Resolusi Simposium Siasah Syar’iyyah: Konsep Islam Rahmatan Lil ‘Alamain

Majlis Ulama ISMA (MUIS) dengan kerjasama Biro Islamiyat ISMA telah menjayakan Simposium Siyasah Syar’iyyah 2017 bertajuk “Konsep Islam Rahmatan Lil `Alamin: Antara Kecelaruan Tafsiran Hermeneutika Liberal Dan Kefahaman Syarak” pada hari Sabtu, 18 November 2017, bertempat di Dewan Auditorium, Malaysia Genome Institute (MGI), Kajang, Selangor Darul Ehsan.

Bertitik tolak daripada Simposium ini, MUIS telah menggariskan beberapa perkara sebagai resolusi seperti berikut:

1. MUIS menginsafi bahawa sifat Rahmah yang dianjurkan oleh Islam merupakan prinsip yang bersifat universal (`alamiyyah) yang menaungi seluruh makhluk di dunia. Pembangunan konsep Rahmah ini adalah berteraskan Al-Quran, terutamanya ayat 107 daripada Surah Al-Anbiya’ yang bermaksud; “Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam (Rahmatan lil `Alamin)”, serta hadis-hadis Rasulullah SAW yang banyak menjelaskan keluasan Rahmah yang dibawa Islam.

2. MUIS menginsafi bahawa Al-Quran dan Al-Sunnah tidak boleh ditinggalkan semata-mata untuk memuaskan akal manusia. Segala perkara yang bersifat kekal (thawabit) yang telah ditetapkan oleh Al-Quran dan Al-sunnah merupakan Rahmah kepada seluruh umat manusia meskipun dilihat bertentangan dengan akal oleh sebahagian manusia.

3. MUIS menginsafi bahawa asas pegangan akidah umat Islam perlu lebih diperkukuhkan lagi bagi mengelak daripada terpengaruh dengan ancaman pemikiran liberal yang mencairkan identiti & jati diri umat Islam. Pengukuhan akidah yang sejahtera dalam kalangan umat Islam mampu menjadikan Islam sebagai agama ikutan sekaligus memberi rahmah kepada seluruh manusia.

4. MUIS menyedari bahawa pengaplikasian konsep “Rahmatan lil `Alamin” yang tidak didasari oleh Al-Quran & Sunnah serta tafsiran hermeneutika liberal merupakan suatu ancaman pemikiran yang serius yang sedang melanda umat Islam di Malaysia hari ini.

Berdasarkan perkara-perkara di atas, MUIS dengan tegas dan bersungguh-sungguh membuat seruan-seruan berikut:

I. Segala usaha penyelewengan terhadap konsep “Rahmatan lil `Alamin”, termasuk juga sebarang tindakan mana-mana pertubuhan, gerakan atau parti politik yang tidak menguntungkan umat Islam apatah lagi melemahkan kuasa politik umat Islam, wajib ditolak dan ditegah oleh seluruh umat Islam, institusi-institusi Agama serta pihak-pihak berautoriti.

II. Konsep Islam sebagai “Rahmatan lil `Alamin” hanya boleh direalisasikan sekiranya Syiar dan hukum Islam diangkat di tempat yang tertinggi dalam konteks sebuah negara. Oleh itu, sebarang pemakaian konsep Rahmah Islam perlulah dalam kerangka mengangkat Syi’ar Islam, berpandukan Al-Quran, Al-Sunnah, Ijmak dan juga Qiyas.

III. Hakikat Islam sebagai “Rahmatan lil `Alamin” akan dapat benar-benar dirasai apabila Syariat Islam dapat dilaksanakan secara menyeluruh oleh umat Islam yang kuat dan bebas melaksanakan kehendak Syariat tanpa sebarang rasa takut. Justeru, membangun ummah yang kuat adalah tuntutan teratas dalam mencapai hakikat sebenar “Rahmatan lil `Alamin”. Segala usaha yang boleh melemahkan umat Islam adalah bertentangan dengan konsep Islam sebagai “Rahmatan lil `Alamin”.

IV. Semua Pendakwah & Alim Ulama, NGO-NGO Islam, institusi-institusi Agama serta pihak-pihak berautoriti perlu memberikan sokongan penuh terhadap segala usaha yang menguntungkan Islam. Institusi-Institusi Agama yang mengangkat Syi’ar Islam di Malaysia perlu dipertahan dan dibangunkan lagi agar terus komited memberikan khidmat kepada seluruh umat Islam dengan lebih efektif.

Majlis Ulama ISMA (MUIS)
18 November 2017

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 364 access attempts in the last 7 days.