Sistem Syura: Hukum dan Kaedah Pelaksanaannya (Siri 2)

*untuk membaca siri 1 (Maksud dan Hukum melaksanakannya): http://muis.org.my/2017/10/sistem-syura-hukum-dan-kaedah-pelaksanaannya-siri-1/

Siri 2: Ruang lingkup dan sejarah pelaksanaan

Ruang Lingkup Perbincangan Syura

Persoalan seterusnya adalah berkaitan ruang lingkup perbincangan Syura, sama ada pemerintah dan orang Islam wajib melakukan syura terhadap semua perkara atau hanya pada perkara tertentu sahaja.

Setelah diteliti pandangan-pandangan fuqaha, dapat disimpulkan bahawa ruang lingkup syura ialah terhadap semua perkara yang melibatkan perjalanan kehidupan manusia termasuk hukum Syariah yang tidak terdapat nas Al-Quran dan Sunnah yang menyatakannya secara jelas dan membawa maksud yang pelbagai (dilalah zhonniyyah). Ini kerana, perkara yang sudah dinyatakan oleh Allah s.a.w dan Rasul-Nya dengan jelas dan qati`ie (tidak membawa maksud yang lain) perlulah diikuti oleh orang Islam tanpa boleh di-ijtihad-kan dan di-musyarawah-kan lagi.

Berkata Sufyan bin `Uyainah:

“قوله تعالى: )وَشَاوِرْهُمْ فِي الْأَمْرِ( هو للمؤمنين أن يتشاوروا فيما لم يأتهم عن النبي أثر”[1]

Maksudnya “Firman Allah s.w.t “dan hendaklah kamu melakukan syura dengan mereka (kaum Muslimin)” membawa maksud orang Islam hendaklah bermusyawarah dalam perkara yang tidak terdapat athar daripada Nabi SAW berkenaannya”

Al-Zamakhsyari menyatakan:

 }  وَشَاوِرْهُمْ فِى الأمر } يعني في أمر الحرب ونحوه مما لم ينزل عليك فيه وحي[2]

Maksudnya: “(Firman Allah s.w.t “dan hendaklah kamu melakukan syura dengan mereka”) bermakna dalam urusan peperangan dan lain-lain sepertinya yang tidak diturunkan wahyu terhadapnya

Dinaqalkan dalam kitab Al-Siyasah Al-Syar`iyyah karangan Ibnu Taimiyyah bahawa Ulil Amri (iaitu Pemimpin dan Ulama)[3] sentiasa memerlukan musyawarah. Dan  Allah s.w.t perintahkan Nabi-Nya supaya bermusyawarah adalah bagi melembutkan dan mengikat hati para Sahabat r.a, supaya orang Islam selepasnya mengikutinya serta untuk menghasilkan sebuah pandangan dalam perkara yang tidak diturunkan wahyu terhadapnya, sama ada dalam urusan peperangan, urusan-urusan cabang (juz’iyyah) dan lain-lain. Maka perkara-perkara ini adalah lebih utama bagi Nabi SAW untuk bermusyawarah.”[4]

Ulama kontemporari seperti Syeikh Rashid Redha juga turut berpandangan bahawa syura berlaku pada semua perkara yang tidak terdapat nas Al-Quran dan Sunnah serta Ijmak atau hanya berlaku pada perkara yang bersifat ijtihadi dan tidak qat`ie seperti urusan politik dan peperangan yang berdiri atas dasar maslahah. [5]

Kaedah & Bentuk Pelaksanaan Syura

Setelah dibuat penelitian dalam kitab-kitab hadis, fuqaha silam serta ulama kontemporari, dapat dinyatakan bahawa Syariah tidak mengehadkan dan menentukan secara spesifik satu kaedah dan bentuk pelaksanaan syura yang wajib diikuti.[6] Tidak terdapat bukti yang menunjukkan Rasulullah SAW dan para Sahabat r.a beriltizam dengan satu kaedah pelaksanaan Syura sahaja. Ia berlaku dalam pelbagai cara, bentuk, dengan bilangan ahli Syura yang berbeza-beza mengikut situasi dan keperluan suatu zaman dan tempat serta berdasarkan maslahah umum.[7]

