BeritaUtama

Ulama tidak sepatutnya menjadi seperti ahli politik

ALGERIA, 10 Julai- Ulama hendaklah berdiri di atas pendirian yang disepakati bersama iaitulah asas-asas Islam, aqidah serta rukun-rukunnya, bukannya menjadi seperti ahli politik yang sentiasa berselisih pendapat pada hal keduniaan.

“Ulama adalah qudwah kepada umat ini maka tidak sepatutnya mereka menjadi macam ahli politik yang hari ini bergaduh sesama mereka kemudian esok lusa mereka boleh berbaik, ini berbeza dengan ulama yang hendaklah menunjukkan qudwah penyatuan pada setiap masa”

Syiekh Dr Abdul Razak Qaswim, ketua Pertubuhan Ulama Muslimin Algeria berkata demikian dalam akhbar Quds Press baru-baru ini.

Katanya lagi ulama sepatutnya berperanan untuk sentiasa menhubungkan silaturrahim lalu menyatukan sesama umat, bukan membawa kepada perselisihan yang menghasilkan fitnah perpecahan.

“Inilah yang telah kami nyatakan sejak awal lagi ketika menolak pendirian yang dibuat oleh beberapa negara teluk terhadap Qatar”

Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Mesir dan Bahrain memutuskan hubungan diplomatik dengan Doha sejak 5 Jun lalu dengan mendakwa Qatar menyokong dan membantu ekstremis dan rapat dengan Iran. Tuduhan itu bagaimanapun, dinafikan.

Tindakan ini mendapat kecaman daripada beberapa institusi ulama seperti Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia serta Rabitah Ulama Ahlussunnah namun terdapat sebahagian lain institusi ulama yang menyokong kezaliman ini seperti Al-Azhar dan Rabitah Ulama Muslimin.

Pertubuhan Ulama Muslimin Algeria ialah antara kelompok ulama yang mengeluarkan fatwa sejak awal lagi bahawa kezaliman terhadap Qatar itu adalah satu perkara yang salah dan hendaklah diselesaikan dalam bentuk dialog supaya dengan itu maslahat umat masih lagi terpelihara dan tidak tegugat.

Leave a Reply