بلغه ذلك إلا أبلغني.فجزوه خيرا، وافترقوا.

[4] Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi, Min Fiqh Al-Dawlah fi Al-Islam, m/s 146.

[5] Lihat: Prof. Dr Mahmud Al-Khalidi, Al-Islam wa Usul al-Hukm, m/s 189-191 untuk penjelasan lanjut.

[6] Al-Qarafi, Anwar al-Buruq  fi Anwa’ al-Furuq, terbitan Daar al-Kutub al-`Ilmiyyah, Beirut, 1418H (1998M), tahqiq Khalil Mansur, jil. 2, m/s 179.

[7] Surah Al-Nisa’ ayat 59.

[8] Lihat: Prof. Dr. Mahmud Al-Khalidi, Al-Islam wa Usul al-Hukm, m/s 208.

[9] Seperti mana yang berlaku dalam Bai`ah Aqabah kedua yang melibatkan 12 nuqaba’ Madinah dan juga yang berlaku dalam kisah pelantikan Khalifah Uthman Affan r.a di mana Umar Al-Khattab sebelum wafat telah melantik enam sahabat r.a untuk berbincang dan memilih khalifah dari kalangan mereka berenam.

[10] Surah Ali `Imran ayat 159.

[11] Lihat: Prof. Dr. Mahmud Al-Khalidi, Al-Islam wa Usul al-Hukm, m/s 208.

[12][12] Syeikh Dr Muhammad Abdul Qadir Abu Faris, Al-Nizom al-Siyasi fi al-Islam, terbitan Daar al-Furqan, Amman, Jordan, m/s 79.

[13] Ibid, m/s 300.

[14] Hadis Sahih daripada Ibn Umar r.a, riwayat Muslim dalam kitab Al-Imarah, hadis no. 3441.

[15] Lihat: Al-Mawardi, Al-Ahkam al-Sultaniyyah, m/s 5. Abu Ya`la, Al-Ahkam al-Sultaniyyah, m/s 20. Syeikh Dr Muhammad Abdul Qadir Abu Faris, Al-Nizom al-Siyasi fi al-Islam, m/s 178-197. Prof. Dr. Mahmud Al-Khalidi, Al-Islam wa Usul al-Hukm, m/s 359, Syeikh Abdullah b. Umar b. Sulaiman Al-Damiji, Al-Imamah A-`Uzma `inda Ahl al-Sunnah wa al-Jama`ah, m/s 234.

[16] Lihat: Prof. Dr. Mahmud Al-Khalidi, Al-Islam wa Usul al-Hukm, m/s 376.

[17] Ibnu Khaldun, Muqaddimah, m/s 99.

[18] Al-Juwayni, Ghiyath al-Umam, m/s 56;

إن الشوكة لا بد من رعايتها ومما يؤكد ذلك اتفاق العلماء قاطبة على أن رجلا من أهل الحل والعقد لو استخلى بمن يصلح للإمامة وعقد له البيعة لم تثبت……وقد تبايع رجال لا يفيد مبايعتهم شوكة ومنة قهرية فلست أرى للإمامة استقرارا.

[19] Al-Juwayni, Ghiyath al-Umam, m/s 56;

والذي ذكرته ينطبق على مقصد الإمامة وسرها فإن الغرض حصول الطاعة

[20] Wilayah `ammah atau wizarah tafwidh ialah mereka yang mendapat autoriti secara langsung daripada pemimpin tertinggi negara dan terlibat secara langsung dalam pembentukan polisi utama sesebuah negara serta menentukan hala taju sesebuah negara. Lihat: Al-Mawardi, Al-Ahkam al-Sultaniyyah wa al-Wilayat al-Diniyyah, m/s 22 & Abu Ya`la al-Fara’ , Al-Ahkam al-Sultaniyyah, m/s 29. Syeikh Dr Muhammad Abdul Qadir Abu Faris, Al-Nizom al-Siyasi fi al-Islam, m/s 324.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 364 access attempts in the last 7 days.