Soal JawabUtamaWanita & Kekeluargaan

Mengurus jenazah bayi yang gugur dalam kandungan

Soalan : Assalamualaikum, ada kemusykilan, satu janin berusia enam bulan dan dah bersifat. Meninggal di dalam kandungan ibunya. Bagaimanakah urusan jenazahnya, seperti biasa atau tidak (mandi, kafan, sembahyang).

Jawapan:

Secara amnya berkait dengan hukum bayi yang keguguran ; apakah wajib disolatkan atau tidak? Dalam hal ini terdapat hadis dari Rasulullah s.a.w. menegaskan ;

السقط يصلى عليه ويدعى لوالديه بالمغفرة والرحمة
“Bayi yang gugur (hendaklah) disolatkan ke atasnya dan didoakan untuk dua ibu-bapanya keampunan dan rahmat Allah”. (Riwayat Imam Ahmad, Abu Daud, at-Tirmizi dan al-Hakim. Hadis ini disahihkan oleh al-Hakim dan dipersetujui oleh Imam az-Zahabi).

Hadis ini diperincikan oleh ulamak mengikut pandangan dan mazhab masing-masing.

Menurut Imam al-‘Abdari ; “Jika bayi yang keguguran itu BELUM berusia EMPAT BULAN, TIDAK WAJIB disolatkan ke atasnya tanpa khilaf di kalangan ulamak (yakni ijmak).

Jika usianya mencapai empat bulan dan tidak bergerak (ketika gugurnya), tidak disolatkan ke atasnya mengikut pandangan jumhur ulamak. Mengikut Imam Ahmad dan Imam Daud ; hendaklah disolatkan”. (Lihat; al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, jil. 5, hlm. 212)

BAYI BELUM BERUSIA ENAM BULAN

Mengikut pandangan mazhab Syafi’ie ; bayi atau janin yang lahir SEBELUM berusia ENAM BULAN (di dalam kandungan), jika terdapat tanda-tanda hidup (seperti menangis, bergerak, bernafas atau sebagainya), hukumnya sama seperti mayat orang dewasa iaitu wajib dimandikan, dikafankan, disolatkan serta dikebumikan kerana telah diyakini bahawa kematiannya berlaku setelah ia hidup.

Jika tidak terdapat tanda-tanda hidup, maka hendaklah dilihat ; jika telah kelihatan bentuk lembaga manusia (biasanya apabila janin telah berusia empat bulan atau lebih dalam kandungan), hendaklah DIMANDIKAN, dikafankan dan dikebumikan TANPA perlu disolatkan.

Jika belum kelihatan bentuk lembaga manusia (biasanya apabila janin belum berusia empat bulan), maka memadai membasuhnya sahaja (untuk membersihkan dari darah), kemudian dibungkus dengan kain atau sebagainya dan ditanam. Tidak perlu dimandikan dan disolatkan.

Dalil bagi perincian mazhab Syafi’ie tersebut ialah sabda Nabi s.a.w.;

إذا استهل السقط صلى عليه وورث
“Jika bayi yang gugur bersuara atau menangis (ketika gugurnya), hendaklah disolatkan ke atasnya dan ia berhak mewarisi”. (Riwayat Imam Ibnu Majah dari Jabir r.a.).

Berdasarkan hadis ini, bayi yang keguguran jika tidak terdapat tanda-tanda hidup (seperti menangis atau bersuara sebagaimana di dalam hadis) tidaklah disolatkan. Hadis ini mengikat makna umum hadis pertama di atas.

Maka hadis pertama di atas jika dipadankan dengan hadis ini, maka ia memberi maksud; “Bayi yang gugur hendaklah disolatkan ke atasnya (jika ia bersuara atau terdapat tanda-tanda hidup)….”. (Lihat tafsiran hadis ini dalam Faidhul-Qadier, hadis no. 4492).

BAYI YANG SUDAH BERUSIA ENAM BULAN

Adapun bayi yang telah berusia lebih enam bulan di dalam kandungan, hukumnya SAMA SEPERTI ORANG DEWASA iaitu wajib dimandikan, dikafankan, disolatkan dan dikebumikan jika ia gugur atau mati ketika dilahirkan (sama ada terdapat tanda-tanda hidup atau tidak).

Kesimpulannya :
Merujuk kepada soalan di atas ; bayi yang berusia enam bulan di dalam kandungan jika keguguran (hidup sekejap atau mati dalam kandungan) wajib dimandikan, dikafankan, disolatkan dan dikebumikan.

Wallahua’lam.

 

Ust Abdul Rahman Iskandar

Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply