Umat Islam wajib mempertahankan al-Aqsa

الحمد لله، والصلاة والسلام على رسول الله، وعلى آله وصحبه ومن تبع هداه وبعد

وَلَن تَرۡضَىٰ عَنكَ ٱلۡيَہُودُ وَلَا ٱلنَّصَـٰرَىٰ حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَہُمۡ‌ۗ قُلۡ إِنَّ هُدَى ٱللَّهِ هُوَ ٱلۡهُدَىٰ‌ۗ

Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): “Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam) itulah petunjuk yang benar”. (al-Baqarah:120)

1. Majlis Ulama ISMA berpendirian tegas menolak kezaliman yang berterusan dilakukan oleh rejim zionis Israel terhadap rakyat Palestin khususnya di Masjid al-Aqsa al-Mubarak, tanah suci ketiga umat Islam yang semakin tegang baru-baru ini. MUIS juga berpendirian adalah menjadi kewajipan saat ini kepada seluruh umat Islam membantu perjuangan Palestin dengan segala wasilah berdasarkan kepada ruang dan kemampuan masing-masing.

2. Bumi Palestin dan Masjid al-Aqsa khususnya mempunyai kedudukan yang tersendiri disisi umat Islam. Samada dari segi nilai sejarah atau nas-nas Al-Quran dan Hadis yang banyak menceritakan akan besarnya nilai tanah ini disisi umat Islam. Atas penghayatan inilah Saidina Umar al-Khattab, khalifah umat Islam kedua sanggup turun dari ibu negara kota Madinah bagi melihat pembukaan kota yang mulia ini.

3. Pendirian ini juga dibuat kerana isu kezaliman dan perjuangan rakyat Palestin adalah isu yang tidak pernah menjadi perselisihan dikalangan mana-mana ulama terdahulu dan masakini, maka ianya adalah perkara disepakati atau boleh disebut sebagai ijma’ yang perlu dipandang dengan serius oleh seluruh umat Islam.

4. Isu ini sepatutnya diletakkan antara agenda utama umat Islam yang dengannya kita bersatu, bersepakat serta menolak tepi sebarang kepentingan peribadi apabila membicarakan isu ini. Sepertimana isu ini telah menyatukan umat Islam pada zaman Salahuddin al-Ayubi maka ianya juga sepatutnya menyatukan kita pada hari ini.

5. Semua pihak perlu bertindak dalam isu ini, samada secara peribadi dengan memberi sumbangan kewangan serta doa untuk mereka, secara kekeluargaan dengan ditanam perasaan cinta kepada anak-anak terhadap Masjid al-Aqsa, secara masyarakat dengan dihidupkan ceramah-ceramah yang membicarakan isu ini secara meluas dan secara kenegaraan dengan diberikan tekanan diplomatik kepada Israel serta menyatakan solidariti untuk umat Islam Palestin. Semua perlu bertindak!

6. Ingatlah bahawa kemenangan serta pembebasan bumi al-Aqsa di masa akan datang adalah pasti kerana itu adalah satu janji Allah swt dan Dia tidak akan pernah melanggar janjiNya. Cumanya yang perlu kita sentisa fikirkan dimanakan diri kita saat kemenangan dan al-nasr itu hadir kelak? Moga nama kita tergolong dikalangan mereka yang menyumbang dalam pembebasan bumi al-Aqsa dan bukan dikalangan yang berdiam diri saat melihat saudara kita disakiti dan dizalimi.

مَتَىٰ نَصۡرُ ٱللَّهِ‌ۗ أَلَآ إِنَّ نَصۡرَ ٱللَّهِ قَرِيبٌ۬

Bilakah (datangnya) pertolongan Allah? Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah). (Al-Baqarah : 214)

 

Prof Madya Dr Aznan Hassan

Pengerusi Majlis Ulama ISMA (MUIS)

One thought on “Umat Islam wajib mempertahankan al-Aqsa

  • July 24, 2017 at 9:40 pm
    Permalink

    Diharap pemimpin2 negara Islam berani mengambil tindakan. Jika pemimpin tidak memulakan langkah, siapa lagi?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 715 access attempts in the last 7 days.