Inilah keluasan dan rahmah agama Islam bagi semua manusia. Syariah tidak menyusahkan umat manusia dengan mengehadkan satu kaedah khusus bagi pelaksaanan syura. Boleh jadi suatu kaedah pelaksanaan syura hanya sesuai bagi suatu tempat dan tidak sesuai bagi tempat yang lain. Boleh jadi ia relevan pada suatu zaman, tetapi tidak lagi relevan pada zaman yang lain.

Firman Allah s.w.t:

يُرِيدُ اللَّـهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ[8]

Maksudnya: “Allah menghendaki kamu semua beroleh kemudahan, dan Dia tidak menghendaki kamu semua menanggung kesukaran.”

Firman-Nya lagi:

وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِي الدِّينِ مِنْ حَرَجٍ [9]

Maksudnya: “Dan Allah tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam Agama”

Antara kaedah atau bentuk pelaksanaan syura yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW ialah seperti berikut:

  • Seseorang atau sebahagian sahabat r.a memberi cadangan terhadap suatu perkara dan Rasulullah SAW bersetuju dengan cadangan tersebut tanpa wujud sebarang bantahan daripada para sahabat r.a yang lain. Ini menunjukkan majoriti sahabat bersetuju dengan cadangan tersebut. Lantas Rasulullah dan para sahabat r.a melaksanakannya. Antara contohnya adalah yang berlaku dalam peristiwa/kisah berikut:
  1. Kisah Habab bin Munzir r.a mencadangkan tempat baharu yang berdekatan dengan sumber air sebagai pangkalan tentera Muslimin dalam peperangan Badar.[10]
  2. Kisah Salman Al-Farisi yang mencadangkan supaya menggali parit yang panjang dan luas di Madinah untuk menghalang musuh dalam peristiwa peperangan Khandaq.[11]
  • Rasulullah meminta pandangan para sahabat r.a dengan bersabda: “Berilah pandangan kalian kepada aku wahai sekalian manusia”. Lalu padangan para sahabat dipersetujui oleh Rasulullah SAW seperti mana yang berlaku dalam beberapa peristiwa seperti berikut:
  1. Dalam peristiwa peperangan Badar ketika kafir Quraish dari Makkah sudah mula keluar untuk berperang setelah kaum Muslimin gagal menghalang kafilah kafir Quraish yang pulang dari Syam ke Makkah. Rasulullah telah meminta pandangan para sahabat sama ada untuk berperang atau tidak.[12]
  2. Isu tawanan perang Badar, di mana Rasulullah SAW telah meminta pandangan Abu Bakar r.a dan Umar Al-Khattab r.a serta para sahabat sama ada perlu membunuh tawanan perang Badar atau mengambil pampasan sahaja ke atasnya.[13]
  3. Dalam peristiwa peperangan Uhud, di mana Rasulullah SAW meminta padangan para sahabat sama ada untuk menghadapi musuh di dalam atau di luar Madinah. Majoriti para Sahabat r.a dari kalangan pemuda mencadangkan untuk mendepani musuh di luar Madinah dalam peristiwa peperangan Uhud.[14]
  4. Dalam peristiwa peperangan Khandaq, Rasulullah meminta pandangan Sa`ad bin Mu`az dan Sa`ad bin `Ubadah berhubung cadangan baginda untuk memeterai perjanjian perdamaian (sulh) dengan dua orang pemimpin kaum Ghatfan. Kedua-dua Sa`ad tidak bersetuju dengan cadangan Rasulullah SAW setelah mengenal pasti bahawa pandangan itu hanyalah strategi peperangan baginda (yang bersifat ijtihadi dan berdiri di atas maslahah umum), dan bukannya wahyu atau arahan daripada Allah s.w.t.[15]
  • Rasulullah SAW meminta pandangan orang ramai melalui wakil-wakil mereka sahaja. Ini yang berlaku selepas peristiwa peperangan Hunain dalam isu pengagihan harta rampasan perang.[16]

