Aqiqah untuk anak yang gugur atau meninggal ketika kecil

Soalan: Salam ustaz, boleh saya tahu tentang hukum melakukan aqiqah terhadap anak yang telah meninggal dunia?

Jawapan:

Wassalam wbt, moga Allah swt mengurniakan kesabaran kepada ibu bapa yang menghadapi ujian ini. Sedarlah bahawa ianya adalah satu pilihan Allah swt dan Allah telah memilih untuk ibubapa tersebut mempunyai anak-anak kecil yang sedia menanti ibu bapa mereka di pintu syurga insyallah.

Berkenaan isu ini, perlu dinyatakan sebagai permulaan bahawa ulama bersepakat (mahal ittifaq) berkenaan isu anak yang disunatkan untuk dilakukan aqiqah padanya pada dua keadaan: pertama seorang anak yang hidup selepas 7 hari kelahiran adalah digalakkan untuk dilakukan aqiqah padanya tanpa perselisihan. Juga seorang anak yang meninggal sebelum 4 bulan dalam kandungan tiada khilaf bahawa tidak perlu dilakukan aqiqah padanya kerana ianya masih lagi belum ditiupkan roh (bernyawa).

Adapun seorang bayi yang meninggal setelah tempoh 4 bulan dalam kandungan sehingga sebelum hari ketujuh setelah dilahirkan adalah menjadi tempoh yang diperselisihkan pandangan dikalangan fuqaha’.

Mazhab Maliki dan Hanafi berpandangan tidak perlu dilakukan aqiqah kepadanya. Mereka berhujahkan berdasarkan lafaz yang disebut jelas dalam hadis Samrah yang menyebut pemberian nama, aqiqah dan dicukur bayi tersebut pada hari ketujuh.

عَنْ سَمُرَةَ بْنِ جُنْدَبٍ اَنَّ رَسُوْلَ اللهِ ص قَالَ: كُلُّ غُلاَمٍ رَهِيْنَةٌ بِعَقِيْقَتِهِ تُذْبَحُ عَنْهُ يَوْمَ سَابِعِهِ وَ يُحْلَقُ وَ يُسَمَّى. ابو داود 3: 106، رقم: 2838
Dari Samurah bin Jundab, bahwasanya Rasulullah SAW bersabda, “Tiaptiap anak tergadai (tergantung) dengan ‘aqiqahnya yang disembelih untuknya pada hari ke-7, di hari itu ia dicukur rambutnya dan diberi nama”. [HR. Abu Dawud juz 3, hal. 106, no. 2838]

Imam an-Nafrawi al-Maliki  menyebut hadis itu secara jelas menyebut kesemua perkara tersebut dilakukan pada hari ketujuh maka bayi yang meninggal sebelum hari tersebut tidak perlu dilakukan aqiqah padanya.

Namun Mazhab Syafie dan Hanbali pula berpandangan ianya disunatkan sejak bayi tersebut mula ditiupkan roh padanya iaitulah bermula ketika tempoh kandungan 4 bulan. Ibnu Hajar al-Haitami menyatakan ini kerana bayi yang meninggal sebelum tempoh 4 bulan adalah tidak bernyawa maka ianya tidak akan memberi syafaat di akhirat kepada ibu bapa tersebut. Berbeza pula dengan bayi selepas tempoh 4 bulan ianya dikira bernyawa, perlu diuruskan seperti jenazah manusia biasa, akan memberi syafaat kepada ibubapanya maka boleh dilakukan aqiqah keatasnya.

Juga banyak hadis yang menyebut tentang aqiqah anak ini dinyatakan secara umum tanpa meletakkan sebarang syarat.

عَنْ عَمْرِو بْنِ شُعَيْبٍ عَنْ اَبِيْهِ عَنْ جَدّهِ قَالَ، قَالَ رَسُوْلُ اللهِ ص مَنْ اَحَبَّ مِنْكُمْ اَنْ يَنْسُكَ عَنْ وَلَدِهِ فَلْيَفْعَلْ عَنِ اْلغُلاَمِ شَاتَانِ مُكَافِئَتَانِ وَ عَنِ اْلجَارِيَةِ شَاةٌ. احمد 2: 604، رقم: 2725
Dari ‘Amr bin Syu’aib dari ayahnya, dari kakeknya, ia berkata, Rasulullah SAW bersabda, “Barangsiapa berkehendak untuk meng’aqiqahkan anaknya maka kerjakanlah. Untuk anak laki-laki dua ekor kambing yang sebanding dan untuk anak perempuan satu ekor kambing”. [HR. Ahmad juz 2, hal. 604, no. 2725]

Berdasarkan kedua pandangan tersebut, ramai ulama masakini cenderung kepada pandangan kedua yang mengharuskan kerana hadis Samrah tersebut menyebut tentang sunatnya melakukan aqiqah pada hari ketujuh dan bukan meletakkan syarat hidup sehingga hari ketujuh. Bermaksud sunat untuk dilakukan pada bila-bila masa dan apa keadaan bayi tersebut namun yang lebih afdhal (terbaik) ialah dilakukan pada hari ketujuh.

Kesimpulannya boleh dilakukan aqiqah untuk bayi yang gugur atau meninggal dunia setelah dilahirkan asalkan ianya telah berada lebih 4 bulan (ditiupkan roh) dalam kandungan ibu tersebut.

 

Ust Muhammad Firdaus bin Zalani

Pegawai Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 1682 access attempts in the last 7 days.