Media sepatutnya mendidik masyarakat bukan meruntuhkan

Peranan media dalam masyarakat adalah sangat penting dan besar dalam kehidupan kita hari ini. Pada tafsiran barat ianya seolah-olah menjadi perantara kepada segala peristiwa yang berlaku disekeliling kita dengan diri kita atau boleh kita sebut sebagai penyampai berita. Media bagi mereka ialah sekadar memberi maklumat akan persitiwa yang berlaku kepada masyarakat supaya semakin bertambah pengetahuan mereka tanpa dibezakan samada pengetahuan itu baik atau buruk.

Islam juga sebagai satu sistem cara hidup yang menyeluruh dan sempurna juga mengiktiraf akan peranan media ini. Namun Islam melihat media ini dalam perspektif berbeza dan lebih luas, ianya bukan sekadar memberi maklumat tetapi ianya turut menjadi satu wasilah dakwah. Media berperanan untuk menyampaikan kebenaran wahyu dalam masa yang sama mendidik masyarakat supaya menjadi lebih baik (soleh).

ٱدۡعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِٱلۡحِكۡمَةِ وَٱلۡمَوۡعِظَةِ ٱلۡحَسَنَةِ‌ۖ

Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; (Surah an-Nahl:125)

Media ini hakikatnya adalah mengajak manusia supaya semakin hampir dengan kabaikan dengan cara yang berseni, berhikmah dan penuh bijaksana.

Dr Sayyid al-Shanqiti iaitu antara ulama kontemporari yang disegani pada hari ini ada menyebutkan bahawa media disisi Islam secara mudah boleh disimpulkan sebagai “daripada Allah kepada Allah” (عن الله ولله). Iaitu media itu menceritakan akan kebenaran (al-Haq) dan juga hakikat kemanusiaan (persitiwa) supaya dengan segala penceritaan ini akan membawa manusia kepada semakin hampir kepada Allah swt.

Tambah beliau lagi, apabila kita memahami media dalam kerangka sebegitu maka cara penyampaian media itu juga terikat dengan apa yang Islam benarkan dan apa yang Islam haramkan.  Apa yang Islam tidak benarkan tetap tidak dibenarkan di dalam kandungan media itu sendiri serta begitulah sebaliknya kerana matlamat media itu selari dengan matlamat syarak itu sendiri.

Apabila kita menghayati perkara ini kemudian dinilaikan pada kebanyakkan media yang ada pada hari ini adalah satu perkara yang amat menyedihkan. Kita selalu menyalahkan masyarakat yang semakin rosak dengan budaya pengaulan jantina yang tidak terkawal, seks bebas, pembuangan bayi, gangster, keretakan rumah tangga, tidak menghormati ibubapa dan pelbagai perkara lagi. Sedangkan kita lupa bahawa yang membentuk masyarakat tersebut sebenarnya adalah media itu sendiri.

Media sebenarnya yang telah mendidik masyarakat sehingga apa yang kita lihat pada hari ini. Media yang suka memaparkan kisah-kisah gossip artis, gambar-gambar dengan pakaian yang tidak sopan bahkan isu keretakan rumah tangga mereka pun dilaporkan secara meluas dalam kadar yang berlebihan. Sehingga dibuka aib-aib pergaduhan suami isteri, kisah-kisah yang sepatutnya menjadi satu rahsia antara pasangan juga dibentangkan secara meluas kepada masyarakat kononnya dengan alasan menyampaikan kebenaran.

Bagi saya hal ini mengambarkan betapa jauhnya media hari ini daripada peranannya yang sebenar. Media hari ini bukan sekadar tidak membawa masyarakat semakin hampir kepada kebaikan, bahkan media hari ini sebenarnya sedang memandu masyarakat ke arah kemaksiatan serta keruntuhan moral.

Sesungguhnya tidaklah aku diutus kecuali untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.”

(HR. Al-Bukhari, Ahmad, dan Al-Hakim)

Sedarlah bahawa Islam itu hadir dengan membawa manusia kepada nilai moral (akhlak) yang tinggi bukan sekadar untuk melahirkan peribadi yang berakhlak tetapi ianya juga bertujuan membentuk sebuah masyarakat yang harmoni. Budaya bergossip bukanlah daripada Islam serta budaya membuka aib manusia lain sangatlah tidak disukai oleh Allah swt.

Ingatlah pengamal media sekelian bahawa Allah itu Maha Adil, saat kita suka membuka aib orang lain maka kelak Allah sendiri yang akan membuka aib kita dihadapan manusia lainnya. Tetapi apabila kita mula menutup aib saudara kita maka Allah pasti akan menutup aib kita bukan sekadar di dunia tetapi di akhirat juga.

وَعَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ رضى الله عنه عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم قَالَ: ((لَا يَسْتُرُ عَبْدٌ عَبْدًا فِى الدُّنْيَا إِلَّا سَتَرَهُ اللهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ)) رواه مسلم

Diriwayatkan dari Abu Hurairah dari Nabi SAW, Nabi SAW bersabda: “Seorang hamba tidak menutupi aib hamba yang lain di dunia kecuali Allah akan menutupi aibnya di hari kiamat”. (HR; Muslim)

 

Ust Muhammad Firdaus bin Zalani

Pegawai Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 1682 access attempts in the last 7 days.