Kebebasan Islam bukan sehingga membawa fahaman songsang Liberal

PERNYATAAN bahawa berpegang teguh kepada ajaran Islam telah menyekat kebebasan adalah penyataan salah yang lahir kerana ketidakfahaman terhadap tabiat ajaran Islam yang telah membebaskan manusia daripada perhambaan sesama makhluk kepada hanya menyembah Allah SWT.

Islam telah membebaskan manusia daripada memperhambakan diri terhadap runtunan hawa nafsu kepada mengatur hawa nafsu sesuai dengan peranan sebenarnya. Islam membebaskan manusia daripada persepsi kehidupan hanya terhad kepada dunia kepada meyakini kehidupan manusia juga melangkau hari akhirat.

Mengajak dan membebaskan manusia bertuhankan selain Allah SWT dengan fahaman tiada satu pun agama yang benar-benar betul serta menafsirkan Islam sebagai secara literal sebenarnya telah mengajak mereka kembali kepada perhambaan.

Mempromosi kebebasan untuk murtad daripada agama Islam bukanlah seruan kepada pembebasan, bahkan menyalahi konsep kebebasan dalam Islam. Mempromosi seks bebas, mewajarkan maksiat dan kemungkaran, membebaskan manusia daripada ikatan agama adalah perbuatan merelakan diri dibelenggu hawa nafsu.

Sedangkan manusia diberi kehormatan untuk mengendalikan hawa nafsu, bukannya nafsu bertindak sebagai tuan kepadanya. Maka, apa juga cara termasuk ucapan mahupun tulisan mengajak orang Islam di negara ini murtad atau melakukan maksiat secara terang-terangan hendaklah disekat.

Tutup pintu kerosakan

Islam tidak menentang kebebasan bersuara atau meluahkan perasaan. Islam mendukung konsep kebebasan sebagai hak dan prinsip politik yang mesti dihormati, namun kebebasan tidak boleh disalahgunakan sehingga mendatangkan kemudaratan kepada orang lain.

Kita hanya boleh menerima prinsip kebebasan tidak melampaui batas dan tidak boleh sesekali meraikan kebebasan yang melampaui batas kerana kebebasan seperti itu akan menimbulkan masalah besar kepada masyarakat.

Sebarang gesaan supaya umat Islam diberi kebebasan untuk murtad, mengamalkan perkahwinan beza agama, penyuburan ideologi liberalisme mesti dikawal dan diambil tindakan tegas supaya tindakan yang melampau itu terkawal serta tidak merosakkan lebih ramai orang.

Hal ini bertepatan prinsip sadd al-zara’i’ dalam hukum Islam bertujuan menutup pintu-pintu yang boleh membawa kerosakan besar kepada masyarakat. Menjadi tanggungjawab pemerintah menjaga agama rakyatnya daripada dirosakkan dengan alasan kebebasan yang palsu.

Al-Juwaini apabila berbicara soal pemerintahan Islam menggambarkan tanggungjawabnya adalah lebih luas daripada sekadar menjaga perut dan kehendak rakyat. Beliau menggambarkan pemerintah bertanggungjawab memelihara agama rakyat iaitu syariat Islam.

Oleh itu, boleh kita katakan tindakan kerajaan mengharamkan buku Breaking the Silence: Voices of Moderation – Islam in a Constitutional Democracy dihasilkan oleh kelompok liberal G25 adalah menepati semangat menjaga agama rakyat.

Pandangan bertentangan Islam

Buku itu secara jelas bertentangan dengan perkara yang disepakati dalam syarak seperti soal khalwat, kahwin campur agama, kebebasan untuk murtad dan pelbagai perkara lagi. Menjemput pemikir aliran liberal perlu dipandang serius oleh kerajaan kerana ia boleh menjadikan pemikiran umat Islam bercelaru.

Tokoh seperti Mustafa Akyol melalui bukunya ‘Islam without Extremes: A Muslim Case for Liberty’, banyak mengemukakan idea bermain dengan terma. Katanya, negara sekular berbeza dengan negara

sekularis sedangkan dalam kedua-dua definisi, ia tetap menidakkan Islam dalam pentadbiran negara.

Begitu juga, kita dimomokkan dengan kononnya dosa berbeza daripada jenayah sedangkan dalam Islam, ada perkara dianggap dosa peribadi seperti zina, minum arak yang mempunyai hujah atau dalil pengharaman serta hukumannya.

Tokoh Islam Liberal Indonesia, Dr Mun’im Sirry pernah mengeluarkan kenyataan kontroversi bercanggah akidah Islam seperti mengatakan al-Quran tidak relevan dan diturunkan pada era Mesopotamia pada sesi dialog ‘Scriptural Polemics: The Quran and Other Religions’ anjuran dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Jika tidak dikawal, ramai lagi jemputan yang dinobat sebagai tokoh mengetengahkan pandangan bertentangan dengan Islam.

 

Sohibus Samahah Ust Zamri Hashim

Timbalan Mufti Perak

Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 2379 access attempts in the last 7 days.