Jelaslah di sini bahawa Rasulullah SAW sendiri tidak mengehadkan dirinya dengan satu kaedah tertentu dalam melaksanakan Syura. Kaedah pelaksanaan Syura sentiasa terbuka bergantung kepada maslahat umat manusia di setiap zaman dan tempat.

Namun begitu, keterbukaan dalam pelaksanaan Syura ini tertakluk kepada Al-Quran dan As-Sunnah dan tidak boleh bercanggah dengan keduanya seperti mana yang telah dipamerkan oleh Rasulullah SAW dalam satu peristiwa yang masyhur berkenaan Perjanjian Hudaibiyah. Dalam peristiwa ini, Rasulullah SAW tidak mengikuti pandangan majoriti para sahabat disebabkan Baginda telah mendapat wahyu (arahan Allah s.w.t.)  berkenaan Perjanjian Hudaibiyah dan baginda hanya mematuhiya tanpa sebarang pertikaian. Hal ini telah dicatatkan dalam hadis sahih yang panjang berkenaan Perjanjian Hudaibiyah.[17]

Aplikasi Syura yang dilaksanakan oleh Khalifah-Khalifah Islam

Para sahabat r.a telah mewarisi sistem syura dengan menterjemahkannya dalam banyak peristiwa. Antaranya dalam isu pelantikan Khulafa’ Rasyidin, kisah pengumpulan Al-Quran, kisah perbincangan membuat kalender Islam pada zaman Umar Al-Khattab r.a. Semua isu dan peristiwa penting ini melibatkan syura.

Ketika zaman pemerintahan Bani Umayyah pula, Umar bin Abdul Aziz telah menghidupkan kembali sistem syura dengan umat Islam ketika itu dalam peristiwa pelantikannya sebagai pemimpin negara.[18]

Malah sebelum menjadi khalifah, Umar bin Abdul Aziz yang merupakan pemerintah di Madinah telah berjumpa dengan 10 orang fuqaha di Madinah dan menyatakan kepada mereka; “Aku tidak akan memutuskan sesuatu perkara melainkan dengan pandangan kalian”.[19]

Bagaimanakah Syura diputuskan?

Seperti mana yang telah dijelaskan sebelum ini, pelaksanaan Syura tertakluk kepada Al-Quran dan As-Sunnah dan tidak boleh bercanggah dengan keduanya. Dalam hal ini, tiada ruang untuk syura dan ijtihad dalam perkara yang sudah jelas dinyatakan oleh Al-Quran, Sunnah dan Ijmak secara qat`ie. Maka pemimpin dan umat Islam wajib mengikutinya tanpa sebarang khilaf. Perkara ini selari dengan garis panduan syura yang dinyatakan Ibnu Taimiyyah seperti berikut:

  • Ketika bermusyawarah, sekiranya jelas baginya (ulu al-amri) mengenai perkara yang wajib diikuti berdasarkan Al-Quran, Sunnah atau Ijmak, maka wajib ke atasnya untuk mengikuti perkara tersebut. Dan tiada ketaatan pada perkara yang bercanggah dengannya.
  • Sekiranya terdapat pertelingkahan terhadap sesuatu perkara, ulu al-amri hendaklah mendapatkan pandangan daripada setiap satu ahli Syura. Maka mana-mana pandangan yang paling hampir dengan Al-Quran dan Sunnah, wajib beramal dengannya. Selari dengan Firman Allah s.w.t dalam surah Al-Nisa’ ayat 59 yang bermaksud; “jika kamu saling berselisihan dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya – jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat”.[20]

