Pengharaman buku G25 bertepatan kehendak Politik Islam

Islam adalah satu sistem cara hidup yang syumul, ianya meliputi keseluruhan ruang lingkup kehidupan kita samada ianya berbentuk hubungan kita dengan Tuhan, hubungan dengan sesama manusia bahkan hubungan dengan alam yang berada disekitar kita ini. Perkara asas ini adalah antara perkara yang tidak pernah dikhilafkan atau dinafikan oleh mana-mana umat Islam sepanjang zaman.

Maka apabila kita berbicara soal politik Islam sepatutnya tasawwur sama yang wujud dalam kefahaman kita bahawa ianya adalah satu sistem pemerintahan yang meliputi semua aspek kehidupan manusia. Ianya bukanlah bersifat kebajikan samata-mata hingga mengasingkan peranan agama dalam pengurusannya bahkan ianya mempunyai matlamat yang sama seperti Syariat Islam itu sendiri. Jika ianya berbeza tidak layak untuk kita kaitkan sistem “politik” tersebut dengan “islam”.

Berdasarkan kefahaman diatas maka apa yang Syariat larang atau tegah ianya tetap diharamkan oleh politik Islam kerana kedua perkara ini saling berkait dan tidak dapat dipisahkan. Al-Qardawi menyebut berulang kali bahawa tiada istilah “menghalalkan” atas nama politik atau “dibenarkan” atas nama maslahat siyasah. Kalau ada pun ianya pada perkara furu’ fiqh dan bukanlah asas atau teras kepada Syariat.

Sebab itulah al-Juwaini apabila berbicara soal pemerintahan Islam ianya mengambarkan tanggungjawabnya adalah lebih luas daripada sekadar menjaga perut dan kehendak rakyat. Beliau mengambarkan peranan itu luas sehingga pemerintah bertanggungjawab memelihara agama rakyat itu sendiri iaitulah Syariat Islam.

Kemudian apabila kita berbicara soal perkara asas-asas dalam agama (dalam pemerintahan), ianya terbahagi pada dua iaitu (1)menjaga agama dengan seluas-luasnya keatas umat Islam dan menjaga umat Islam dari segala syubhat yang menyesatkan.(2) mengajak kelompok kafir dan kelompok penentang untuk mengikut kebenaran Islam. Jadi bagi memastikan agama ini terus suci daripada golongan yang menyesatkan serta golongan bidah dan hawa nafsu, maka menjadi tanggungjawab pemimpin untuk memantau perkara ini atau melantik orang disekelilingnya untuk memantau perkara ini dengan pemantauan yang ketat . (Kitab Qhiyasul Umam, Darul Dakwah)

Maka sebab itulah boleh kita katakan tindakan kerajaan baru-baru ini yang mengharamkan buku Breaking the Silence: Voices of Moderation – Islam in a Constitutional Democracy yang dihasilkan oleh kelompok liberal G25 adalah menepati semangat “politik Islam” yang sebenar. Kerana kandungan buku itu secara jelas bertentangan dengan perkara yang disepakati dalam syarak seperti soal khalwat, kahwin campur agama, kebebasan untuk murtad dan pelbagai perkara lain lagi.

Konsep kebebasan beragama dalam Politik Islam bukanlah sehingga seseorang itu boleh sesuka hati membawa kefahaman yang sesat terhadap Islam itu sendiri. Kebebasan itu adalah dengan bebasnya seseorang itu untuk mengamalkan agamanya selagi mana tidak menggugat Islam yang menjadi teras kepada negara tersebut. Jadi apa yang kelompok ini lakukan jauh daripada makna kebebasan tersebut.

Kelompok ini secara jelas dan terbuka mengajak masyarakat untuk menafsirkan agama ini berdasarkan hawa nafsu atau boleh disebut menyesatkan masyarakat daripada kefahaman Islam yang sebenar. Maka tindakan pemerintah pada saat ini adalah wajib demi maslahat rakyat dan negara ini sendiri, bahkan bagi saya pengharaman sahaja adalah tidak cukup. Kerajaan perlu bertindak lebih tegas terhadap kelompok seperti ini agar ianya benar-benar menjadi satu pengajaran kepada mereka dan masyarakat lain yang melihat.

Pengharaman buku semata-mata tanpa tindakan lebih tegas hakikatnya memberi ruang kelonggaran yang menyebabkan kelompok ini semakin berkembang dan semakin mempengaruhi masyarakat kita. Kita hendaklah sentiasa ingat bahawa ancaman yang mereka bawa bukanlah sekadar terhadap agama kita tetapi hakikatnya mereka sedang mengancam kedaulatan negara yang kita cintai ini.

 

Ust Muhammad Firdaus bin Zalani

Pegawai Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 715 access attempts in the last 7 days.