‘Fastaqim’ harus dibaca hingga akhir ayat

Itulah lontaran yang terkeluar dalam benak fikiran saya apabila memikirkan program hijau besar-besaran baru-baru ini.

Mengambil semangat daripada ayat surah Hud yang telah pun menjadikan Nabi SAW beruban kerana beratnya tu tuntutan dan tanggungjawab, PAS telah menganjurkan perhimpunan untuk para ahli dan penyokongnya bagi memperbaharui janji setia dan menyatakan sokongan tidak berbelah bagi kepada gelombang hijau dalam aksi PRU ke-14.

Melihatkan kepada semangat para ahli dan penyokong yang konsisten dan tidak berbelah bahagi, ingin saya berikan lontaran sebagai renungan kepada semua terutama ahli PAS dan juga sesiapa yang terlibat dengannya secara langsung atau tidak, yang hanya berkisar ayat Al-Quran yang dijadikan tema dalam perhimpunan kali ini.

‘Maka beristiqamahlah sepertimana yang engkau telah pun disuruh, dan sesiapa yang bertaubat bersamamu, dan janganlah engkau berlaku zalim, sesungguhnya Dia sangat melihat apa yang kamu lakukan’ – Surah Hud

Itulah ayat penuh yang sepatutnya difahami dalam kerangka perjuangan ini. Menuntut untuk beristiqamah, tetap teguh dalam perjuangan, berprinsip, kesemuanya itu hendaklah difahami dalam konteks tidak berlaku zalim atau berlebihan dalam sesuatu perkara hingga melahirkan gejala ekstremis dalam memperjuangkan agama.

Himpunan Fastaqim harus dilihat sebagai himpunan yang mengembalikan umat ini kepada kedudukan asalnya iaitu memimpin, bersatu, dan menjadikan pandangan syarak sebagai asas pertimbangan dalam apa-apa keputusan.

Sebarang bentuk gejala dan fahaman ekstremis yang wujud dalam apa bentuk sekalipun waima kefahaman ‘hanya PAS sahaja jemaah Islam yang sah’, ‘haramnya berbilang jemaah’, ‘keluar PAS ibarat keluar jemaah muslimin’, ‘undi PAS masuk syurga’ dan yang seumpamanya jika wujud haruslah dibuang jauh-jauh bagi menjadikan PAS sebagai wadah yang inklusif, terbuka dan diterima pelbagai lapisan masyarakat.

Seruan fastaqim juga seharusnya difahami dalam kerangka menyeru umat Islam kepada mempertahankan jatidiri keislaman bangsa Melayu dan menolak segala unsur-unsur pencairan identiti yang merobohkan segala tiang-tiang seri keislaman negara Malaysia ini.

Seruan yang besar itu seharusnya ditanggapi dengan kerja yang besar iaitu mengembalikan jiwa umat yang lesu ini untuk bangkit kembali memimpin negara atas asas keimanan yang utuh dan kesedaran yang tinggi, bukan semata-mata semangat dan takbir yang berbentuk retorikal dan bersifat zahiri dan terhenti setelah berakhirnya pilihanraya.

Ia menuntut kerja yang besar, perancangan yang besar, jiwa yang besar, pengorbanan yang besar, dan harga yang besar, melangkaui tempoh dan penggal tertentu, dan melangkaui nama-nama parti tertentu, kerana ia adalah projek menghidupkan semula masyarakat atas asas akidah yang suci dan murni, bukan semata-mata asas kepentingan politikal yang bersifat sementara dan oportunis.

Himpunan sedemikian telah pun menyatakan hasrat dan memberikan isyarat tertentu kepada golongan tertentu, namun apa yang saya harapkan PAS dapat melakukan sedikit koreksi dalam silibus tarbiyah dalaman mereka agar generasi yang dilahirkan selepas ini adalah generasi yang lebih terbuka, memahami kepentingan agenda bangsa dan tanah air dalam Islam, serta membuka seluasnya ruang kerjasama dengan pihak-pihak lain atas asas-asas yang disepakati dengan penuh toleransi dan kelapangan hati.

Wallahua’lam bissowab.

Ust Ahmad Syamil Mohd Esa

Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 1682 access attempts in the last 7 days.