Namun begitu, sekiranya berlaku khilaf terhadap isu yang bersifat ijtihadi atau isu yang tidak terdapat nas Al-Quran & Sunnah yang menyatakannya secara jelas dan boleh membawa maksud yang pelbagai (dilalah zhonniyyah) serta tidak diketahui pandangan mana yang paling hampir dengan Al-Quran dan Sunnah, keputusan syura dibuat berdasarkan pandangan majoriti. Pandangan majoriti diutamakan – selagi mana tidak bercanggahan dengan Syarak -berbanding pandangan perseorangan.

Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW seperti berikut:

إن الشيطان مع الواحد وهو من الاثنين أبعد[21]

Maksudnya: “Sesungguhnya Syaitan bersama dengan mereka yang berseorangan dan lebih jauh daripada mereka yang berduaan”.

Dalam hadis yang lain, Rasulullah SAW bersabda kepada Abu Bakar r.a dan Umar r.a:

لو اجتمعتما في مشورة ما خلفتكما[22]

Maksudnya: “Sekiranya kalian berdua bersepakat dalam suatu keputusan Syura, aku tidak menyanggahinya”

Berkata Al-Aamidi:

أن الكثرة يحصل بها الترجيح في رواية الخبر فليكن مثله في الاجتهاد[23]

Maksudnya: “Sesungguhnya bilangan yang banyak itu menghasilkan tarjih dalam periwayatan khabar. Maka begitu jugalah yang berlaku dalam ijtihad”

Syeikh Dr Yusuf Al-Qaradhawi menyatakan: “pemberat (murajjih) dalam situasi perselisihan pendapat adalah pada bilangan yang banyak/majoriti. Maka sesungguhnya pandangan dua orang lebih hampir kepada kebenaran daripada pandangan satu orang.” [24]

 

Ust Ahmad bin Khairuddin

Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)

[1] Tafsir Al-Tobari, jil. 4, m/s 152.

[2] Al-Zamakhsyari, Al-Kassyaf, jil. 1, m/s 341.

[3] Ibnu Taimiyyah, Al-Siyasah al-Syar`iyyah, m/s 164;

وأولو الأمر صنفان : الأمراء والعلماء ، وهم الذين إذا صلحوا صلح الناس ، فعلى كل منهما أن يتحرى بما يقوله ويفعله طاعة الله ورسوله ، واتباع كتاب الله

[4] Ibnu Taimiyyah, Al-Siyasah al-Syar`iyyah, m/s 162;

لا غنى لولي الأمر عن المشاورة ؛ فإن الله تعالى أمر بها نبيه صلى الله عليه وسلم فقال تعالى : { فَاعْفُ عَنْهُمْ وَاسْتَغْفِرْ لَهُمْ وَشَاوِرْهُمْ فِي الْأَمْرِ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ } (سورة آل عمران : من الآية 159) . وقد روي عن أبي هريرة -رضي الله عنه- قال : « لم يكن أحد أكثر مشاورة لأصحابه من رسول الله صلى الله عليه وسلم » . وقد قيل : إن الله أمر بها نبيه لتأليف قلوب أصحابه ، وليقتدي به من بعده ، وليستخرج بها منهم الرأي فيما لم ينزل فيه وحي : من أمر الحروب ، والأمور الجزئية ، وغير ذلك ، فغيره صلى الله عليه وسلم أولى بالمشورة.

[5] Syeikh Muhammad Rashid Redha, Al-Khilafah, m/s 38;

الشورى في الإسلام  ( أقول ) وأهم ما يجب على الإمام المشاورة في كل مالا نص فيه عن الله ورسوله ، ولا إجماعا صحيحا يحتج به ، أو ما فيه نص اجتهادي غير قطعي ، ولا سيما أمور السياسة والحرب المبنية على أساس المصلحة العامة.

[6] Lihat: Syeikh Dr. Muhammad Abdul Qadir Abu Faris, Al-Nizom al-Siyasi fi al-Islam, m/s 108.

[7] Syeikh Muhammad Rashid Redha, Al-Khilafah, m/s 38;

وكذا طرق تنفيذ النصوص في هذه الأمور إذ هي تختلف باختلاف الزمان والمكان . فهو ليس حاكما مطلقا كما يتوهم الكثيرون بل مقيد بأدلة الكتاب والسنة وسيرة الخلفاء الراشدين العامة  وبالمشاورة ولو لم يرد فيها إلا وصف للمؤمنين بقوله تعالى : ! ( وأمرهم شورى بينهم ) ! وقوله لرسوله : ! ( وشاورهم في الأمر ) ! لكفى ، فكيف وقد ثبتت في الأخبار والآثار قولا وعملا ، وسبب هذا الأمر للرسول [ صلى الله عليه وسلم ] بالمشاورة في أمر الأمة ، جعله قاعدة شرعية لمصالحها العامة ، فإن هذه المصالح كثيرة الشعب والفروع ولا يمكن تحديدها ، وتختلف باختلاف الزمان والمكان فلا يمكن تقييدها

[8] Surah Al-Baqarah, ayat 185.

[9] Surah Al-Hajj, ayat 78.

[10] Syeikh Ali Muhammad Al-Solabi, Al-Sirah al-Nabawiyyah `Ardh Waqai’ie wa Tahlil Ahdath, jil. 2, m/s 11.

[11] Ibid, m/s 320.

[12] Lihat: Al-Rahiq al-Makhtum, m/s 166.

[13] Al-Baghawi, Ma`alim Al-Tanzil (Tafsir Al-Baghawi), Terbitan Daar Toyyibah li al-Nasyr wa al-Tauzi`, 1417H, 1997M jil. 3, m/s 375;

لما كان يوم بدر وجيء بالأسرى، فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم: “ما تقولون في هؤلاء”؟ فقال أبو بكر: يا رسول الله قومك وأهلك فاستبقهم  واستأن بهم، لعل الله أن يتوب عليهم، وخذ منهم فدية، تكون لنا قوة على الكفار، وقال عمر رضي الله عنه: يا رسول الله كذبوك وأخرجوك قدمهم نضرب أعناقهم، مكن عليا من عقيل فيضرب عنقه، ومكني من فلان -نسيب لعمر -فأضرب عنقه، فإن هؤلاء أئمة الكفر

[14] Ibni Hisyam, Al-Sirah Al-Nabawiyyah, tahqiq Toha Abdul Rauf Sa`d, Terbitan Daar Al-Jiil, Beirut, 1411 Hijrah, jil. 4, m/s 8-9.

[15] Lihat: Ibni Hisyam, Al-Sirah Al-Nabawiyyah, tahqiq Toha Abdul Rauf Sa`d, Terbitan Daar Al-Jiil, Beirut, 1411 Hijrah, jil. 4, m/s 180;

“…فلما اراد رسول الله صلى الله عليه وسلم أن يفعل بعث الى سعد بن معاذ وسعد ابن عبادة فذكر لهما واستشارهما فيه فقالا له يا رسول الله أمرا تحبه فنصنعه أم شيئا أمرك الله به لا بد لنا من العمل به أم شيئا تصنعه لنا قال بل شيء أصنعه لكم والله ما أصنع ذلك  إلا لأنني رأيت العرب قد رمتكم عن قوس واحدة وكالبوكم من كل جانب فأردت أن أكسر عنكم من شوكتهم الى أمر ما…”

[16] Lihat: Syeikh Dr. Muhammad Abdul Qadir Abu Faris, Al-Nizom al-Siyasi fi al-Islam, m/s 109.

[17] Lihat: Hadis riwayat Bukhari, hadis no. 2529. Tatkala penerima persoalan dan pertikaian para sahabat r.a berkenaan Perjanjian Hudaibiah, Rasulullah SAW menjawabnya dengan melafazkan hadis seperti berikut;

إِنِّي رَسُولُ اللَّهِ وَلَسْتُ أَعْصِيهِ وَهُوَ نَاصِرِي

[18] Lihat: Abu Muhammad Abdullah b. Abdul Hakam, Sirah `Umar bin `Abdul Aziz `ala ma Rawahu Al-Imam Malik bin Anas wa Ashabuhu, tahqiq Ahmad `Abid, terbitan `Alam al-Kutub, Beirut, 1404H (1984M), m/s 35.

[19] Al-Zahabi, Siyar A`lam al-Nubala’, jil. 5, m/s 118;

لما قدم عمر بن عبد العزيز المدينة واليا، فصلى الظهر دعا بعشرة، عروة، وعبيدالله، وسليمان بن يسار، والقاسم، وسالما، وخارجة، وأبا بكر بن عبد الرحمن، وأبا بكر بن سليمان بن أبي حثمة، وعبد الله بن عامر بن ربيعة، فحمد الله، وأثنى عليه، ثم قال: إني دعوتكم لامر تؤجرون فيه، ونكون فيه

أعوانا على الحق، ما أريد أن أقطع أمرا إلا برأيكم، أو برأي من حضر منكم، فإن رأيتم أحدا يتعدى، أو بلغكم عن عامل ظلامة، فأحرج بالله على من بلغه ذلك إلا أبلغني.فجزوه خيرا، وافترقوا.

[20] Lihat: Ibnu Taimiyyah, Al-Siyasah Al-Syar`iyyah, m/s 164;

وإذا استشارهم ، فإن بين له بعضهم ما يجب اتباعه من كتاب الله أو سنة رسوله أو إجماع المسلمين ، فعليه اتباع ذلك ، ولا طاعة لأحد في خلاف ذلك ، وإن كان عظيماً في الدين والدنيا . قال الله تعالى : { يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنْكُمْ } (سورة النساء : من الآية 59( وإن كان أمراً قد تنازع فيه المسلمون ، فينبغي أن يستخرج من كل منهم رأيه ووجه رأيه ، فأي الآراء كان أشبه بكتاب الله وسنة رسوله عمل به . كما قال تعالى : { فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ذَلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا } (سورة النساء : من الآية 59)

[21] Hadis daripada `Umar r.a, riwayat Tirmizi, dalam bab Fitan, dinilai Hasan Sahih Gharib olehnya, hadis no. 2091. Riwayat Al-Hakim dan dinilai sahih olehnya berdasarkan syarat Syeikhan dan dipersetujui oleh Al-Zahabi. Lihat juga: Sahih Ibn Hibban, hadis no. 4576, Musnad Ahmad, hadis no. 109. Sunan Al-Nasa’ie, hadis no. 9219.

[22] Hadis Riwayat Ahmad, hadis no. 17309. Hadis ini daripada Abdul Rahman bin Ghanm Al-‘Asy`ari. Dalam sanadnya terdapat Syahr bin Hawshab. Syeikh Syu`aib al-Arnaout menyatakan isnadnya lemah (dha`if) kerana terdapat Syahr bin Hawshab yang tidak mendengar daripada Nabi SAW (mursal). Namun, Syeikh Ahmad Syakir menthiqahkan Syahr bin Hawshab dalam Takhrij Al-Musnad.

[23] Abu Al-Hasan Ali bin Muhammad Al-Aamidi, Al-Ihkam fi Usul al-Ahkam, terbitan Daar al-Kitab al-`Arabi, Beirut, 1404H, tahqiq Dr Sayyid Al-Jamili, jil. 1, m/s 296.

[24] Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi, Min Fiqh al-Dawlah fi al-Islam, m/s 142.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 2377 access attempts in the last 7 days.